Terbaiklah kariah Surau Al-Ershad, Taman Kaya! Buat Gotong Royong Perdana sempena kedatangan Ramadan!
Published by
Dua ahli kariah membersihkan karpet di Surau Al-Ershad, Taman Kaya, dekat Taiping.
Dalam persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Surau Al-Ershad, Taman Kaya Fasa 2 tidak ketinggalan untuk menjalankan aktiviti Gotong Royong Perdana bagi membersih surau berkenaan di Taman Kaya, dekat Taiping.
Program tersebut bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Ahad, 23 Februari 2025 dengan disertai kira-kira 50 ahli jemaah surau itu.
Gotong-royong ini dijalankan di kawasan luar dan dalam surau yang melibatkan kerja-kerja membersih kipas, cermin tingkap, pintu, kolah dan menyedut habuk di atas karpet.

Ahli-ahli kariah meluangkan masa untuk sukarela membersihkan surau sebagai persiapan kedatangan bulan Ramadan.
Pengerusi surau itu, Ustaz Sulaiman Arsad berkata, tujuan gotong-royong diadakan adalah untuk membersihkan surau dan bagi menceriakan kawasan surau sempena ketibaan bulan Ramadan 1446H/2025M yang akan datang tidak lama lagi.
Katanya, amalan gotong royong ini dibuat setiap tahun dan mendapat sokongan ahli-ahli jemaah.
“Saya sudah menjadi pengerusi sejak 20 tahun lalu dan ia merupakan aktiviti surau apabila menyambut bulan Ramadan,” katanya pada Program Gotong Royong Perdana sempena menyambut bulan Ramadan di Taman Kaya.
Sehubungan itu, semua penduduk beragama Islam, yang datang ke surau untuk bersembahyang secara berjemaah apabila seruan azan berkumandang setiap hari, diharapkan akan berasa selesa dan gembira dengan keadaan surau yang bersih dan kemas. - KitaReporters

Beberapa orang ahli kariah membersihkan surau secara gotong royong sebagai persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan.