Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang pada minggu hadapan membawa Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyantuni sebuah keluarga berketurunan Cina yang merupakan salah seorang penerima Bantuan YKM. 

Na Ai Tin, 43, seorang pembantu jualan di kedai buah milik adiknya di Jenjarom, Kuala Langat, telah kehilangan suami, Tan Heeng Kooi akibat Pandemik COVID-19 pada Ogos 2021. Mendiang suami beliau ketika itu turut menghidap kanser. 

Ibu tunggal yang kini menyewa rumah tidak jauh dari tempat bekerja itu terpaksa berhempas pulas menyara dua orang anak yang masih bersekolah iaitu Tan Fu Xiang, 17 tahun, dan Tan Yan Shi berusia 14 tahun. 

“Sepanjang tahun lepas (2024), setiap kali musim perayaan, YKM pasti akan turun padang menyantuni keluarga-keluarga penerima Bantuan YKM, dan kali ini YKM telah mengenal pasti keluarga Puan Na sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada minggu hadapan.

“Bagi tahun ini (2025), seramai 16 penerima berketurunan Cina di seluruh negara termasuk anak-anak Puan Na akan menerima bantuan khas perayaan Tahun Baharu Cina. 

"Kesemua penerima akan menerima sumbangan sebanyak RM300 bermula hari ini (24 Januari 2025) melalui pembayaran secara dalam talian.” kata Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Tambah beliau, sumbangan ini diharap dapat memberi kegembiraan kepada seluruh penerima yang akan membuat persiapan perayaan sekali gus meringankan beban yang ditanggung. 

Ziarah Kasih hari ini (24 Januari 2025) mendapat tajaan daripada pasar raya besar terkemuka iaitu AEON BiG. 



Dalam masa yang sama, YKM akan mula mengkreditkan Bantuan Kasih YKM ini kepada semua penerima yang layak pada tanggal 30 hari bulan pada setiap bulan. 

“Dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah YKM pada Disember tahun lalu (2025), kita bersetuju untuk memberi secara bulanan kepada semua penerima yang layak, agar setiap penerima dapat menggunakan bantuan tersebut dengan sebaiknya tanpa perlu menunggu satu tempoh yang lama. 

“Insya-Allah, pada 30 Januari (2025) ini dan pada tarikh yang sama setiap bulan, bantuan akan dikreditkan secara dalam talian. 

"Bantuan Kasih ini akan disalurkan kepada hampir 1,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta setahun dan jumlah ini dijangka meningkat kerana kita masih menerima borang permohonan baharu dan sedang dalam proses tapisan.” 

Bantuan Kasih YKM ini merangkumi dua kategori iaitu Kategori A (berumur sejak lahir sehingga 15 tahun) menerima sebanyak RM200 sebulan dan Kategori B (berusia 16 tahun sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda Pertama akan menerima RM250 sebulan. 

Kaedah pembayaran bantuan baharu secara bulanan ini melihatkan peningkatan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM400 kepada RM2,400 bagi Kategori A dan Kategori B sebanyak RM500 kepada RM3,000. 

Sebelum ini, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun. Pembayaran sebanyak tiga kali setahun. 

Pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui emel dan WhatsApp. 



YKM juga ingin menyeru orang ramai yang terkesan akibat COVID-19 untuk menghubungi talian 03-2202 7493 atau emel ke [email protected] bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya mengikut syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh YKM. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
14
0
9
0

Copy Link: