Anggota APM Besut melancarkan gerakan mencari mangsa  seorang lelaki yang terjun dari Jambatan Jertih.


MISTERI kehilangan seorang lelaki berusia 56 tahun yang dikhuatiri mati lemas selepas dipercayai terjun dari atas Jambatan Jertih, Terengganu, terjawab apabila lelaki berkenaan berada dalam keadaan selamat selepas dia pulang ke rumahnya di Kampung Padang Luas, dekat Jertih

Saksi kejadian, Rosmaini Harun, 43, berkata, dia menyaksikan kejadian itu dalam perjalanan dari Kampung Padang Luas ke Kampung Gong Guchil untuk menghadiri majlis kenduri kahwin kira-kira 1.30 tengah hari pada Rabu 2 Februari 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan terjun

Lokasi yang dipercayai seorang lelaki yang terjun dari Jambatan Jertih


Katanya, ketika dalam kenderaan di atas jambatan itu, trafik bergerak perlahan serta sesak dan dia  sempat melihat seorang lelaki di tepi jambatan.

Menurutnya, lelaki terbabit berpakaian baju berwarna kelabu dan memakai kain sarung warna gelap. 

"Saya sekali lagi cuba melihat kelibat mangsa melalui cermin sisi kenderaan, namun dia sudah tiada dan saya syak dia terjun dari jambatan. Bimbang dengan keadaan itu, saya segera bertindak menghubungi polis untuk meminta bantuan," katanya.

Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Jertih yang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang dan sepasukan anggota serta pegawai digerakkan ke lokasi kejadian,

Pasukan penyelamat  mengawasi pergerakan orang ramai memasuki kawasan lokasi kejadian


Ketua JBP Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pasukan penyelamat melakukan pencarian dengan radius kira-kira 20 meter di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat. 

"Operasi itu turut membabitkan seramai 35 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian netizen apabila mereka menggunakan media sosial  memaparkan kejadian seorang lelaki yang terjun dari jambatan menyebabkan kawasan lokasi kejadian dikunjungi ramai penduduk tempatan untuk mengetahui kejadian sebenar.




Kisah tersebut bagaimanapun mengejutkan orang ramai apabila lelaki yang dikatakan terjun ke Sungai Jertih itu berada dalam keadaan selamat selepas isteri mangsa berusia 53 tahun bersama anaknya muncul di Balai Polis Jertih pada Khamis, 3 Februari 2022  yang memaklumkan lelaki yang terjun itu adalah suaminya.

Katanya, kehadirannya ke balai polis itu selepas melihat banyak posting dalam media sosial yang menulis mengenai kejadian itu selain melihat pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sungai berkenaan.



Isteri mangsa mendakwa, ciri-ciri mangsa yang dilihat oleh pengadu kepada polis adalah menepati pakaian yang dipakai oleh suaminya ketika dia keluar dari rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor ketika mengesahkan perkara itu berkata, isteri mangsa  memaklumkan suaminya pulang ke rumah dan memberitahu tubuhnya sakit kerana terjun di Sungai Jertih. 

Katanya, susulan itu isteri mangsa kemudian mambawa suaminya ke Hospital Besut (HB) untuk mendapatkan rawatan.

“Lelaki tersebut memberitahu doktor dia sakit tubuh kerana jatuh dari tempat tinggi,” katanya.



Azrol berkata, hasil temu bual dengan mangsa, beliau memberitahu bahawa keadaan hawa panas memasuki tubuhnya melalui tangan dan naik ke kepala pada setiap jam terutama pada waktu tengah hari keadaan tubuhnya menjadi bertambah panas. 

“Lelaki tersebut kemudian mengambil keputusan untuk terjun dari jambatan tersebut kerana tidak tahan dengan  kepanasan yang dialaminya,” katanya. - KitaReporters


Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian Sungai Jertih

11
20
3
25
12

Copy Link: