Cinta Ishsam Shahruddin kepada bola sepak sehingga akhir hayatnya! Meninggal dunia di padang bola!
Published by
Allahyarham Ishsam Sharuddin diberi rawatan kecemasasn setelah rebah di Stadium Bandaraya, George Town, sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang .
PEMERGIAN
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin, 58, ke
alam abadi pada Sabtu 22 Februari 2025 lalu bukan sahaja hilangnya seorang tokoh
politik, tetapi hilangnya seorang bintang dalam persada bola sepak tanah air.
Ramai
mengenali Allahyarham sebagai wakil rakyat, tetapi mungkin tidak ramai yang
ingat Allahyarham adalah pemain bola berbisa yang banyak menumpahkan jasa
mewarnai kancah boleh sepak negeri dan negara.
Beliau yang bermain di posisi tengah telah menumpukan hampir keseluruhannya karier bola sepaknya bersama pasukan Perak, kecuali semusim bersama Negeri Sembilan. Allahyarham bermain untuk Perak dari 1984 hingga 1990.
Pada 1991 Allahyarham bermain untuk pasukan Negeri Sembilan. Namun semusim berkelana, Allahyarham kembali menyarung jersi Perak dari 1992 hingga 1997.
Allahyarham juga pernah dipanggil mewakli skuad kebangsaan pada 1987.

Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada Sabtu 22 Februari 2025 adalah bekas pemain bola sepak negeri Perak dan negara.

Ishsam Shahruddin menabur bakti hampir keseluruhan karier bola sepaknya dengan pasukan Perak.
Antara kejayaannya bersama Perak ialah menjulang Piala FA pada 1990 setelah menewaskan Selangor pada perlawanan akhir dengan jaringan 4-2. Ini merupakan edisi sulung Piala FA dan Perak bangga jadi juara pertama.
Perlawanan akhir ini begitu mendebarkan. Selangor mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, memberi tekanan hebat kepada Perak.
Namun perancangan jurulatih M. Karathu dan inspirasi pengurus pasukan, Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar serta ketua pasukan, Azizol Abu Haniffah, Perak berjaya mengubah rentak permainan.
Dengan semangat membara, Perak bermain bermatian-matian pada separuh massa kedua. Ketika Selangor diduga menjadi juara, Perak berjaya menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua, seterusnya menjulang Piala FA.
Antara pemain seangkatan Allahyarham Ishsam ialah Azizul Abu Haniffah, Nidzam Azaha, P Ravindran, S Selvarajoo selain pamain import dari Korea Selatan, Jang Jung serta pemain import dari Maynmar, Kyi Lwin dan Aung Ning.
Pemain Perak meraikan kejayaan memenangi Piala FA edisi sulung1980 setelah menewaskan pasukan Selangor 4-2.
Setelah bersara daripada bermain bola, Ishsam yang dilahirkan di Sungkai, Perak pada 31 Ogos 1966, menjadi seorang usahawan dan kontraktor, selain bergerak aktif dalam politik. Allahyarham ialah Ketua UMNO Bahagian Tapah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah.
Namun cintanya terhadap bola, khususnya di negeri Perak, tidak pernah padam.
Beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak dan penolong pengurus skuad senior. Allahyarham juga menjadi pengurus pasukan Piala Presiden Perak B-23 (Bawah 23 tahun).
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, Ishsam dipilih bertanding bagi kerusi DUN Ayer Kuning, Tapah, mewakali UMNO dan Barisan Nasional (BN). Allahyarham menang dengan majoriti 2,213 dalam pertandingan lima penjuru.
Kredit foto: PerakPress @ Threads
Cinta terhadap bola sepak tetap di hati sehingga akhir hayat. Ishsam sedang bersalaman dengan pemain lain pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Georgetown, apabila tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri pukul 5.20 petang Sabtu 22 Februari 2025.
Allahyarham
diberi rawatan kecemasan di padang sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)
pada pukul 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia di hospital tersebut pada
pukul 6.28 petang. Kematiannya disebabkan oleh masalah jantung.
Sesungguhnya Perak khasnya dan negara amnya kehilangan sebutir bintang bola yang sekian lama bersinar menabur bakti kepada negeri dan negara. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham Ishsam Shahruddin. - KitaReporters
Kredit foto: flashsukan.com.my