Terkejut hanya tinggal tapak! Rumah musnah dihanyutkan arus deras masa banjir besar landa Raub
Published byMUSIBAH daripada bencana banjir menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap mangsa yang terlibat. Ada yang kehilangan harta benda, kemusnahan berbagai barangan berharga termasuk kegiatan pertanian mahupun ternakan yang diusahakan dengan beban kerugian di luar jangka. Namun semua itu kita hanya dapat berserah dan meredakannya dengan penuh rasa ikhlas terhadap ujian berlaku. : KitaReporters
Hanya tinggal tapak itulah yang dapat diperhatikan oleh Abdul Khairul Mokmin Kamaruddin bila rumahnya musnah dan hilang dihanyutkan o9leh arus banjir di Kampung Ruyung, Dong, Raub, Pahang. - Kredit Foto: Sahabat Amal Care.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Sahabat Amal Care:
https://kitareporters.com/search?search=sahabat+amal
Keadaan ini turut dialami seorang penduduk di Kampung Ruyung, Dong dalam Daerah Raub, Pahang ketika banjir melanda negeri itu sejak Ahad 3 Januari lalu hingga membibitkan catatan ingatan sepanjang umur hidupnya.
Dalam kejadian pada hari itu, rumah kediaman milik Abdul Khairul Mokmin Kamaruddin, 31, yang terletak di atas tanah kepunyaan ibunya hanyut dan musnah dibawa oleh arus deras Sungai Pahang yang terletak berhampiran.
Bagaimanapun beliau yang masih bujang dan tinggal bersendirian terselamat kerana ketika itu tidak ada di rumah sebaliknya tumpang berteduh disebuah rumah jiran terletak beberapa meter dikawasan agak tinggi sedikit.
"Saya yang menyedari air semakin naik dan hampir cecah lantai rumah terus meredah arus deras melebihi paras pinggang menuju kesebuah rumah jiran berhampiran yang terletak di kedudukan agak tinggi yang disangkakan lebih selamat," katanya.
Malahan beliau bertindak demikian kerana takut air naik lebih tinggi disebabkan tidak pandai berenang.
Khairul Mokmin menceritakan keadaan banjir yang dialaminya hingga rumah beliau musnah dan hilang dihanyutkan arus deras banjir kepada salah seorang anggota Sahabat Amal Care dan Ustazah Asma Harun (kiri).
Semasa sampai di rumah jirannya, Mohd. Faizol Abu Bakar kelihatan air semakin tinggi hingga mencecah paras dada.
Malahan rumah jirannya di bahagian yang ketinggian dua meter dari paras tanah sudah mula digenangi air pada bahagian lantai. Manakala di bahagian dapur air sudah sampai kebumbung.
Ketika berada di rumah jirannya itu sementara menunggu bantuan bot tiba untuk berpindah, Khairul Mokmin bersama keluarga jirannya terpaksa berkerja keras membantu menyelamatkan ibu kepada Mohd Faizol yang tidak dapat bergerak kerana sakit saraf dengan memindahkannya ke bahagian ruang rumah hadapan.
Tetapi disebabkan banjir terus meningkat air turut memenuhi ruang rumah dibahagian hadapan hingga melepas paras lutut dan usaha terpaksa dibuat bagi meninggikan kedudukan katil yang meletakkan ibu jirannya itu supaya tidak terkena banjir.
Antara ternakan milik Khairul Mokmin yang masih hidup sekalipun banjir di Kampung Ruyung, Dong memusnahkan rumah kediaman beliau.
Khairul Mokmin bersama tujuh ahli keluarga jirannya itu termasuk isteri dan anak-anak mereka terpaksa menunggu dalam kebimbangan bantuan bot penyelamat untuk berpindah hampir sembilan jam dari 10.00 pagi hingga 7.00 malam baharulah tiba.
Keadaan ini disebabkan arus air banjir yang begitu deras menyukarkan bot penyelamat untuk sampai ke kawasan kampung berkenaan.
Malahan untuk keluar dari rumah jirannya itu bagi menaiki bot penyelamat terpaksa keluar daripada tingkap disebabkan ketinggian air banjir yang memenuhi kawasan rumah.
Asma Harun bersama salah seorang anggota sukarelawan Sahabat Amal Care mendengar cerita Khairul Mokmin (tengah) di atas tapak tinggalan rumahnya yang dihanyutkan banjir.
Peristiwa cemas ini beliau dedahkan kepada anggota sukarelawan Sahabat Amal Care di bawah naungan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun yang membuat tinjauan ke kampung berkenaan bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
Setelah banjir mula surut Khairul Mokmin bersama jiran-jiran kembali untuk melihat keadaan kampung dan terkejut kerana mendapati rumah kediaman tidak ada hanya yang tinggal tapaknya sahaja.
Bagaimanapun terdapat sebahagian haiwan ternakannya termasuk itik dan angsa masih hidup dan berkeliaran di sekitar kawasan tapak rumah berkenaan.
"Angsa sekalipun masih hidup tetapi dihanyutkan arus banjir dan setelah dipanggil haiwan tersebut kembali ke kawasan tapak rumah" ujarnya.
Namun demikian haiwan ternakan seperti ayam yang dipeliharanya sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 tahun lalu mati akibat banjir tersebut. Beliau juga agak terkilan kerana lapan ekor anak angsa peliharannya semua mati.
Khairul Mokmin yang reda dengan kejadian ujian yang menimpa ke atasnya menyifatkan ada suatu hikmah di sebaliknya dan menerima dengan rasa ikhlas ketentuan Illahi ini.
Sebelum itu beliau sempat meletakkan motosikalnya di kawasan selamat bagi menggelakan dari dibawa arus banjir.
Malahan pemuda yang minat memelihara ternakan dan bekerja di Benta untuk sementara waktu ini terpaksa menumpang di rumah rakan-rakannya sementara dapat membina kembali rumah kediamannya.
Sementara itu, Ustazah Asma semasa melihat sendiri kawasan tapak rumah Khairul Mokmin bersama beberapa orang anggota sukarelawan Sahabat Amal Care akan cuba berusaha membantu membina kembali rumah beliau melalui pembelian bahan-bahan asas binaan hasil dana sumbangan orang ramai.
Pertubuhan sukarelawan Sahabat Amal Care merupakan antara badan NGO terawal hadir membantu mangsa banjir di Pahang dan Johor kali ini.
Semoga khidmat bakti dapat membantu meringankan beban penduduk terlibat banjir.Tahniah kepada pertubuhan berkenaan yang prihatian dengan keadaan berlaku. - KitaReporters
Beginilah keadaan sisa tinggakan tapak rumah milik Khairul Mokmin di mana rumahnya dihanyutkan arus banjir di Kampung Ruyung, Dong, Pahang.
Sebahagian angsa yang diternak oleh Khairul tetap kembali ke kawasan rumah kediaman beliau sekalipun dihanyutkan arus banjir.