Peserta Misi Amal bersiap sedia dengan sepanduk sebelum memulakan perarakan Maulid Nabi SAW.


ALANGKAH indahnya kalimah al-Quran yang membawa berita gembira, alangkah manis mendengarnya, alangkah seronoknya hati. Maka, bagaimana dalam benak fikiran kamu jika pembawa berita gembira merupakan yang paling mulia antara seorang - mulia dan paling penyayang di antara yang penyayang.

Inilah kelebihan kitab suci al-Quran yang tiada kepada buku-buku yang dibaca atau makalah lain yang dikatakan hebat. Ia adalah kata-kata Allah yang diturunkan untuk menjadi pedoman manusia, tiada cacat cela malah membenarkan kitab-kitab yang pernah diturunkan sebelum ini.  

Peserta khatam al-Quran dan haflah bergambar kenangan sebelum majlis bermula.


Inilah yang terjadi kepada Sayidina Umar bin al-Khattab yang mendapat hidayat Islam pada tahun ke-6 kenabian ketika berusia 33 tahun. 

Beliau memeluk Islam selepas mendengar adik perempuannya, Fatimah membaca al-Quran ayat 14 surah Taha. Maksudnya, Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku.

Sebelum memeluk Islam, beliau adalah seorang yang kuat menentang islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa: Ya Allah , kuatkanlah Islam dengan Umar.

Sebuah hadis daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Umar memeluk Islam, Jibrail pun datang dan berkat : Ya Muhammad , sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan Islamnya Umar. 

Ustazah Norhayati Sulaiman


Inilah keindahan al-Quran yang diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril kepada Nabi Muhammad SAW, bukan hanya sebagai menjadi cahaya menyuluh kegelapan masyarakat Quraish ketika itu tapi sebagai mukjizat untuk penawar dan melembutkan jiwa yang keras, melihatnya pun mendapat pahala apatah lagi membacanya.  Masya-Allah!

Menjadi trend terkini di Malaysia, alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran disampaikan dalam program haflah. Ia bermaksud persembahan atau majlis. Di sini, mungkin haflah adalah baharu tapi di kebanyakan negara Arab, ia seperti budaya yang diamalkan dalam pelbagai majlis.

Alhamdulillah, di Malaysia pun banyak program haflah al-Quran yang disampaikan qari atau mereka yang mempunyai bacaan al-Quran yang baik, sama ada di TV atau majlis keramaian lain. Ia dialunkan secara bertaranum.

Ustaz Mohamad Raffee Ghalil Abbas (kiri) dan Ustaz Mohd Rijal Sajiman mengetuai perarakan Maulid Nabi SAW.  


Bagi mengembangkan budaya haflah dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) mengadakan program Maulid, Khatam dan Haflah bagi meraikan ahli pertubuhan itu yang menamatkan bacaan al-Quran selain meraikan kecintaan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW walaupun pada akhir Rabiulawal.

Penggerak Misi Amal, Ustazah Norhayati Sulaiman berkata beberapa kekangan dan kesibukan menyebabkan program Maulid Nabi tidak dapat diadakan lebih awal, lalu dimasukkan dalam aktiviti khatam dan haflah.

Beliau berkata, walaupun sambutan Maulid Nabi SAW agak lewat tapi sambutannya amat menggalakkan, seramai 155 ahli Misi Amal berarak membawa sepanduk, mengalunkan selawat dan memuji kecintaan kepada Rasulullah, bermula dari jalan besar sehingga ke ibu pejabatnya sejauh 100 meter. 

Peserta-peserta tetap bersemangat untuk berarak sempena Maulid Nabi SAW walaupun dalam cuaca sedikit panas.  


Peserta perarakan Maulid Nabi SAW turut membawa anak-anak bagi memeriahkan suasana sambil berselawat menyatakan kecintaan kepada Rasulullah.


"Alhamdulillah, perarakan Maulid Nabi SAW berjalan dengan lancar, masing-masing bersemangat berselawat dan mengalunkan pujian kepada Rasulullah. Ia aktiviti tahunan Misi Amal walaupun dijalankan agak lewat, pada hari-hari terakhir Rabiulawal.

"Insya-Allah, program Maulid Nabi SAW akan diadakan setiap tahun bagi memberi peluang ahli kami untuk berarak bagi menyatakan betapa kecintaan kepada Baginda yang berkorban jiwa dan raga untuk umat akhir zaman," katanya.

Majlis khatam al-Quran dipimpin oleh penasihat Misi Amal, Ustaz Mohamad Raffee Ghalil Abbas bersama 14 anak murid yang pernah mengikuti pengajian al-Quran bersama Almarhum Ustaz Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang meninggal dunia pada Oktober 2021. 

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam program khatam al-Quran.


"Ustaz Wan Ainuddin Hilmi ialah bekas johan qari Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016.

"Perginya Ustaz Wan kami anggap seperti kehilangan seorang permata al-Quran kerana beliau yang berilmu dan berakhlak baik, apatah lagi meninggal dunia ketika umat Islam mengadakan Sambutan Maulidur Rasul 1443H.

"Justeru itu, selain mengadakan majlis khatam al-Quran, kami turut menyampaikan pahala bacaan kepada Ustaz Wan, moga Allah tempatkan arwah dalam kalangan hamba-Nya yang beriman," katanya. 

Selepas itu, diadakan tahlil ringkas dan tazkirah mengenai sirah Nabi Muhammad SAW, kehidupan dan perjuangan baginda mengembangkan Islam yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Mohd Rijal Sajiman.  


Kemerduan suara Dr Anuar Hasin (kanan) dan Ustaz Ahmad Termizi Ali (tengah) mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran menjadikan dewan Misi Amal senyap sunyi menghayati bacaan mereka.


Sementara itu, dalam segmen Haflah, Misi Amal menampilkan dua qari terbaik di negara ini iaitu Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2014, Juara Akademi al-Quran musim ke-4 2010 terbitan TV9 dan Johan Hafazan Al Quran Kebangsaan 2010, sekarang Imam Besar Masjid Al-Hidayah Kelana Jaya, Ustaz Ahmad Termizi Ali.

Seorang lagi qari jemputan ialah Pensyarah Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 pada 2013, Dr Anuar Hasin. 

Gabungan kedua-dua qari itu yang berselang seli mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran secara tarannum menjadikan majlis senyap sunyi, hanya kedengaran suara memuji, "Allahuakbar" dan batuk-batuk kecil.

Ternyata, kehadiran dua qari terbaik negara itu mengubat kerinduan ahli Misi Amal untuk mendengar kemerduan suara mereka dalam pelbagai tarannum, seolah-olah berada pada majlis tilawah antarabangsa.  

Ustazah berharap dapat mengadakan program itu tahun depan (2025), mungkin secara bergilir-gilir di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya. - KitaReporters


Peserta majlis Maulid, Khatam dan Haflah al-Quran bergambar kenangan dengan qari terkenal, Dr Anuar Hasin dan Ustaz Ahmad Termizi Ali. 

18
16
0
11
0

Copy Link: