Apabila tiba Ramadan sama ada di masjid atau surau, maka akan tersusun dan dibuat perancangan rapi dibuat bagi diadakan program Tadarus al-Quran yang bertujuan untuk menghidupkan suasana pada bulan penuh keberkatan dengan membaca al-Quran.

Program itu adalah inisiatif yang amat baik kerana secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat khusus generasi muda untuk berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan selain mendapat ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah SWT.

Tidak mahu ketinggalan untuk meraih ganjaran pahala yang besar itu, Biro Muslimat Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor turut menganjurkan program Tadarus Al-Quran yang sudah laksanakan sejak dua tahun lalu bermula awal Ramadan.


 

Sebahagian peserta sedang mengikuti tadarus al-Quran di MKKRH.


Ketuanya, Hayati Yusop, berkata untuk 2025 mereka menerima penyertaan 180 peserta dalam kalangan Muslimat dari surau dan masjid bawah kariah MKKRH iaitu Masjid Raja Alang Beranang, Masjid Bandar Rinching, Masjid Sungai Kembong Hilir, Surau Al Hidayah Sungai Jelok dan Raudhah Bukit Mahkota. 

Menurutnya, bagi memastikan program berkenaan diselesaikan sebelum hujung Ramadan peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan dengan setiap kumpulan dianggotai enam Muslimat yang akan membaca al-Quran dengan mengambil kira konsep pembelajaran sehingga selesai khatam 30 juzuk.

Terangnya, setiap kumpulan akan ketuai seorang yang berkepakaran dalam bacaan al-Quran dari segi hukum tajwid, sebutan yang betul dan sebagainya akan mendengar bacaan peserta serta membuat teguran jika melakukan kesilapan.


Kesempatan bertadarus itu digunakan juga Muslimat untuk mendalami hukum tajwid supaya bacaan betul.


“Apabila dibuat teguran peserta lain akan memberi tumpuan dan mengajukan pelbagai soalan untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu membaca al-Quran dengan betul dan tepat supaya boleh mengajar orang lain pula. 

“Bagi Muslimat program ini diadakan antara pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi setiap hari bermula 1 Ramadan lalu kerana pada waktu itu mereka banyak masa lapang dan selesai pelbagai urusan di rumah,” ujar pada Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana di MKKRH, pada 18 Mac 2025.

Hayati berkata, pada awal lagi beliau sudah memperingat peserta supaya tekun dan memanfaatkan program tadarus supaya boleh memperbetul bacaan di samping menimba ilmu tajwid al-Quran sebanyak mungkin serta memahami maksud ayat yang dibaca.

Tambahnya, objektif program itu bukanlah untuk menghabiskan membaca al-Quran setiap juzuz dengan cepat supaya segera berkhatam tetapi biro itu mahukan supaya suatu usaha menggalakkan budaya membaca serta menghayati al-Quran dapat dipupuk.


Peserta mendengar penerangan mengenai manfaat dan kesan program tadarus al-Quran yang disertai mereka.


Jelasnya, di samping mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT, program itu dapat juga membina ukhuwah serta silaturahim dalam aktiviti berkumpulan apatah lagi mereka datang dari kawasan kariah yang berbeza.

‘Kalau tiada program seperti ini mungkin mereka tidak mengenali antara satu sama lain untuk berkongsi ilmu membaca al-Quran yang akan disampaikan kepada ahli keluarga untuk memastikan generasi akan datang celik al-Quran.

“Sebagai ketua saya sentiasa memikirkan aktiviti yang bermanfaat untuk dianjurkan terutama ke arah melahirkan generasi muda yang bukan setakat mahir membaca al-Quran malah selalu hadir ke masjid atau surau untuk solat berjemaah disamping mengikuti pengajian agama,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Peserta merakam kenangan selepas Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor, pada 18 Mac 2025.

16
14
0
15
1

Copy Link: