Transformasi Nur Aliah! Dulu takut ke sekolah! Tapi selepas pindah sekolah, jadi pelajar cemerlang!
Published byGambar hiasan
AWAL tahun ini, Nur Aliah Sazali, 16, pernah mengalami trauma untuk ke sekolah kerana takut berhadapan dengan guru Matematik Tambahannya di sekolah lamanya di Jeram, Selangor.
Dia yang tidak minat mempelajari mata pelajaran Matematik Tambahan sering menangis setiap kali hendak ke sekolah kerana takut berhadapan dengan guru Matematik Tambahan yang sangat tegas dan garang itu.
Dia yang sukar untuk menghabiskan kerja sekolah Matematik Tambahannya kerana tidak faham dan takut bertanya menyebabkan dia sangat fobia ke sekolah setiap kali ada mata pelajaran berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelajar-pelajar sekolah
Ibunya berasa sangat susah hati dengan keadaan Nur Aliah dan mencadangkan agar Nur Aliah berpindah sekolah dan tinggal bersama abang sulung Nur Aliah.
Cadangan berpindah sekolah dari Jeram ke SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor sangat menggembirakan Nur Aliah, walaupun dia akan rindu kawan-kawannya di sekolah lama, namun dia sangat mementingkan ketenangan jiwa untuk belajar.
Setelah bertukar sekolah ke SMK Bandar Baru Sungai Buloh dan tinggal bersama abang sulungnya di Paya Jaras, Nur Aliah membuktikan bahawa persekitaran yang tenang dan cara pendekatan pembelajaran yang tidak terlalu tegas serta hubungan baik antara guru-guru dan murid-murid membuatkan dia mudah memahami mata pelajaran yang diajar dan tidak takut untuk bertanya. Dia mula minat belajar.
Baru-baru ini pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2022, SMK Bandar Baru Sungai Buluh, Nur Aliah adalah antara pelajar cemerlang yang menerima anugerah pada majlis berkenaan.
Nur Aliah mendapat tempat pertama dalam kelasnya. Kecemerlangan Nur Aliah diraikan oleh ibu dan adik-adiknya yang datang dari Jeram untuk menyaksikan majlis bersejarah buat Nur Aliah.
Ibu Nur Aliah , Suzeela Ariffin berkata, sejak berpindah sekolah anaknya itu lebih matang, nampak ceria dan banyak berdikari berbanding ketika tinggal bersamanya dan adik-beradik yang lain di Jeram.
"Nur Aliah belajar menaiki bas dan komuter untuk ke sekolahnya di Sungai Buluh, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah abang sulungnya di Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras.
"Balik dari sekolah dia baru masak untuk makan tengah harinya. Dia juga membantu kemas rumah abang sulungnya kerana kakak iparnya juga bekerja.
"Hari Ahad jika tidak ada apa-apa nak buat di rumah, Nur Aliah buat kerja sambilan menjadi pramusaji di syarikat catering. Dapatlah dia duit tambahan untuk belanja.
"Kami bukan daripada keluarga yang senang, jadi Aliah perlu mencari duit tambahan untuk tampung perbelanjaan persekolahannya di sana" kata Suzeela, seorang suri rumah.
Ketika ditanya apa rahsia dia belajar sehingga boleh cemerlang berbanding sebelum ini yang sentiasa takut dan tak suka pergi sekolah, Nur Aliah berkata, apabila dia rasa gembira berada di sekolah dan mendapat guru-guru yang baik dan memahami masalahnya dia boleh tumpukan perhatian pada pelajarannya.
Dia mengakui cikgu yang garang memang bagus tetapi adakalanya bila cikgu berkenaan terlalu tegas, dia takut dia tidak dapat fokus pada pelajaran.
Jika tidak faham dia jadi sangat takut untuk bertanya. Akhirnya dia melakukan kesilapan yang berulang sehingga menjadi kemarahan gurunya.
Menurut Aliah, dia tidak ada formula untuk belajar, tapi dia selalu buat kerja sekolah dengan cepat jika ada masa dan amalkan tidur yang cukup iaitu tidur awal dan tidak mahu rasa stres.
Baginya, belajar perlu dalam keadaan jiwa yang tenang dan gembira, baru dia boleh fokus pada mata pelajaran yang dipelajarinya. Kawan-kawan yang baik dan guru-guru yang suportif menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Nur Aliah.
Ditanya mengapa suka bidang penulisan, Nur Aliah memberitahu, menulis dapat memberikan ketenangan dalam dirinya dan menulis dapat menyebarkan maklumat.
Nur Aliah yang mempunyai hobi memasak tidak menolak jika tidak dapat memasuki bidang penulisan dia mahu menceburi bidang masakan dan perniagaan.
Ditanya mengapa dia suka memasak, Nur Aliah memberitahu, dulu hidup susah, dia selalu membantu ibunya memasak.
"Kami cuba memasak walau bahan tak pernah cukup. Tapi dah syukur ada makanan. Nak makan benda-benda yang sedap-sedap dan fastfood macam McD, Pizza dan KFC lagi susah nak dapat, jadi mama selalu memasak makanan dan bila kenyang tak terfikirkan nak semua tu.
"Tapi kalau mama saya dapat duit memang dia belikan kami makanan segera tu," Kata Nur Aliah sambil ketawa. - KitaReporters
Bersama rakan-rakan sekelas