Berita Terkini| Hanya 10 rakaat dan tidak melebihi 30 minit! Solat tarawih di dua masjid suci
Published byKredit Foto: SPA
RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud memperkenankan pelaksanaan solat tarawih di Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah sepanjang Ramadan tahun 2021 ini.
Memetik laporan Arab News, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan budi bicara Raja Salman dan memberi peluang kepada para jemaah menghayati Ramadan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Bagaimanapun, solat sunat itu hanya boleh dilakukan sebanyak 10 rakaat sebagai langkah mengurangkan penularan Covid-19.
Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Agama Islam
mengumumkan solat tarawih dan qiyaam akan digabungkan dengan solat isyak di
semua masjid di seluruh Arab Saudi dan seharusnya tidak melebihi tempoh 30
minit.
Langkah itu diambil bagi mengurangkan masa yang perlu
diambil oleh jemaah untuk menunaikan solat di masjid, sekali gus
mengurangkan kadar jangkitan.
Terdahulu, pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan hanya
jemaah yang telah mendapat suntikan dibenarkan memasuki Masjidil Haram dan
Masjidil Nabawi.
Malah denda yang tinggi akan dikenakan kepada umat
Islam yang tidak mematuhi peraturan itu yang dikuatkuasakan bagi membendung
penularan Covid-19.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi membenarkan
rakyatnya menunaikan umrah dan solat di dua masjid suci sepanjang Ramadan
tetapi menangguhkan ritual iftikaf (bertafakur selepas solat) dan majlis berbuka
puasa di dalam masjid. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporters
Kredit Foto; Kompas.com