NALURI dan keprihatinan ingin melihat haiwan yang bernyawa terus hidup seperti binatang-binatang lain secara tidak langsung mendorong seorang pemuda sanggup berkorban tenaga menyelamatkan anak burung pungguk yang terjatuh dari 'rumah sangkar' dengan ketinggian hampir tiga meter. : KitaReporters


Aris Aiman Azmi dengan penuh kasih sayang meyelamatkan anak burung pungguk yang terjatuh dari rumah sangkar di  Jalan Mayang, Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor. - Kredit foto: FB ADUN Permatang, Rozana Zainal Abidin.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan burung:

https://kitareporters.com/search?search=burung


Malahan tindakan yang dilakukannya juga kerana menyedari bahawa baka burung diselamatkan itu turut dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai burung hantu merupakan antara spesis yang semakin pupus dan terancam serta sukar ditemui sekarang

Bagi Aris Aiman Azmi yang begitu terusik nalurinya dengan masalah keselamatan anak burung berkenaan masih belum ditumbuhi bulu, perlukan belaian dan penjagaan ibunya sanggup mengorbankan tenaga memanjat tiang pondok kecil dengan ketinggian hampir tiga meter itu semata-mata meletakkan kembali ke rumah sangkar kediamannya. 



Antara anak burung pungguk masih belum tumbuh bulu yang terdapat di rumah sangkar di Jalan Mayang, Sawah Sempadan semasa ketiadaan ibunya kerana keluar mencari makan. 


Anak burung pungguk tersebut dipercayai terjatuh semasa ketiadaan ibunya yang kemungkinan keluar mencari makanan. 

Semasa insiden itu yang berlaku di rumah sangkar burung pungguk Jalan Mayang, Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor terdapat lima ekor baka spesis burung berkenaan yang masih belum ditumbuhi bulu.

Usaha positif Aris Aiman yang juga dikenali sebagai abang vokalis wajar dicontohi setiap individu lain terutama dalam menjaga haiwan seperti baka burung pungguk merupakan antara spesis yang semakin pupus.


ROZANA ZAINAL ABIDIN


Keprihatinan Aris Aiman ini tercatat dalam media sosial Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Permatang, Rozana Zainal Abidin pada Ahad 27 Disember 2020 yang tertarik dengan tindakan berani pemuda berkenaan.

Burung pungguk merupakan antara spesis haiwan mampu membantu golongan pesawah dalam meningkatkan hasil tanaman padi yang diusahakan melalui pengawalan habitat perosak terutama tikus.

Mungkin sebahagian antara kita tidak ramai mengetahui bahawa burung pungguk merupakan antara elemen penting bagi pengusaha sawah padi di negara ini kerana ia adalah sebahagian haiwan pemusnah musuh utama tanaman padi itermasuk tikus.



Jika anda berada di sekitar kawasan 'periuk nasi' Negeri Selangor yang melibatkan Projek Barat Laut Selangor (PBLS) terletak di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam di mana puluhan ribu hektar diusahakan dengan tanaman padi, burung-burung spesis jenis ini 'dipelihara' serta digunakan sebagai usaha membanteras tikus-tikus yang cuba memusnahkan tanaman diusahakan para petani.

Melalui pemeliharaan itu sebuah pondok kecil atau dikenali sebagai 'rumah sarang' bagi menempatkan burung pungguk berukuran anggaran antara 60 sentimeter panjang dan 30 sentimeter lebar menggunakan sebatang tiang ketinggian hampir tiga meter. Rumah-rumah sarang ini dibina di sekitar kawasan sawah padi.



Bagi kawasan sawah di Sawah Sempadan, Sungai Sireh dan Sungai Burung di Daerah Kuala Selangor, spesis burung pungguk ini juga dikenali sebagai ' haiwan sahabat ladang' kerana ia mampu mengawasi kawasan sawah dari serangan musuh terutama tikus pada waktu malam.

Malahan burung pungguk juga menjadikan tikus musuh utama tanaman padi dan jenis-jenis tanaman lain sebagai makanan utamanya.


Aris Aiman terpaksa memanjat tiang rumah sangkar setinggi hampir tiga meter untuk meletakkan kembali anak burung pungguk yang terjatuh semasa ketiadaan ibunya kekediaman burung tersebut.


Rozana pada catatan tersebut memohon pihak berwajib menambah bilangan rumah sangkar burung pungguk jelapang ini supaya usaha mencegah masalah tikus di sawah padi dapat dipertingkatkan.

Katanya, buat masa ini hanya tinggal beberapa rumah sangkar pungguk jelapang yang ada di sekitar sawah dalam kawasannya yang berkeadaan baik kerana ada yang sudah rosak dan rebah menyembah bumi.



Dalam konteks ini, suatu yang positif perlu dilakukan oleh pihak berkaitan yang bertanggungjawab jika penggunaan spesis burung pungguk dapat membantu masalah serangan tikus dalam industri tanaman padi secara berkesan.

Sepatutnya pihak berkenaan tidak sewajarnya membiarkan rumah sangkar pungguk jelapang dibiarkan tanpa penyelenggaraan setelah ia dibina sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permufakatan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Aini Saunsi sentiasa komited bersama ahli-ahlinya mengurus selia pelbagai masalah tanaman padi di sekitar kawasan Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

Semoga melalui usaha anak-anak muda yang aktif akan memberi manfaat kepada para petani sejak sekian lama berkecimpung dalam aktiviti perusahaan tanaman padi. - KitaReporters 


Akhirnya setelah bersusah payah Aiman berjaya meletakan kembali anak burung pungguk yang diselamatkannya ke dalam rumah sangkar burung berkenaan.

1
0
0
0
2

Copy Link: