Video| Dapur Rakyat bantu mangsa banjir meriah! Sanusi, isteri turut bantu! Sempat usik mengusik lagi!

Published by
KitaReporters

/



Meriah... Sepakat membawa berkat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. 

Demikian yang saya dapat simpulkan dalam program Dapur Rakyat yang berlangsung di Pusat PAS Langgar Kedah baru-baru ini. 

Program Dapur Rakyat anjuran Pertubuhan Isteri Wakil Rakyat Kedah dan Isteri Pegawai Khas Menteri Besar Kedah (Pikat) menyediakan makanan kepada mangsa banjir di kawasan yang dikenal pasti. 

Menghargai pelawaan Dato Rozaina Radzi, isteri Exco kerajaan Negeri Kedah dan juga ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, saya bersyukur kerana dapat juga merasa suasana harmoni dan penuh mesra di kawasan pusat tersebut. 

Semangat kerjasama berpasukan antara mereka terserlah. Tua muda, lelaki perempuan, remaja dan kanak kanak sama naik. 

Usik mengusik memecah suasana. Gelak tawa menambah ceria. Tak kering gusi dibuatnya melihat gelagat mereka. 




Kehadiran Tok Puan Jumalailani Josuh, isteri  MB Kedah, Dato’ Seri Sanusi Md. Nor menambah keseronokan mereka bekerja. 

Jumalailani yang merendah diri disambut mesra oleh petugas wanita yang ada. Berebut-rebut mereka mahu bersalam dan memeluknya. 

Tanpa protokol Jumalailani terus ke khemah di mana petugas  wanita sedang mengupas bawang. Sambil borak ligat beliau bekerja. Kemudian ke khemah memotong daging pula.

Tak berapa lama kemudian Dato’ MB pula tiba. Beliau terus ke khemah memotong daging. Tanpa kekok, tangannya bergerak laju membantu petugas memotong daging. Benar anak kampung sejati! Sama seperti isterinya semua kerja dibuat dengan mudah! 

Suasana yang berlaku depan mata menjadi contoh bahawa di manapun kita berada, kita tetap sama di sisi Allah SWT. 

Juadah sarapan pagi penuh di meja sebelah. Nasi lemak, cekodok, ubi kayu rebus gaul kelapa, nasi goreng, pelbagai jenis biskut dan kuih muih membuka selera petugas dan orang kampung yang hadir. 





Kami grup Asmarian (Alumni Sek Men Sultanah Asma) yang ikut Rozaina juga tak melepas peluang untuk lapik perut atau menyorok, kata orang Kedah. 

Sambil makan berkenalan juga dengan wakil dari daerah lain. Dari Baling, Kuala Kedah, Kota Setar, Sik dan lain-lain. Jauh datang untuk memberi sokongan dan menghulur tangan membantu apa yang perlu. 

Gelagat MB Sanusi mengusik dan bergurau dengan Tok Puan menyebabkan saya tersenyum. Yang ada di sekeliling tertawa riuh rendah

bila Sanusi menyuap ubi kayu rebus ke mulut Jumalailani. Macam tengok makan beradab pengantin baru pula. 

“Macam itulah mereka.. Sangat sporting dan tidak sombong. Tidak ada protokol. Semua orang boleh ajak sembang dan bergambar. 

“Dato MB tidak kisah. Pandai melayan dan mengambil hati anak-anak buahnya. Tok Puan juga sama. Pandai bawa diri dan sangat mesra,” kata Rozaina. 



Saya tumpang seronok dapat bersama mereka menyediakan makanan untuk mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas di sekitar Alor Setar. 

Walaupun pertolongan tak serupa, pengalaman itu yang penting. Bukan mudah nak dapat peluang begini. Kira saya, Aini, Rosni dan Hasni tumpang rezeki Rozaida. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. 

Peluang bukan datang selalu. Bila ada gunakan sebaik mungkin sebagai ibadah sesama insan. - KitaReporters



24
30
0
16
0

Copy Link: