Segalanya bermula dengan pertanyaan daripada seorang kawan Yahudi mengenai Tuhan dan agama, pelakon muda Hollywood, Drew Davis membuat kejutan apabila mengumumkan dia telah memeluk Islam. Bagi yang tidak tahu, Drew Davis atau kini Amin Davis, 19, pemuda kelahiran Kanada, aktif berlakon sejak usia 6 tahun iaitu dari 2011, hingga kini. 

Senarai siri lakonannya tidak terbilang dengan jari, satu tajuk ada sehingga 60, 70 siri. Komitmen berlakon merentasi usia kanak-kanak, remaja dandewasa. Sehingga kini mendukung kerjaya pelakon profesional, lebih sedekad terbabit dalam pelbagai program persembahan televisyen. 

Sepintas lalu, Drew Davis popular menerusi siri kegemaran ramai seperti Paw Patrol, Max & Ruby dan Heartland Nerflix's, di samping terkenal melalui peranan dalam program televisyen "Orphan Black" (sebagai/watak Oscar Hendrix), "Rookie Blue" (sebagai Leo Nash) dan filem Disney XD "Bunks" (Grinsberg) serta filem "Taken From me: The Tiffany Rubin Story"  dan "Born to Be Blue" (Beau).

Dilahirkan di Toronto, Ontario, Kanada, dia adalah abang kepada pelakon Millie Davis, yang sama-sama berlakon dalam siri "Befriend and Betray", "Orphan Black" dan "A Dark Truth". 


Drew Davis berkongsi kisah penghijrahannya dalam temu bual Podcast bersama Boonaa Mohammed bertajuk "Hollywood Star Embraces Islam - Drew Davis on The Muslimi Experience" di saluran YouTube Muslimi. - Kredit foto: YouTube Muslimi.


Pemuda rupawan berkulit gelap ini sedari kanak-kanak tidak mementingkan soal ketuhanan. Jadi apa halnya tiba-tiba dia ingin beragama? Pendedahan pertama mengenai penghijrahannya ke Islam menerusi temu bual itu menggemparkan Hollywood.  

Menurut Drew Davis, hanya dengan satu soalan diajukan seorang kawan kepadanya suatu hari pada 2022, telah mengubah pegangan hidupnya.

"Satu hari seorang kawan saya seorang Yahudi bertanya, apa pendapat anda mengenai Tuhan dan agama? Pada masa itu saya tak pasti adanya Tuhan, kerana ianya sesuatu yang tak menyakinkan serta tiada bukti kewujudan-Nya, jadi kenapa kita perlu mencari?" 

Bagaimanapun lanjutnya, "Sampai ke rumah malam itu, soalan kawan saya tadi berlegar pada benak, daripada dua, persoalan itu berkembang. Lantas terfikir pentingnya mempunyai maklumat untuk mempertahankan pendirian saya. Untuk itu saya pun mulalah mengkaji," ujar Drew Davis, anak kepada Megan dan Wayne Davis, pengendali sekolah lakonan, Charactors Theatre Troupe. 


Melalu sesi temu bual ini, Drew Davis (kanan) membuat pendedahan umum pertama mengenai penghijrahannya ke Islam - YouTube Muslimi (Pautan ke video penuh temu bual:  https://youtu.be/qaiDWZ43uE0)


Kajian mula-mula mengenai kewujudan The Creator (Pencipta@Tuhan), kebanyakan maklumat dikutip daripada internet, di samping artikel dan buku. 

"Sasaran pertama dari sudut Kristian, fokus mengenai teras kepercayaannya, terutama mengenai Jesus Anak Tuhan. Sampai kepada fahaman ketuhanan triniti (tiga dalam satu), terasa  samar-samar. Saya kaji kitab-kitabnya yang berlainan dan hasilnya tak begitu menyakinkan. Kemudian beralih kepada Hindu dan Yahudi, pun kurang rasionalnya menyebabkan saya berbalik kepada Kristian.

"Kali ini saya dengar banyak debat mengenai Kristian-Islam, kebanyakan mengulas mengenai siapa Jesus dan Isa AS, serta perbandingan kedua-dua agama itu. Saya dapati doktrin Islam lebih rasional," ujarnya sambil menambah dia kemudian mengkaji lagi. Ketika itu banyak masanya dihabiskan untuk penyelidikan. 

"Selesai tugasan hakiki, saya terus pulang sambung penyelidikan. Sehingga keterlaluan mengkaji 10 hingga 12 jam sehari tanpa jemu, sedangkan sebelumnya saya banyak habiskan masa bermain video. 

"Kawan-kawan mulai pelik dengan perubahan saya, ada bertanya saya buat apa, saya kata, sedang mengkaji agama. Memang saya suka kaji, selalunya hal kehidupan. Hasil kajian agama, saya dapati ilmu ketuhanan Muslim sangat kuat." 


Pelakon Kanada terkenal melalui watak-watak dalam siri televisyen seperti PAW Patrol sebagai Marshall, Orphan Black sebagai Oscar Hendrix dan siri Rookie Blue sebagai Leo Nash. - YouTube Muslimi


"Namun saya hanya perlu satu kesilapan untuk tolak Islam kerana memang tak pernah terfikir nak jadi Muslim. Saya dah tetapkan, hanya akan terima jika tiada satu pun kontradiksi dalam Quran. Memanglah tak jumpa."  

Akhirnya dia terpaksa memutuskan sama ada untuk menerima kebenaran itu ataupun sengaja menolaknya. 

Dengan rentetan ini, pada 2023, akhirnya Drew Davis, 19, bersyahadah. Dia melafazkannya bersendirian selepas yakin dengan info boleh bersyahadah tanpa saksi.

"Selepas itu saya belajar sendiri untuk beramal, suatu ketika saya buntu dan terfikir adakah keputusan saya ini salah? Terasa ingin keluar Islam, malam itu sebelum tidur saya berdoa agar Tuhan tunjukkan apa yang betul. 

"Dalam tidur saya bermimpi terkurung di satu kawasan yang dikawal. Saya berusaha lari tapi tak dapat kerana pengawal ada di mana-mana. Tak tahu nak buat apa, lalu terfikir untuk solat. 

"Dalam mimpi itu saya sujud memohon pertolongan Allah, tiba-tiba tersedar, waktu subuh. Saya kira Allah suruh saya bangun untuk melakukan solat," katanya lagi.


Kajian mengenai Islam asalnya bukan tujuan untuk menerimanya, sebaliknya untuk cari kesilapan dalam quran, malangnya sukar menemui percanggahan. 


Drew Davis mengakui tak banyak tahu mengenai Islam selain solat, puasa dan hijab. Ketika itu dia belum bersedia ke masjid kerana merahsiakan penghijrahannya daripada umum.

Tidak lama kemudian, menurutnya dia ke Indonesia untuk berlibur. Peluang untuk bergaul dengan Muslim dan mengetahui cara hidup mereka selain ingin menjalani Ramadan di sana.

"Saya sengaja ke satu pulau kecil dan terpencil di Bali, penduduknya seratus peratus Muslim. Orang di sana peramah, mesra dan melayan saya dengan baik. Kagum dengan kemesraan mereka, terima tanpa tahu siapa saya, mereka tak tahu pun saya pelakon. Di masjid, saya berkenalan dengan anak ketua kampung yang kemudian saya ke rumah keluarganya. 

"Dua bulan di sana, saya dapati kehidupan masyarakat Islam di sana sungguh menakjubkan," tambahnya sambil menambah, pulang dari Indonesia, dia berhubung dengan Mohamad, bekas rakan sekolahnya dan mendapat bimbingan daripada Mohamad dan keluarganya pula. 

Setelah bergaul dengan keluarga Muslim, Drew Davis mula menyedari perbezaan antara budaya Islam dan Barat yang asyik mengejar wang dan materialistik. 

Dalam Podcast ini juga, Drew Davis yang belum setahun menjadi Muslim meluahkan harapan untuk menerbitkan program patuh syariah apabila tiba masanya nanti. 

Pada akhir temu bualnya, dia mengejutkan Boona Mohammed dan penonton apabila berjaya melantunkan permulaan surah Yasin hasil belajar sendiri dalam YouTube. - KitaReporters



Perkenalan dengan Boonaa Mohammed memberi peluang kepada Drew Davis untuk membuat pengakuan umum penghijrahannya ke Islam. - Kredit Foto: YouTube Muslimi.


8
11
0
10
0

Copy Link: