Video| Mendiang Marvin Hagler memang marvelous! Sugar Ray rela mengalah pada perlawanan 1987!
Published bySATU laman Twitter yang mengenang Marvelous Marvin Hagler, bekas juara tinju middleweight terulung dunia.
“JIKA kemenangan saya pada 6 April 1987 di Caesars Palace boleh diterbalikkan untuk membawanya semula sekarang, saya akan memberikannya. Begitulah hebatnya (mendiang).
“Saya di rumah ketika mendapat tahu berita mengejut ini. Anak saya, Ray Jr. menelefon saya dan berkata, ‘Marvin sudah pergi! Minda saya ‘meletup’. Begitu mengejutkan sehingga saya sukar menggambarkannya.”
Andaian pada masa silam ini diluahkan oleh ‘Sugar’ Ray Leonard kepada Ringtv.com, mengulas pemergian selama-lamanya mendiang 'Marvelous' Marvin Hagler yang ditentangnya dalam ‘The Superfight’ (Aditempur).
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan tinju:
https://kitareporters.com/search?search=tinju'SUGAR' Ray Leonard (kiri) sedia menghayunkan tumbukan cangkuk ke badan 'Marvelous' Marvin Hagler dalam 'perlawanan Aditempur' pada 6 April 1987.
Leonard, 64, merampas bengkung kejuaraan middleweight dunia Majlis Tinju Dunia (WBC) dan The Ring dengan kemenangan kiraan mata tipis, 346-338 yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan pemerhati tinju profesional.
Marvin meninggal dunia pada usia 67 tahun pada Sabtu, 13 Mac 2021 tanpa diketahui sebabnya dan hanya dimaklumkan oleh isterinya, Kay G. Hagler pada laman Facebook peminat petinju itu.
Bekas juara terulung middleweight dunia dari 1980 hingga 1987 itu dilahirkan pada 23 Mei 1954, dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Bartlett, New Hampshire, Amerika Syarikat, catat isterinya.
Marvin dan isterinya, Kay. - Kredit foto: wcvb.com
Kebanyakan daripada 15,336 hadirin Caesars Palace mempertikaikan kiraan markah seorang daripada tiga hakim tepi gelanggang, Jo Jo Guerra, 118-110 yang menyebelahi tumbukan Ray yang mengenai sasaran, bekas petinju welterweight yang baru keluar daripada persaraan.
Hagler, pemegang rekod 63 menang, tiga kalah dan dua seri serta 52 menang tumbangan (knockout – KO) menuntut pertarungan ulangan, tetapi Leonard sudah pun mengumumkan persaraannya semula.
Tiga tahun selepas Aditempur 1987, barulah Sugar menawarkan pertarungan ulangan, namun Marvelous pula menolak potensi habuan bernilai AS$15 juta itu kerana dia sudah bersara dan menikmati kehidupan baharu sebagai pelakon filem aksi di Itali.
HAGLER (kiri) dan Leonard saling bertinju demi kejuaraan middleweight dunia WBC dan The Ring. - Kredit foto boxingtribune.com.
Ray, 64, dengan rekod tinju pro 36-3-1, mengimbas pertarungan terhebat mereka kepada talkSPORT.com: “Saya diserang tumbukan cedoknya yang begitu kuat sehingga saya terawang-awangan seketika.
“Marv melonjakkan saya, dia sekuat itu. Saya tidak terasa sakit sehingga saya sedia untuk tumbang tetapi tumbukannya menyedarkan malah menjadikan saya menghargai dan mengerti kuasa yang dimiliki dalam tangannya.
“Tangannya benar-benar berat, seorang lelaki yang berotot - amat kuat dan amat lasak,” ulas Leonard yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Montreal 1976 buat Amerika Syarikat.
LEONARD (kiri) dan Hagler pada 2019. - Kredit foto backthen.com.
Hajat Hagler untuk ‘Superfight II’ tidak kesampaian selepas bersara pada Jun 1988, begitu juga impiannya untuk satu hari nanti melihat sukan tinju pro hanya mempunyai seorang juara bagi setiap kelas berat.
Dua tahun lalu, katanya: “Mereka punya tiga atau empat bengkung kejuaraan, saya hanya mahukan satu. Bertahun-tahun lalu, kami petinju hanya bertarung untuk satu bengkung.
“Sekarang anda ada WBA (Persatuan Tinju Dunia), WBC dan IBF (Persekutuan Tinju Antarabangsa) dan WBO (Pertubuhan Tinju Dunia) - mereka kata semuanya macam budak-budak abjad.
“Jika (seorang petinju) kalah satu pertarungan atau kehilangan satu bengkung, mereka boleh kerap ke pertubuhan lain dan cuba merebut kejuaraan itu.
“Tentu menarik jika mereka mengembalikan hanya seorang juara (setiap divisyen),” kata mediang. - KitaReporters
KULIT depan dengan liputan meluas The Superfight: Marvelous-Sugar dalam majalah KO Magazine. - Kredit foto KO Magazine.