Taman Tasik Shah Alam sekali lagi menjadi tumpuan pengunjung apabila Hari Landskap Negara anjuran Jabatan Lanskap Negara memilih Shah Alam sebagai tuan rumah untuk sambutan pada tahun 2024 ini. 

Hari Landskap Negara 2024 (HLN 2024) dengan bertemakan “Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani”  akan berlangsung selama 10 hari bermula pada 24 Mei 2024 dan berakhir pada 2 Jun 2024.  

Sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Landskap Negara, Taman Tasik telah dihias dengan pelbagai lampu hiasan, replika bunga dan hiasan pelbagai bunga yang berwarna warni disekitar Taman Tasik Shah Alam. Pada malam hari lampu yang berwarna warni menceriakan lagi suasana di situ. 




Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Tasik Shah Alam pada 25 Mei 2024 lalu. 

Lebih seratus gerai mengambil bahagian dalam sambutan Hari Landskap kali ini. Pelbagai jenis pokok, tumbuhan, barangan pertanian, barangan ukiran dan hasil kayu serta pokok pokok bunga dan hiasan dijual dan dipamerkan di sana. 




Sepanjang 10 hari sambutan itu, pelbagai aktiviti akan dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 10 malam. 

Pameran, jualan, pertandingan, program serta aktiviti menarik disediakan kepada pemain industri landskap serta pengunjung dan peminat bunga dan landskap  yang hadir sepanjang sambutan berlangsung. 

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk program lepak seni, pertunjukan orkid, program kucing angkat, sukan rakyat, demonstrasi gubahan bunga dan landskap, pertunjukan bomba dan lain-lain. 





Bagi pengunjung yang hadir terdapat juga gerai-gerai menjual makanan dan minuman untuk mereka berehat sebentar sambil menikmati makanan setelah penat berjalan melihat pelbagai pameran dan aktiviti yang diadakan. 

Marilah datang beramai-ramai ke Tasik Shah Alam untuk menjamu mata sambil menikmati keindahan bunga-bunga yang berwarna warni serta melihat kilauan lampu yang berwarna warni di sekitar Tasik Shah Alam. - KitaReporters





13
18
0
10
0

Copy Link: