"Sudah kahwin kah belum", lagu popular nyanyian Ahmad Daud dan Saloma, memang enak didengar. Tetapi adakah anda  mempunyai tabiat suka bertanya kepada kawan atau ahli keluarga kenapa belum berkahwin? Jika begitu fikirkan kembali.

Barangkali apa yang berlaku di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara, Indonesia boleh dijadikan iktibar.

Lantaran berang kerana terlalu kerap diajukan soalan kenapa belum berkahwin sehingga merasa diri jadikan bahan ejekan, seorang lelaki bertindak nekad membunuh jirannya dalam kejadian pada hujung bulan Julai 2024 lalu.

Memetik detikNews, lelaki berkenaan, Parlindungan Siregar, 45, memukul jirannya, Asgim Irianto, 60, bertalu-talu menggunakan kayu sehingga mati. Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, Kelurahan Aek Simotung, Kacamatan Saipar Dolok Hole, Kabupaten Tapanuli Selatan.


Parlindungan Siregar membunuh jirannya, Asgim Irianto, kerana marah ditanya kenapa belum kahwin.

Menurut polis, isteri mangsa memberitahu dia dan suami adalah adalah jiran sebelah rumah. Ketika kejadian, mangsa baharu sahaja tiba di warungnya di Pasar Simangambat menaiki motorsikal, kira-kira pukul 8 malam. 

Setelah memakir motor, tiba-tiba Parlindungan muncul membawa sebatang kayu dan terus meluru memukul kepala mangsa tanpa amaran. Asgim yang terkejut dengan tindakan jirannya terus berlari  ke arah jalan dalam kesakitan sambil dikejar oleh Parlindungan.

Dia berterusan memukul kepala mangsa sehingga jatuh tidak berdaya. Sudah jatuh pun masih dipukul. Parlindungan hanya berhenti memukul setelah orang ramai datang untuk membantu mangsa dan mengambil kayu daripada tangan Parlindungan.

Mangsa kemudian di bawa ke pusat kesihatan tetapi gagal diselamatkan sebelum sempat pun menerima rawatan akibat kecederaan parah.

Polis seterusnya menangkap Parlindungan dan membawanya ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk siasatan lanjut. 

Menurut polis, Parlindungan bertindak membunuh Asgim kerana sakit hati sebab mangsa selalu bertanya kepadanya bila mahu berkawin memandangkan usianya sudah memasuki 45 tahun.

Pertanyaan yang terlalu kerap diluahkan dalam nada mengejek menyebabkan Parlindungan hilang sabar, hilang pertimbangan. Akibatnya rakan sendiri menemui maut pada tangannya.


Tanapuli Selatan  berhampiran Mandailing Natal, Sumatera Utara.


Peristiwa ini wajar jadi pengajaran dalam kalangan kita. “Dah kahwin ke belum?” “Bila lagi nak kahwin? Kawan-kawan lain dah kahwin dan ada anak ramai. Nak tunggu sampai tua ke?” Dialog ini sering kedengaran dalam pertemuan antara kawan-kawan baik, untuk sembang santai, pertemuan rakan sekolah semasa reunion atau majlis-majlis tertentu.   

Dalam kalangan keluarga pula, waktu berkumpul pada hari perayaan seperti hari raya, senario sama berlaku. “Kenapa masih solo? Kamu memilih sangat kot!” Lebih memedihkan kata-kata “tak kan tak laku kot!”

Yang belum berkahwin, terutama perempuan, menjadi sasaran pertanyaan adik beradik, sepupu sepapat, pak long dan mak long serta ahli keluarga lain. Panas telinga mendengar, hati di dalam turut membara.

Soalan-soalan sudah kahwin ke belum, terutama yang diucapkan dalam nada mengejek, walau pun kononnya bergurau, memang sensitif kerana ia adalah peribadi. Ia memedihkan telinga, menyakitkan jiwa dan perasaan. 

Kerana itu berhati-hati berbicara, jangan sampai menyinggung rasa yang boleh membawa padah. - KitaReporters

11
19
0
9
0

Copy Link: