Video| Meriah, membanggakan! PM bersama 10,000 rakyat jalan kaki! Malaysia Sarong Music Run 2025!
Published by.
Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dihimpun dengan semangat Malaysia Madani yang tinggi bagi memeriahkan acara Malaysia Sarong Music Run (Larian Muzik Sarung Malaysia) 2025 di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Acara ini bertujuan membawa rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dalam satu larian santai yang bukan sekadar tentang melangkah kaki, tetapi juga tentang irama budaya dan identiti negara.
Paling menarik, peserta digalakkan untuk mengenakan memakai kain sarung sebagai simbol identiti Malaysia yang merentasi bangsa dan generasi.
Sarung bukan sekadar kain, tetapi lambang kebersamaan – sesuatu yang dipakai dalam pelbagai majlis, dari upacara adat hingga ke gaya santai di rumah.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, beliau berharap lebih ramai rakyat menyahut usaha seumpama ini untuk bersama memperkukuh perpaduan dan menjulang khazanah warisan negara.
"Alhamdulillah, saya turut bersama menyertai acara ini dengan berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
"Gembira melihat ribuan anak muda yang berbangga memakai kain sarung, termasuk ada yang berbusana tradisional untuk bersama-sama mempromosi dan menjulang warisan seni budaya Malaysia," ujarnya.
Ini, kata beliau, selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang menjadi teras pembangunan negara di bawah Kerajaan Madani, yang menghargai dan memberi pertimbangan khusus terhadap kekayaan khazanah warisan negara.
Penghargaan tertinggi buat penganjuran acara hebat ini yang memberi ruang unik untuk memperagakan warisan budaya kita, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, tegas Perdana Menteri.
"Semoga acara seumpama ini dipercambah dan menjadi wadah untuk kita memperkukuh semangat persahabatan serta memupuk kecintaan antara rakyat berbilang kaum dan budaya," kata beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media