Kerjasama IRM, MRA, MASwings, JKNS! Bersama hantar bantuan!
Published byGELOMBANG pandemik Covid-19 masih belum reda. Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak ini telah meragut lebih 1.3 juta nyawa penduduk dunia selain turut membabitkan lebih 54 juta kes positif setakat 17 November 2020. Malah impak Covid-19 tidak hanya mencakupi ruang lingkup kesihatan malahan penularan jangkitan ini telah mengubah hidup masyarakat serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara global. : KitaReporters
Lagi laporan-laporan berkaitan Islamic Relief:
https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief
Meskipun baru-baru ini, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.2 peratus, namun kita tidak dapat menafikan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang mengalami kesempitan serta kesukaran dalam mendapatkan akses makanan untuk kelangsungan hidup.
Realiti kepayahan masyarakat yang dilalui boleh dilihat menerusi laporan media serta paparan kisah-kisah yang tular dalam laman sosial.
Dari sudut kadar pengangguran pula, trend semasa menunjukkan kadar penurunan sejak Mei lalu. Ia bermula dengan rekod penurunan kadar pengangguran kepada 5.3 peratus pada Mei, 4.9 peratus pada Jun, 4.7 peratus bagi Julai serta Ogos dan 4.6 peratus pada bulan September.
Islamic Relief Malaysia, Malaysian Relief Agency (MRA) daan MASwings berganding bahu dalam menyalurkan bantuan ke Tawau dan Sandakan, Sabah.
Namun, seperti mana saranan pihak kerajaan, usaha untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta penyaluran bantuan masih perlu diteruskan berikutan situasi semasa yang masih belum stabil sepenuhnya.
Memaknakan Erti Kerjasama
Rentetan itu, Islamic Relief Malaysia (IRM), Malaysian Relief Agency (MRA), MASwings dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) baru-baru ini telah bekerjasama menghantar bantuan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Tawau, Semporna dan Sandakan, Sabah melibatkan set kelengkapan perlindungan diri (PPE), pelindung dan pelitup muka sebanyak 500 set bagi setiap barangan untuk fasa pertama.
Seterusnya, bantuan diteruskan dengan penghantaran bekalan 250 kit kebersihan, 4,000 set PPE serta 2,250 unit rapid test kit (RTK).
Syarikat penerbangan itu juga turut membawa bekalan sumbangan untuk penerima manfaat di Tawau dan Sandakan khusus untuk menyantuni golongan sasaran di kawasan pedalaman, fakir miskin dan penduduk yang tidak dapat diakses melalui jalan darat.
Islamic Relief Malaysia turut membantu menjayakan penghantaran barangan bantuan Ops Covid-19 MRA kepada JKNS melibatkan 13 unit ‘patient monitor’ (4-parameters), enam unit mesin elektrokardiogram dan 13 unit ‘powered air purifying respirators (PAPR)’ sumbangan Yayasan Bursa Malaysia.
Berpegang kepada visi untuk mewujudkan dunia yang prihatin, Islamic Relief Malaysia sentiasa terbuka dan mengalu-alukan jalinan kolaborasi daripada pelbagai pihak dalam usaha meringankan beban golongan rentan seperti yang dilaksanakan di Sabah.
“Kerjasama antara pelbagai pihak sangat penting dalam kita mendepani cabaran pandemik ketika ini. Terlalu banyak hasil yang boleh dicapai dan dinikmati bersama andai pendekatan ini diguna pakai dalam apa jua bentuk tugasan kerja kebajikan.
“Saya sentiasa memikirkan keadaan lebih 850 juta penduduk dunia yang kini sedang tidur dalam kelaparan. Jadi, dengan adanya penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk institusi korporat, tentu sahaja ia mendatangkan impak positif kepada kumpulan sasaran yang disantuni,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.
Bagi MASwings pula, kerjasama yang terjalin ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam membantu penduduk Borneo. MASwings sangat berbesar hati kerana dapat menjadi salah satu jambatan penghubung dalam menjayakan misi bantuan bersama Islamic Relief Malaysia dan MRA.
Kakitangan Islamic Relief Malaysia bersama wakil NGO Malaysia Relief Agency menyampaikan bantuan pek makanan kepada kepada Dahlia Abdullah, penduduk di perkampungan atas air di Sandakan, Sabah.
“Kami tiada kad pengenalan diri. Kami hanyalah pelarian yang menumpang di sini. Hidup kami tentu sahaja lebih sukar kerana tiada tempat dan tidak tahu arah tujuan untuk meminta bantuan. Sejak PKP dijalankan Mac lalu, hidup kami bertambah-tambah sukar. Anak saya yang masih bayi hanya minum air yang dicampur sedikit gula atau susu pekat manis agar kelihatan seperti susu walaupun hanya sekadarnya sahaja.
“Bukan saya tidak mahu memberi susu badan, namun saya sendiri sering mengikat perut. Tiada apa dapat diberikan untuk mengenyangkan anak-anak. Sedih dan sayu melihat anak-anak menangis kelaparan tetapi apa pilihan yang kami ada,” kata Mezah Basir.
Sesi agihan bantuan pek makanan dan kit kebersihan bersama pelitup muka kepada penerima manfaat di daerah Tawau, Sabah.
Seperti yang kita semua maklum, impak pandemik sangat besar. Jika di Sabah, golongan paling sukar yang terkesan akibat wabak ini adalah komuniti pelarian atau ‘stateless’ yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri atau pengiktirafan kerakyatan mana-mana negara.
“Sejak Mac (2020) lalu, bantuan Covid-19 yang kami salurkan di Sabah meliputi pelbagai golongan sasaran. Kami bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), rakan NGO tempatan juga pihak berkuasa tempatan Sabah dalam mengenal pasti penerima manfaat yang benar-benar layak mendapat bantuan.
“Kami di Islamic Relief Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada misi pertubuhan dan etika dalam dunia kesukarelawanan di mana bantuan yang dihulur hendaklah berbentuk menyeluruh tanpa mengira apa jua bentuk perbezaan yang ada,” kata Fathi Ridhwan Saidin, Pegawai Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.
Islamic Relief Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) sedaya upaya meluaskan agihan bantuan termasuk ke kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.
Berkat kerjasama Islamic Relief Malaysia, MRA dan MASwings, sebanyak 150 pek makanan dan kit kebersihan telah berjaya diedarkan di kawasan sekitar daerah Sandakan termasuk perkampungan atas air bagi menyantuni penerima manfaat tempatan dan komuniti Bajau Laut.
Selain itu, bantuan turut disalurkan kepada 150 keluarga di daerah Tawau hasil sumbangan dana kempen Rayuan Kecemasan Covid-19 anjuran Islamic Relief Malaysia.
“Terima kasih kerana membantu kami sekeluarga. Terima kasih kerana sudi hadir ke sini walaupun kami tinggal jauh di seberang sungai. Kami sangat menghargai bantuan dan sumbangan yang diberikan. Dengan adanya bantuan ini dapatlah mengurangkan tekanan yang kami hadapi untuk menyediakan makanan buat anak-anak yang masih kecil. Semoga Allah melipatgandakan pahala kepada semua yang membantu kami. Amin,” doa Dahlia Abdullah. - KitaReporters