SEORANG wanita yang selamat melahirkan bayi perempuan dalam kereta dibantu oleh dua anggota polis wanita yang bertugas menjaga SJR


DUA anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Kuching-Samarahan muncul menjadi bidan terjun apabila menyambut kelahiran seorang bayi perempuan yang dilahirkan dalam kereta pada lewat Khamis malam, 10 Jun 2021.

Kedua-dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan membantu seorang wanita berusia 26 tahun dari Kampung Semera Ulu, Asajaya, yang ketika itu dalam perjalanan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bersama suaminya berusia 28 tahun.

Lans Koperal Noor Fatihah Azelam berkata, kejadian berlaku jam 11.50 malam sebelum dia bakal menamatkan tugasnya apabila suami wanita itu yang panik terus meluru ke arah sekatan jalan raya bagi mendapatkan bantuan.

"saya bergegas membantu selepas dimaklumkan lelaki berkenaan bahawa isterinya mahu bersalin dan sebaik menghampiri kereta, saya lihat wanita itu sudah melahirkan anak dan dalam keadaan berdarah.

"Saya membantu merungkaikan tali pusat yang berbelit di leher bayi itu," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian, Jumaat 11 Jun 2021.

Ketika kejadian dia dibantu oleh Koperal Perakson Jennie, 40, yang menyelimutkan bayi berkenaan yang menangis kesejukan menggunakan tuala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu, ibu dan bayi itu kemudian terus dihantar ke HUS untuk mendapat rawatan lanjut. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

ANGGOTA polis wanita menyelimutkan bayi yang baharu dilahirkan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

55
3
5
2
1

Copy Link: