CUBA gambarkan apabila bintang filem ‘Thor’  dari siri filem ‘Avengers’, Chris Hemsworth mendukung watak Hulk Hogan? Bermisai ‘handlebar’ (pemegang besi) berwarna putih, berambut perang panjang belakang separuh botak dan bertubuh lebih sasa hampir seberat 140 kilogram! : KitaReporters

RUPA 'Hulk Hogan' Chris Hemsworth apabila disunting. - Kredit foto Twitter Pro Wrestlng Sheet.


Berita filem biografi si legenda gusti profesional paling popular dunia itu yang mahu diterbitkan oleh Netflix, sudah timbul sejak 2019 lagi.  Namun sempena hari jadi Hulkster atau nama sebenarnya, Terry Eugene Bollea yang berusia 67 tahun pada 11 Ogos 2020 lalu, filem tidak berjudul lagi ini kembali disebut dalam laman-laman sosial.

Ketua Pengarang media dalam talian, Pro Wrestling Sheet, Ryan Satin baru-baru ini berkongsi lakaran dan video wajah kacukan Hogan-Hemsworth itu yang disunting dengan menggunakan aplikasi Reface, pada laman Twitternya.    

Satin juga dikatakan pernah bertugas sebagai koresponden berita belakang pentas bekas majikan Hulkster, World Wrestling Entertainment (WWE).

TIDAK lekang dengan bandana, bermisai 'bertaring' dan berambut perang, ciri-ciri rasmi Hulk Hogan yang 'dikacukkan' dengan wajah tampan Chris Hemsworth. - Kredit foto Twitter Pro Wrestlng Sheet.


Hogan mencetuskan Hulkamania yang mempopularkan gusti profesional atau sukan hiburan itu ke seluruh dunia sejak merangkul bengkung kejuaraan heavyweight dunia WWE atau sebelumnya, World Wrestling Federation (WWF) pada 1984. 

Enam kali Hulkster menyandangnya manakala lima kejuaraan World Championship Wrestling (WCW) turut dimenangi ketika dia berhijrah ke gelanggang pesaing WWE itu dari 1994 hingga 2000. 

Kata Hemsworth seperti dipetik dalam laman-laman berita dalam talian sebelum ini, “filem ini akan menjadi satu projek yang benar-benar menyeronokkan. 

“Seperti yang anda boleh bayangkan, persediaan bagi watak Hulk Hogan itu memang perit segi fizikalnya. Saya perlu menjadikan badan ini lebih besar dari sebelumnya, malah lebih besar dari ketika menjadi ‘Thor’. 

“Perangai dan pertuturan (Hogan) pun kena sesuaikan. Selain itu, perlu mendalami dunia gusti profesional, yang amat saya idam-idamkan,” kata pelakon ‘The Expendables 2’, ‘Ghosbusters’ dan ‘Extraction’ kelahiran Australia ini. 

Mengakui terpesona dan teruja dengan projek filem biografi Hulk Hogan itu, Chris walau bagaimanapun memberitahu, “saya belum membaca skripnya lagi. 

“Saya tahu skripnya sedang ditulis dan masih dalam proses diusahakan, namun hanya sedikit yang saya tahu tentangnya," tambahnya.

CHRIS Hemsworth @ Thor pernah 'bergusti' dengan satu lagi watak komik Marvel yang juga rakan Avengers, Incredible Hulk dalam filem 'Thor: Ragnarok'.  


Khabarnya, pengarah filem Joker, Todd Phillips akan diberi kerusi sutradara filem Hulkster ini. 
Sudah tentu filem ini akan turut menampilkan watak-watak lain seperti The Iron Sheik, Roddy Piper, Macho Man Randy Savage, King Kong Bundy, Andre The Giant, The Ultimate Warrior mahupun tauke WWE, Vince McMahon.  

HULK Hogan (kanan) bertukar jadi Hollywood Hogan, ketua New World Order (nWo) di WCW.


Merekalah watak penyokong filem ini atau lawan handalan sebenar Hogan di gelanggang WrestleMania, SummerSlam, Royal Rumble dan banyak lagi program WWE/WWF. 

Tapi siapakah pendukungnya dari arena Hollywood? Adakah seperti Hemsworth daripada filem adiwira Marvel lain? 

Ketika masih giat bergusti, Hulkster juga pernah beberapa kali sempat terjun ke layar perak antaranya dalam ‘Suburban Commando’, ‘No Holds Barred’, ‘Mr. Nanny’, ‘Rocky III’ dan ‘Little Hercules’. - KitaReporters

HULK Hogan dikenakan 'Kunci Unta' oleh The Iron Sheik sebelum bergelar juara WWF kali pertama pada 1984. - Kredit foto WWE

0
0
0
0
0

Copy Link: