Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dengan sukacitanya melancarkan kempen MyYateem #CareForOrphan dengan memperkenal dua pakej sumbangan, iaitu Kasih MyYateem dan Tajaan MyYateem.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, pihaknya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM750,000 bagi membantu anak-anak yatim di lebih 25 buah negara termasuk Palestin, Syria, Somalia, Indonesia, Bangladesh dan Afghanistan.

"Kempen MyYateem #CareForOrphan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan anak-anak yatim mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya. 

“Melalui kempen ini, kami berharap dapat mengumpulkan dana yang mencukupi untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, pendidikan, kesihatan dan perlidungan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan media pada 28 Jun 2024.



Dengan tema CareForOrphan, IR Malaysia berharap dapat menanam rasa empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap anak-anak yatim yang memerlukan.

Sumbangan boleh diberikan serendah RM10 untuk pakej Kasih MyYateem manakala untuk pakej Tajaan MyYateem, penyumbang perlu memberikan komitmen sebanyak RM350 sebulan untuk sekurang-kurangnya dua tahun tempoh tajaan bagi seorang anak yatim.

Tambah Mohd Shukor, IR Malaysia berjaya mengumpul RM355,214.67 melalui kempen MyYateem pada tahun lalu (2023) dan melaksanakan pelbagai projek bantuan termasuk penajaan anak yatim, Alternative Livelihood for Orphans Family (ALO) di Lombok Utara dan Barat, serta bantuan psikososial di Lubnan.

Tahun lalu (2023) juga menyaksikan IR Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan ke Bangladesh dan Indonesia untuk meninjau projek-projek kemanusiaan yang dilaksanakan, termasuk bantuan kepada anak yatim.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada kempen MyYateem #CareForOrphan boleh menyalurkan sumbangan mereka ke akaun CIMB Islamic, Islamic Relief Malaysia (860 20738 18) atau melayari laman web rasmi di www.islamic-relief.org.my.


Sementara itu, biarpun masih kecil, Amira Rasuli, 8 tahun, sangat memahami pahit getir ibunya, Dakyah, dalam meneruskan tanggungjawab menanggung dan membesarkan dirinya.

Sejak kematian ayah pada tahun 2020, Amira dan ibunya menetap di rumah nenek yang terletak di Lombok, Indonesia. Dakyah yang diuji menghidap penyakit polio sejak lahir tabah menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara kehidupan mereka. 

Setiap hari, selepas pulang dari sekolah, Amira akan membantu ibunya menjual makanan ringan dan kopi di sebuah pondok kecil di kawasan pantai berhampiran rumah mereka. Amira juga rajin membantu ibunya menjual barangan runcit seperti beras, gula, minyak masak, telur dan sabun di hadapan rumah mereka.

Hasil kerja keras Amira dan ibunya, mereka beroleh pendapatan sekitar RM28 sehari. 

Menyedari kesusahan yang dialami anak kecil itu, Islamic Relief tampil menghulurkan bantuan kepada Amira dan keluarganya menerusi projek Penajaan Anak Yatim. 

Tajaan yang diberikan sangat membantu Dakyah dalam menampung keperluan sekolah Amira terutama yuran persekolahan. 

Sumbangan daripada Islamic Relief itu juga membolehkan Dakyah menambah modal perniagaan dan membeli kerusi roda baharu yang dapat membantu memudahkan pergerakannya setiap hari.

Kesungguhan Amira, yang dilihat sebagai simbol kekuatan serta harapan Anak Yatim, dan ibunya dalam mengharungi cabaran hidup memberi inspirasi kepada ramai orang. 

Dengan bantuan daripada Islamic Relief, Amira kini dapat menumpukan perhatian kepada pelajarannya tanpa perlu memikirkan beban kewangan keluarga. 



Semoga usaha gigih mereka terus membuahkan hasil dan membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka sekeluarga. 

Setakat ini, Islamic Relief telah menaja lebih 85,000 orang anak yatim dan membantu lebih 200,000 anak yatim di 26 buah negara melalui pelbagai projek bantuan. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
10
0
9
0

Copy Link: