KESULITAN pihak pengurusan Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras mencari dana bagi membiayai pelbagai kos pengurusan turut menarik perhatian Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membantu. Sumbangan wang zakat perniagaan TNB sebanyak RM3,000 memberi erti yang besar kepada pihak pengurusan pusat itu terutama dalam pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini. : KitaReporters


Ahmad Zaki Rasid (depan, tiga dari kiri) menyerahkan pungutan derma Fasa ke-2 Kumpulan Warga Bersara BTHO kepada Ustaz Munhameer.


Lagi cerita-cerita berkaitan Bandar Tun Hussein Onn:

https://kitareporters.com/search?search=bandar+tun+hussein+onn


Seorang tenaga pengajar pusat itu, Ustaz Munhameer Yusuf, berkata sebahagian daripada 60 pelajar pusat itu adalah daripada keluarga asnaf dan anak yatim kerana itu sumbangan dana daripada pelbagai pihak amat diperlukan untuk menampung pelbagai kos seperti sewa bangunan, air dan elektrik.

“Saya amat terharu apabila kesulitan pusat ini menarik perhatian pihak TNB untuk turut sama menghulurkan bantuan yang membolehkan kami terus beroperasi,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan oleh TNB dan Kumpulan Warga Bersara BTHO pada 12 Disember 2020.


Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin (tengah) menghulurkan sumbangan peribadi kepada Ustaz Munhameer sambil disaksikan Wan Hairul Razli (kanan).


Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan Warga Bersara BTHO, Ahmad Zaki Rasid menyampaikan sumbangan Fasa ke-2 berjumlah RM8,300, manakala bekas Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin turut menghulurkan derma peribadi. Turut hadir Pengurus Kanan Tanggungjawab Korporat TNB, Wan Hairul Razli Wan Ahmad.

Wan Hairul Razli, berkata pusat tahfiz itu antara yang terpilih untuk menerima bantuan wang zakat berkenaan seperti  badan-badan kebajikan, masjid, surau, rumah anak yatim, pusat jagaan orang tua dan sebagainya yang turut menerima sumbangan itu.


Dari kanan, Ahmad Zaki, Wan Hairul Razli dan Ir Mohd Aminuddin mendengar penerangan Ustaz Munhameer (kiri) mengenai masalah pusat tahfiz itu.


Menurutnya, TNB sentiasa peka dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk turut menginfakkan dalam kerja amal dan sering mendapat maklumat daripada pesara TNB yang ramai aktif dalam badan kebajikan khusus di komuniti kawasan kediaman mereka.

Ahmad Zaki pula berkata, sumbangan kumpulan itu adalah pungutan derma daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan ahli perniagaan dan individu yang dilakukan dalam tempoh sebulan menerusi beberapa kumpulan WhatsApp selepas perkara itu diuar-uarkan.



Wan Hairul Razli  Wan Ahmad (atas) dan Ahmad Zaki (bawah) menyerahkan sebahagian sumbangan derma orang ramai kepada Ustaz Munhameer.


Katanya, sebelum ini dalam Fasa pertama kumpulan berkenaan berjaya mengumpul RM4,000 dalam tempoh beberapa hari sahaja sebagai sumbangan segera kepada pusat itu untuk menampung pembayaran beberapa kos yang ditanggung pada Oktober 2020 lalu.

“Sumbangan ini juga sebagai saham akhirat kami serta tanda sokongan kepada pusat tahfiz itu apabila pelajarnya selalu mengimarahkan masjid atau surau dan terbabit dalam pelbagai aktiviti agama dalam komuniti,” katanya.

Maklumat lanjut dan sebarang sumbangan ikhlas termasuk wang zakat boleh disalurkan kepada akaun CIMB nombor 86033 46867 (Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas) atau boleh menghubungi Ustaz Munhameer Yusuf (011 377 43342). - KitaReporters

41
3
0
0
0

Copy Link: