BURUNG merbuk atau nama saintifik Geopelia striata, juga dipanggil ketitir, perkutut dan merpati belang. Habitat asal unggas ini dari selatan Thailand, Utara Semenanjung, Kepulauan Sumatera dan Filipina. Burung jantan lebih galak mengeluarkan bunyi atau suara lunak bagi "menggoda" burung betina untuk mengawan.

Tapi percaya atau tidak, burung yang sebesar tapak tangan ini mempunyai nilai amat istimewa terutama dalam kalangan peminatnya kerana kemerduan suara burung itu tiada tandingnya. Tidak hairanlah ada yang sanggup membeli unggas itu RM100,000 dan RM200,00 seekor.

Pernah seekor burung merbuk dari Pattani, Thailand dijual pada harga RM200,000 kepada seorang warga Singapura beberapa tahun lalu. Bagi sesetengah orang, ia mungkin tak masuk akal tapi peminat burung tegar ia adalah satu kepuasan. Harga antara RM15,000 hingga RM20,000 seekor adalah perkara biasa. 


Seorang juri mendengar dengan penuh teliti suara burung merbuk yang dipertanding sebelum memberi markah.  


Pengerusi Persatuan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Malaysia (PSSBMTM), Mohamad Ridzwan Mohd Ali, berkata peminat tegar burung merbuk tahu keistimewaan unggas itu, mendengar suaranya bagaikan satu terapi atau healing yang boleh mententeramkan jiwa dan sesuai untuk sesiapa saja.

"Itu adalah anugerah semula jadi yang dikurniakan Allah kepada burung merbuk, jadi tidak hairanlah jika harganya mahal dan pemeliharaan terutama untuk pembiakan amat menguntungkan.

"Burung ini harganya mahal terutama daripada baka yang baik, berusia di antara usia lima hingga enam bulan. Ada peminat tegar unggas ini yang tidak kedekut untuk membayar sehingga puluhan ribu dan burung dewasa yang pernah menjadi juara beberapa kali mungkin lebih mahal harganya.

"Suaranya yang merdu dan mendayu-dayu memberi ketenangan. Inilah uniknya burung merbuk," katanya selepas penyampaian hadiah Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya pada 7 Julai 2024.

Mohamad Ridzwan Mohd Ali


Sebanyak 160 merbuk mengambil bahagian dan penyertaan datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Seremban. Sepatutnya kehadiran peserta lebih ramai tapi kebetulan ada pertandingan yang sama di Kulai, Johor dan Sungai Korok, Kedah.

Ada enam kategori dipertanding iaitu Burung A (burung kasar), Burung B (burung semi kasar), Burung C (burung nyaring), Burung Remaja, Burung BBB (burung muda) dan Burung Terkukur. Ada 10 pemenang bagi setiap kategori dan keseluruhan ada 60 pemenang.

Pemarkahan kepada bunyi saja dan juri akan meletak bendera. Tempoh pertandingan selama empat jam atau empat pusingan, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. 

Kaedah ini hanya dilakukan di Lembah Klang dan ke bawah manakala di Perak, Kedah dan Kelantan, mereka mengambil kira faktor kecantikan burung itu. 


Seekor burung merbuk yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya di Padang Semarak, Taman Wetland,Putrajaya. 


Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Wan berkata, pertandingan seperti itu diadakan sejak 1960-an, dulu acara ini dimainkan golongan petani. Biasanya inilah hiburan golongan petani zaman dahulu, penat lelah seharian di bendang dan ladang bagaikan terubat apabila mendengar burung belaan mereka.

Meskipun dalam cuaca panas terik, mereka sanggup berdiri menanti dan mengamati suara burung yang paling merdu di dalam sangkar. Dengan keindahan adunan warna dan pelbagai reka bentuk sangkar, ia menarik perhatian mereka yang meminatinya selain setia menunggu dendangan burung bertuah.

"Burung yang menyertai pertandingan perlu dipersiap dengan latihan supaya mereka tidak malu mengeluarkan suara yang lunak, merdu dan galak kerana faktor itu termasuk dalam pemarkahan. Suara burung ini perlu dilatih dari segi keupayaan mengeluarkan, mengawal, lenggok, kemerduan, getaran suara selain membiasakannya dengan suasana pertandingan. 

Peminat burung merbuk sanggup berdiri dalam cuaca panas terik menanti dan mengamati suara burung yang paling merdu di dalam sangkar.


"Seekor burung yang baik mampu mengeluarkan suara yang unik dan merdu untuk tempoh antara tujuh hingga lapan tahun, tapi, ada juga burung yang hebat, mempunyai suara yang lunak tetapi semasa hari pertandingan ia menjadi pasif kerana beberapa faktor persekitaran," katanya.

Menurutnya, minat menceburi bidang itu boleh dikembangkan sebagai industri yang memberi hasil lumayan. Seekor burung merbuk berusia sekitar dua hingga tiga bulan  dijual pada harga RM2,500 seekor manakala bagi burung matang, mencecah hingga RM10,000 jika dapat mengalunkan suara yang merdu.

"Burung bersuara lunak dihasilkan daripada baka yang baik dan dijaga pemakanan sehinggalah soal vitamin bagi memastikan keupayaan menghasilkan suara yang merdu dan lunak. Ia turut mengambil kira faktor genetik dan burung yang mampu menghasilkan suara yang lunak dan merdu lazimnya berusia sekitar tujuh tahun. 

Dengan keindahan adunan warna dan pelbagai reka bentuk sangkar, ia menarik perhatian mereka yang meminatinya selain setia menunggu dendangan burung bertuah.


"Membela burung merbuk perlu menitikberatkan aspek kesihatan, pemakanan, kebersihan, pencahayaan dan menyediakan sistem pengudaraan baik untuk menjamin kesihatan unggas itu dapat mengawan, bertelur serta menetaskan anak dengan sempurna," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pak Wan bercadang mengadakan pertandingan seni suara burung merbuk itu ke peringkat Asia Tenggara, mungkin Ogos atau September 2024. 

Jika menjadi kenyataan, ia mungkin menyediakan hadiah dan cabutan bertuah lebih lumayan tapi bergantung kepada kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya dan beberapa perkara teknikal lain. 


Sebanyak 160 burung mengambil bahagian dalam Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya.


Sementara itu, seorang peminat burung merbuk,  Abdul Aziz Rosli, 43, berkata proses membela seekor burung merbuk untuk pertandingan bukan mudah, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memastikan unggas itu mengeluarkan suara yang merdu dan lunak. Burung-burung ini perlu dijaga dari segi pemakanan sehinggalah soal ubat-ubatan bagi memastikan keupayaan mereka.

Beliau berkata, suara yang merdu dan lunak ini adalah anugerah Allah tapi pemilik juga perlu memberi burung-burung tersebut latihan, rajin membawa ke padang supaya cepat galak mengeluarkan suara. Makanannya ialah padi dan sekoi dan sesekali campuran pasir pantai yang digoreng bagi membantu proses penghadamannya.

"Burung merbuk peliharaan saya diberi vitamin dua kali seminggu untuk membantu meningkatkan kesihatan mereka. Sangkar juga perlu dibersihkan setiap hari. Bukan semua burung-burung ini mempunyai suara yang baik, faktor genetik juga menentukan keupayaan suara mereka. 

Pak Wan (kanan) menyampaikan hadiah kepada Abdul Aziz Rosli yang muncul juara burung merbuk bagi kategori Burung BBB dan Burung A.


"Setakat ini saya ada 100 ekor burung merbuk dan pernah menjual unggas itu dengan harga RM28,000 seekor manakala, setakat RM10,000 atau RM11,000 memang dah biasa dijual," katanya yang menjuarai kategori BBB dan Burung A. Ini adalah kali ke-43 burung merbuk miliknya mendapat gelaran juara.

Beliau yang berkecimpung dalam bidang itu sepenuh masa pernah meraih gelaran tempat kesembilan ketika menyertai pertandingan peringkat negara ASEAN di Putrajaya pada 2016. 

"Saya tidak akan menjual burung Merbuk yang menjuarai pertandingan kali ke-43 ini walaupun ada peminat yang mahu membeli kerana terlalu sayang dan mahu sentiasa mendengar suara unggas itu," katanya lagi. - KitaReporters

Pak Wan (kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Zulkifli Fadeli (tengah) yang menjadi juara bagi kategori burung terkukur.

19
11
0
12
0

Copy Link: