Video| Opah Ngomel| Gelagat ibu bapa skodeng anak-anak masuk kelas! Hari pertama persekolahan baharu!

Published by
KitaReporters


DUA tiga hari ini kita semua dihiburkan dengan gelagat mak ayah yang "kembali ke sekolah". 

Macam-macam perangai. Ada yang melucukan tidak kurang yang serius apabila ibu bapa sudah tidak malu dan segan, bertindak untuk mengawasi keadaan anak-anak mereka pada hari pertama ke sekolah. Malah sehingga sanggup 'skodeng' anak-anak yang sedang belajar tu!.

Ada ibu bapa yang tidak kisah dah, berdiri di luar pagar, mencangkung atas longkang, semata-mata untuk 'menghendap' di celah-celah dinding sekolah. Ini kerana selepas dua tiga hari kelas bermula, pengurusan sekolah lagi tidak membenarkan ibu bapa berada dalam kelas. 

Hasilnya, mereka pandai-pandailah bawa diri, malah jika mahu bolehlah cuba berdiri di tengah panas untuk mengawasi pergerakan anak-anak dari jauh.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah-sekolah



Dalam satu kes tu, ada seorang bapa yang sanggup menjadi 'tukang kebun' semata-mata mengisi masa sambil menemani anaknya belajar sehingga kelas tamat. Dalam keadaan kelam kabut kelas bermula, murid yang mengambil kesempatan 'ponteng' pada hari pertama kelas dengan cuba 'melarikan diri' dengan meloloskan badannya, ikut pagar utama tetapi akhirnya tertangkap oleh pengawal sekolah. 

Tidak pelik juga ada yang tertukar beg, kasut dan yang hilang seluar sukan pun ada. Ramai yang datang sekolah kemas dan cantik tapi bila balik berserabut dan kusut masai.

Ketika ini juga sepatutnya,  ibu bapa perlu ajar anak-anak cara berbelanja. Cara mengenal duit syiling dan wang kertas serta harga makanan yang dijual di kantin. Kerana ketika itu, anak-anak membeli sendiri makanan di kantin dan terlupa mengambil baki. 



Malah ada pula cakap-cakap sindir, dalam keadaan ekonomi tengah gawat, sebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja banyak wang semata-mata untuk membeli beg jenama untuk anak-anak yang baru masuk darjah satu. Adakah itu menunjukkan ibu bapa yang teruja atau anak-anak yang mahu barangan sekolah yang diviralkan sana sini.

Begitu juga dengan anak-anak yang baru nak masuk tadika. Ada yang sangat seronok dapat ke tadika sehingga tidak mahu balik. Ada juga anak-anak umur setahun dua, turut berpakaian sama dengan kakak abang ketika menemani mereka ke sekolah. Tak kurang juga ada yang murid yang terpaksa dipapah oleh ibu bapa untuk dibawa masuk ke kelas. 

Dalam satu keadaan yang melucukan ibu atau bapa terpaksa "belajar' sekali dengan anak-anak. Anak-anak sentiasa di bawah ketiak bapa ketika guru tadika sibuk mengajar.




Sebagai orang yang pernah melalui liku-liku persekolahan lapan anak, melihat sikap ibu bapa khususnya pihak lelaki yang kini lebih terbuka dalam mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak diharap menjadi satu permulaan kepada meringankan tugasan yang selama ini dipikul oleh ibu dalam menguruskan persekolahan.

Kini lelaki sudah berani menunjukkan perasaan kasih bapa dan prihatin kepada kebajikan anak-anak. Mungkin selepas melalui tempoh dua tahun duduk di rumah akibat Covid19 memberi banyak kesedaran kepada mereka bahawa tanggungjawab menguruskan anal-anak terutama yang mula masuk belajar darjah satu lebih mudah dikendalikan oleh pihak lelaki.

Apa tidaknya daripada urusan mengecop dokumen sekolah, mengeluarkan belanja membeli pakaian sehinggan seragam sekolah dan pakaian sukan, eloklah bapa yang menguruskan supaya mereka tahu wang dibelanja secara telus. 

Malah untuk membeli buku-buku sekolah seperti buku tulis, buku tambahan sehingga kepada beg sekolah dan teg nama pun perlukan duit yang bukan sedikit dalam keadaan serba mahal sekarang.




Di pihak sekolah pula, mereka tidak lupa membuat pelbagai acara bagi menyambut kedatangan pelajar baru. 

Guru dan peserta berpakaian beragam cosplay ala-ala haiwan comel termasuk guru itu sendiri yang terpaksa menjadi dinasour turut berada di pintu pagar bagi menggalu-alukan kedatangan murid baru. 

Dan paling seronok untuk dilihat apabila ibu bapa sendiri memuat naik gelagat anak-anak mereka pada hari pertama ke sekolah. Wah bergaya betul dengan baju kurung lengkap dengan tudung dan sesudah habis kelas, geli hati bila melihat anak tudung sampaikan menutup mata. Anak-anak kecil itu pula seolah-olah ikut saja apabila anak tudung melurut sampai tutup mata dan tudung yang senget-benget.

Apapaun marilah kita berdoa agar anak-anak kita menjadi masyarakat yang akan berjasa kepada agama, negara, masyarakat dan keluarga. Sesungguhnya pendidikan yang kita berikan kepada mereka hari ini adalah penentu kemajuan masa depan negara. Kitareporters.com



Jika anda berminat untuk artikel perniagaan sebagai konten berbayar dalam portal ini bolehlah WhatsApp kepada penulis menerusi talian 011-10185702 atau emel [email protected]


Menangis kerana ingin menyusu (pekk) dalam loghat Kelantan adalah menetek.

7
17
0
13
0

Copy Link: