Bapa banyak songeh! Usaha jadikan Jaami Qureshi warga gagal! Enggan janji kesetiaan, kata FAM!
Published byJAAMI Qureshi, sayap dan penyerang Akademi Brighton & Hove Albion FC. - Kredit foto: FB JQ
"KALAU pinggan tak retak, nasi pun tak dingin, orang tidak hendak, kita pun tidak ingin!" Mesej dalam pepatah Melayu ini mungkin kurang dimengertikan oleh Jaami Qureshi kerana dia sudah lama berpangkalan di England.
Namun sayap dan penyerang Akademi Brighton & Hove Albion ini sebenarnya mempunyai darah warisan Malaysia sebelah ibunya kelahiran Manjoi, Perak.
Bapanya, Perviz Qureshi merupakan warganegara Iraq dan Jaami sudah memilih kewarganegaraan negara Arab Teluk itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain bola sepak
JAAMI Qureshi memegang sebuah trofi kejuaraan Liga Bawah 17 Tahun England. - Kredit foto FB JQ
Justeru usaha menjadikan Jaami warganegara Malaysia tidak tercapai dan FAM mengucapkan selamat maju jaya kepadanya, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Saifuddin Abu Bakar dalam laman sesawang rasmi persatuan pada 18 Januari 2022.
Terdahulu pelbagai ikhtiar telah diambil FAM untuk membolehkan remaja berusia 18 tahun itu menyarung jersi kuning hitam Malaysia.
IBU Jaami Qureshi (kiri) kelahiran Manjoi, Perak dan bapanya, Perviz Qureshi warganegara Iraq pada 2016. - Kredit foto: FB JQ
MOHD. Saifuddin Abu Bakar. - Kredit foto: Asiana.my
"FAM sudah berkomunikasi secara terus dengan Perviz menerusi emel malah kedua-duanya mengadakan pertemuan antara 30 Jun 2020 hingga 10 Julai 2020 selain berhubung dengan pengurus akademi kelab Liga Perdana England itu, John Morling.
"Kami mahukannya menyertai latihan pusat skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Malaysia menjelang Kejohanan B-19 AFC di Uzbekistan pada 2020. Bapanya pula mahu Jaami diberikan keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal oleh ketua jurulatih, Bradley Maloney.
JAAMI Qureshi dikatakan mempunyai kekuatan rembatan kaki kiri ke gawang. - Kredit foto: FB JQ
PERVIZ Qureshi (kiri) bersama-sama adik-beradik Jaami (kanan) di United Kingdom pada 4 Julai 2021. - Kredit foto: FB PQ
"Dia disaran memenuhi syarat wajib kuarantin 14 hari setibanya di Malaysia dari United Kingdom, namun bapanya keberatan lagi kerana tempohnya terlalu panjang.
"(Sebaliknya) Perviz mencadangkan FAM memulakan proses dokumentasi Jaami. Untuk mengizinkan FAM mengirim kakitangan teknikal menilai kemampuan anaknya pun Perviz keberatan," katanya.
Janji untuk Jaami memilih kewarganegaraan Malaysia dan bukannya England turut tidak dapat dipenuhi bapanya.
Tujuannya ialah mengelakkan pertindihan pasukan jika kedua-dua negara ini layak ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA di Indonesia, menerusi Kejohanan B19 AFC itu.
WAN Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal berbual dengan adiknya, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal ketika sesi latihan pasukan B-19 Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2020. - Kredit foto: FAM
Jauh bercanggah dengan kesungguhan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal yang berpangkalan di Akademi Bola Sepak St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat.
Adik mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ini sanggup mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkuarantin apabila mendatangi Malaysia untuk berlatih dengan skuad Maloney.
WAN Kuzri (tengah) turut mempunyai abang, Wan Kuzain yang beraksi dengan kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (USL), Rio Grande Valley FC Toros. - Kredit foto: FAM
"Jaami wajib hadir bersemuka bagi proses permohonan dokumentasi kewarganegaraan Malaysia seperti MyKad dan pasport dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.
"(Tanpanya), FAM tidak akan berkompromi berkaitan pematuhan peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan Malaysia termasuk proses kuarantin (mencegah penularan) Covid-19 serta taraf kewarganegaraan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan," tegas Saifuddin.
Maloney, warga Australia, juga memutuskan untuk tidak menyenaraikan Jaami apabila pemain dan bapanya gagal mencapai kata sepakat dengan FAM.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 10 September 2020, mengumumkan penundaan Kejohanan B-19 AFC itu ke Mac 2021 namun membatalkannya langsung pada 25 Januari 2021 akibat pandemik Covid-19. - KitaReporters
BRADLEY Maloney (baju hitam) kini menjadi ketua jurulatih skuad Bawah 22 Malaysia yang mempunyai empat tugasan, Kejohanan B23 AFF (Februari), Sukan SEA Hanoi (Mei), Piala Asia B23 di Uzbekistan (Jun) dan Sukan Asia Hangzhou (September). - Kredit foto: FAM