Pertandingan mewarna memberi peluang kanak-kanak menunjukkan bakat terpendam selain mendapat pelbagai hadiah.  


PROGRAM Pagi Tanpa Kenderaan merupakan inisiatif yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bagi mencapai sasaran penurunan karbon di kawasan bandar. 

Ia sebahagian daripada program Low Carbon City Framework (LCCF) atau Rangka Kerja Bandar Karbon Rendah bagi mencapai sasaran pengurangan karbon kepada 45% pada tahun 2030.

Ia juga bagi mendidik masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cakna mengenai perlu memelihara alam sekitar dan mengelak pencemaran terutama asap kenderaan. 

Penganjuran Program Pagi Tanpa Kenderaan ialah program bulanan yang diadakan setiap Ahad minggu kedua yang diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti berkaitan kesedaran alam sekitar dan gaya hidup sihat kepada pengunjung. 

Rumah Puaka antara tarikan pengunjung sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024.


Lebih 1,000 pengunjung hadir sempena program Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024 pada 27 Oktober 2024, yang diadakan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Ia bermula jam 6.45 hingga 11 pagi dan pihak penganjur mengedarkan baju-T percuma kepada 500 peserta yang membuat pendaftaran awal.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyambut baik inisiatif program Pagi Tanpa Kenderaan yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana ia menggalakkan warga Bandar Baru Bangi untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kereta.

Beliau berkata, melalui program seperti ini, ia memberi kesedaran kepada penduduk betapa pentingnya menjaga alam sekitar, memastikan udara yang disedut setiap hari bersih daripada asap kenderaan dan gas-gas lain yang boleh memberi kemudaratan kepada kesihatan. 

Syahredzan Johan turut mengambil bahagian dalam larian santai sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024.


"Saya berharap inisiatif Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kereta 2024 diadakan dengan lebih kerap, supaya maklumat yang mahu disampaikan pihak berkuasa tempatan mengenai pentingnya menjaga alam sekitar dapat disampaikan kepada mereka secara lebih mudah.

"Bagus sangat program komuniti macam ini, saya fikir MPKj boleh memberi notis awal dan penetapan tarikh yang sesuai, jadi penduduk Bandar Baru Bangi tiada masalah untuk hadir, mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan berkenal-kenalan dalam kelompok masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Melalui aktiviti dalam program itu, orang ramai boleh mengambil bahagian dan mewujudkan masyarakat yang harmoni," katanya selepas melancarkan Butang Kecemasan atau "Panic Button" sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024. Turut hadir, Yang Dipertua MPKj, Nazli Md Taib dan pengurusan tertinggi pihak berkuasa tempatan itu. 

Nazli Md Taib dan Syahredzan Johan melancarkan Butang Kecemasan (Panic Button) sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024.


Butang Kecemasan ialah peralatan bantuan kecemasan yang dilengkapi dengan video intercom bagi memudahkan pengguna menyampaikan aduan atau maklumat berkaitan sesuatu situasi kecemasan atau berbahaya seperti jenayah, perbuatan mencurigakan dan kemalangan.

Isyarat kecemasan yang dihantar akan diterima oleh bilik kawalan dan ini memudahkan pihak MPKj untuk memberi bantuan awal dan mengelak berlaku perkara lain yang tidak diingini.

Ia mewujudkan persekitaran yang selamat, bantuan awal kecemasan terhadap sesuatu insiden dan mempercepat tindak balas dan respons semasa kecemasan.  

Setakat ini ada sembilan lokasi butang kecemasan itu ditempatkan iaitu satu unit di Stadium Kajang, Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi (5 unit), Kompleks Sukan Seksyen 15 (1 unit) dan Taman Tasik Sungai Chua, Kajang sebanyak dua unit.   


Menconteng muka atau face painting antara acara yang diadakan sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024.


Pelbagai aktiviti menarik berlangsung sepanjang program, antaranya termasuk pelepasan peserta kayuhan santai (fun ride) dan peserta berjalan kaki (fun run), senamrobik, pertandingan mewarna, pertandingan poster daripada bahan kitar semula peringkat sekolah, gerai jualan makanan dan minuman dan saringan kesihatan percuma.

MPKj turut menganjurkan Hari Mesra, platform orang ramai menyalurkan aduan dan permasalahan berlaku di kawasan mereka, sekali gus mempertingkat sistem penyampaian mereka kepada komuniti dan menyemak cukai taksiran. 

Dalam program berkenaan, kanak-kanak paling teruja mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan untuk mereka, antaranya pertandingan mewarna, melukis muka (face painting), badut dan sand art, giant bubble dan mini petting zoo.


Pengunjung juga mengambil peluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan sebuah klinik swasta di Kajang.


Buat kali pertama, Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024, MPKj mengadakan Fiesta Riang Ria bagi memberi keseronokan berganda kepada pengunjung. 

Melaluinya, orang ramai boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti permainan ala-ala "fun fair" seperti membaling tin, memasukkan gelung dalam botol dan paling menarik rumah hantu. Semuanya percuma. 

Beberapa pihak berkaitan turut mengambil bahagian dengan mengadakan pameran mengenai pertanian bandar, hidroponik, pemeriksaan kesihatan percuma dan kaunter jualan kitar semula. 

Fiesta ini turut mendapat kerjasama Pasar Raya Kipmall dan Evo Bandar Baru Bangi. - KitaReporters


Nazli sempat berswafoto dengan staf MPKj sebelum melepaskan peserta kayuhan santai (fun ride) dan berjalan kaki sempena Bandar Baru Bangi Pagi Tanpa Kenderaan 2024.

17
11
0
14
0

Copy Link: