Demi Malaysiaku! Skuad bola Olimpik ‘72 gagahi perjuangan!
Published byTETAP berjuang demi negaraku, Malaysia! Begitu sekali tekad Wong Kam Fook biarpun terpaksa beraksi dengan kecederaan buku lali kanan pada 31 Ogos 1972 yang juga hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-15 ketika itu. Sakit dan penat tetap diharungi demi negara tercinta!! : KitaReporters
WONG Kam Fook masih aktif bermain untuk kejohanan veteran pada usia 71 tahun. - Kredit foto Kam Fook.
Dalam perit jerih itu, penjaga gol kelahiran Ipoh, Perak ini masih mampu mengharungi 27 minit pertama perlawanan Kumpulan A bola sepak Sukan Olimpik Munich 1972 menentang Maghribi yang disaksikan oleh 2,500 hadirin itu.
Sempena Hari Malaysia 16 September 2020, Kam Fook, 71, mengimbas semula detik perjuangan 19 pemuda negara termasuk barisan simpanan kendalian jurulatih Allahyarham Jalil Che Din di Stadium ESV, Ingolstadt, Jerman Barat itu.
“Saya sudah tercedera ketika pasukan kita menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam perlawanan kedua tetapi pengurusan pasukan menggesa saya untuk tetap turun menentang Maghribi,” katanya.
Amerika Syarikat dalam perlawanan dua hari sebelumnya di stadium sama, bermain corak lasak dan keras seolah-olah mahu menerapkan unsur sukan popular mereka, bola rempuh Amerika (American football).
“Ya, mereka bermain corak keras tetapi bukan kasar,” katanya yang berjaya bertahan selama 55 minit sebelum dibolosi pemain Jerman Barat, Ronald Worm di Stadium Olimpik, Munich pada aksi sulung, 27 Ogos 1972.
AKSI Kam Fook menangkis asakan Jerman Barat (jersi putih) dalam Sukan Olimpik Munich 1972 sambil dibantu M. Chandran (kanan) dan Soh Chin Aun.
Dia tewas dengan hatrik pemain Maghribi, Ahmed Faras dan Boujamaa Benkhrif dalam tempoh sembilan minit dari minit ke-16 sehingga terpaksa menyerahkan peranan benteng terakhir negara kepada Lim Fung Kee.
Fung Kee, penjaga gol Selangor kemudian turut dibolosi dua lagi jaringan pemain lawan, Mohamed El Filali dan Ahmed Mohamed Tati pada minit ke-56 dan 85.
Skuad Jalil ketika itu hanya memerlukan seri untuk mara ke pusingan kedua Sukan Olimpik Munich selepas mengumpul dua mata selain dijinakkan tuan rumah 3-0.
Sedangkan Maghribi bimbingan jurulatih dari Sepanyol, Sabino Barinaga amat menagih kemenangan kerana hanya bermodalkan satu mata selepas diikat oleh Amerika Syarikat 0-0 dan dikalahkan gergasi dunia, Jerman Barat 3-0.
CHANDRAN (kiri) dan Namat memimpin skuad negara menjulang bendera Malaysia sekembalinya dari Seoul sebagai juara Kelayakan Olimpik Kumpulan 1 Asia, 1971 sekali gus menempah tiket Sukan Olimpik Munich 1972. - Kredit foto Kam Fook.
Kata bek tengah, Datuk Soh Chin Aun yang bergandingan dengan mendiang Datuk M. Chandran, kapten negara, “tidak syak lagi, kami tewas kepada pasukan yang lebih handal dan berkemahiran tinggi.
“Maghribi juga begitu pantas menyambar hantaran pemain kita. Apabila pasukan negara bertemu mereka semula dalam Pestabola Merdeka 1980 di Kuala Lumpur (menang 2-0 liga dan kalah 2-1 final), taraf permainan kita meningkat dan mampu menandingi lawan,” katanya.
Tonggak-tonggak lain kesebelasan negara ketika itu ialah Allahyarham Othman Abdullah, Datuk Namat Abdullah, Hamzah Hussin, Shaharudin Dollah, Allahyarham Salleh Ibrahim, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff, mendiang Wong Choon Wah dan Looi Loon Teik.
Di bangku simpanan pula ialah mendiang V. Krishnasamy, Koo Luam Khen, Harun Jusoh, Allahyarham Ali Bakar, Datuk Mohamad Bakar, Abd. Rahim Abdullah dan Bahwani Hiralal.
LIM Fung Kee (berdiri, kanan) dan Soh Chin Aun (berdiri, lima dari kiri) dalam skuad Olimpik '72. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.
Dalam kalangan 16 pasukan, skuad negara menduduki tempat ke-10 berdasarkan kedudukan ketiga Kumpulan A dengan satu kemenangan dan dua mata yang tetap dianggap pencapaian terpuji memandangkan inilah kali pertama mereka beraksi di pentas Olimpik.
Secara keseluruhannya pencapaian ini masih mengatasi Colombia, Iran, Brazil, Amerika Syarikat, Sudan dan Ghana.
CARTA kedudukan keseluruhan 16 pasukan bola sepak Sukan Olimpik Munich 1972.