Kisah cinta legenda sehingga hujung nyawa! Akhirnya ajal pisahkan Dilip Kumar dan Saira Banu!
Published byPerkahwinan Dilip Kumar- Saira Banu pada 1966 kekal hingga ke penghujung usia apabila Dilip meninggal dunia pada Rabu, 7 Julai, 2021. - Kredit foto: Media sosial.
KEMATIAN pelakon legenda, Dilip Kumar, 98, pada Rabu, 7 Julai, 2021, bukan sahaja satu kehilangan besar kepada industri filem Bollywood malah menoktahkan hikayat cintanya dengan Saira Banu, wanita yang menjadi suri hatinya selama hampir 55 tahun.
Pasangan itu yang berkahwin pada 11 Oktober, 1966, sentiasa menjadi rujukan sebagai pasangan yang berjaya mempertahankan perkahwinan mereka, sekali pun sebagaimana pasangan lain, rumah tangga mereka ada pasang surut serta pernah dilanda badai.
Malah, sehingga ke penghujung nyawa Dilip, Saira setia menemani suaminya yang kerap keluar masuk hospital kerana menderita kanser prostat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dilip Kumar
Kumar dengan isterinya, Saira Banu. - Kredit foto: Hotbiz.com
Permulaan
kisah cinta Dilip dan Saira ibarat sebuah dongeng. Saira yang ketika itu baru
berusia 12 tahun, memuja Dilip Kumar, malah berangan-angan suatu hari kelak mahu
berkahwin dengan pelakon pujaannya itu.
Ketika berusia 16 tahun, Saira pergi ke tayangan perdana filem lakonan Dilip, Mughal-e-Azam dengan harapan dapat melihat pelakon itu dari dekat. Namun, dia kecewa kerana hero pujaannya tidak hadir.
Akhirnya, bila dia berpeluang bertemu Dilip, Saira sangat mengingati saat itu. “Bila dia senyum kepada saya dan memuji saya cantik, saya berasa seolah-olah berada di awangan. Ketika itu, jauh di hati, saya yakin satu hari nanti akan menjadi isterinya.”
Saira jatuh cinta pada Dilip ketika dia berusia 12 tahun dan menyimpan impian mengahwini aktor itu. - Kredit foto: Media sosial
Dalam buku memoirnya, Dilip Kumar: The Substance And The Shadow, Dilip menggambarkan bagaimana dia mula menyedari bahawa Saira bukan lagi gadis sunti.
“Bila saya keluar dari kereta dan memasuki taman yang indah menuju ke rumahnya, saya masih ingat, mata saya asyik memandang Saira yang berdiri di anjung rumah baharunya.
“Saya agak terpana kerana dia bukan lagi seorang gadis kecil yang sering saya tolak untuk berlakon bersama kerana saya fikir dia kelihatan terlalu muda untuk menjadi pasangan saya dalam filem.
“Dia benar-benar sudah dewasa dan lebih cantik daripada apa yang saya bayangkan. Saya terus mendapatkannya dan bersalam dengannya,” tulis Dilip.
Pasangan itu berkahwin pada 1966 walaupun ada yang berasa ia janggal kerana perbezaan umur mereka yang ketara iaitu 22 tahun. Ketika itu, Dilip berusia 43 tahun dan Saira baru 21 tahun.
Rumah tangga mereka pernah dilanda badai gara-gara orang ketiga namun keteguhan cinta akhirnya membawa mereka kembali bersatu sehingga ke akhir hayat. - Kredit foto: Indian Express.
Saira sentiasa di sisi Dilip yang kerap keluar masuk hospital kerana menghidap kanser prostat. - Kredit foto: Twitter The Dilip Kumar
Rumah tangga mereka diuji pada 1972 apabila Saira mengalami keguguran dan perkahwinan mereka kekal tanpa zuriat.
Dalam satu temu bual dengan Hindustan Times, apabila ditanya apakah dia kecewa kerana tidak mempunyai zuriat bersama Dilip, Saira menjawab: “Perkahwinan kami lebih penting dalam hidup saya. Saya tidak terkilan tidak mempunyai anak kerana Saab (Dilip) ibarat anak di hati saya.”
Pada 1980, rumah tangga mereka diuji lagi apabila Dilip jatuh cinta dengan Asma Khan. Bagaimanapun, selepas tiga tahun, dia akhirnya kembali ke pangkuan Saira. Dalam memoirnya, Dilip menulis kisahnya dengan Asma adalah sesuatu yang mahu dilupakannya.
Sepanjang kariernya selama lima dekad, Dilip tidak terlepas dikaitkan dengan beberapa orang pelakon wanita namun Saira tahu, akhirnya dia akan kembali ke pangkuannya.
“Bagi saya, hanya dia seorang, tiada yang lain. Saya tahu ramai wanita cantik mahu berkahwin dengannya, tapi dia memilih saya. Berkahwin dengan Dilip adalah impian yang menjadi kenyataan.
“Tiada perkahwinan yang sempurna,” kata Saira. “Sebagai manusia, kita tidak sempurna kan? Ia adalah cinta sejati, saling menghormati dan kasih sayang yang mengekalkan perkahwinan.”
Shah Rukh Khan menziarah Dilip apabila pelakon itu semakin uzur. - Kredit Foto: Twitter The Dilip Kumar
Dilip atau nama sebenarnya Mohammed Yusuf Khan, dikenali sebagai ‘Raja Tragedi’ Bollywood adalah aktor serba boleh yang membawa pelbagai watak sama ada komedi, drama, romantik dan lain-lain.
Antara filem yang menjulang namanya adalah Aan, Daag, Devdas, Madhumati, Azaad, Mughal-e-Azam, Gunga Jamuna, Kranti, Karma dan Ram Aur Shyam.
Bersama Shah Rukh Khan, Dilip masih memegang rekod sebagai pelakon yang paling banyak memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik iaitu sebanyak lapan kali sejak pertama kali memenanginya pada 1954.
Jenazah Dilip selamat disemadikan pada 4:30 petang (waktu India), Rabu, 7 Jualai, 2021 di Juhu Qabrastan, Mumbai, dengan penuh penghormatan. Turut hadir pada pengkebumian itu adalah pelakon, Amitab Bachchan, anaknya, Abishek dan beberapa selebriti lagi.
Sebelum itu, ramai pelakon seperti Dharmendra, Shah Rukh Khan, Anupam Kher, Ranbir Kapoor, Shabana Azmi, Johny Lever, pengarah Karan Johar dan ramai lagi memberi penghormatan terakhir kepada lagenda di kediamannya sambil mengucapkan takziah kepada Saira Banu.
Pada masa sama, media sosial terutama Twitter dan Instagram dipenuhi dengan ucapan takziah serta coretan mengenai Allahyarham, antaranya oleh Sharmila Tagore, Salman Khan, Abishek Bachchan, Sanjay Dutt, Hritik Roshan dan ramai lagi. - KitaReporters
Amitab Bachchan mengiringi jenazah Dilip ke tempat persemadian di Juhu Qabrastan, Mumbai. - Kredit foto: Indian Express.
Dilip ketika menunaikan ibadat umrah pada 2013. - Kredit foto: Twitter The Dilip Kumar