Kerja bertambah 100 kali ganda! Kena bersabar, atasi cabaran
Published byKEMPEN ‘A Hundred Unsung Heroes’ ialah mengenai wira-wira tak didendang yang merupakan petugas barisan hadapan (frontliners) dalam peperangan kesihatan melawan pandemik COVID-19. Ikuti kisah Abdul Razak dan Rajeshri Kannan, antara ribuan yang bertugas berdepan dengan virus membunuh ini. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan COVID-19:
https://kitareporters.com/coronavirus
Menurut Abdul Razak, Pengurus Makmal, Pantai Premier Pathology: “Kami terpaksa meningkatkan kapasiti kerja sebanyak seratus kali ganda dalam tempoh sehari!
"Pada hari biasa, makmal molekul kami dapat memproses sebanyak 40-50 sampel pesakit yang diperoleh daripada pelbagai sumber. Bagaimanapun, ketika penularan wabak COVID-19 memuncak, saiz sampel kami telah meningkat daripada 50 sampel sehari kepada 5,000 sampel sehari. Kami terpaksa meningkatkan kapasiti kerja sebanyak seratus kali ganda dalam tempoh sehari.
"Cabaran utama yang kami hadapi adalah untuk memastikan operasi kami terus berjalan dengan lancar, sambil memastikan pasukan kerja kami dilindungi daripada virus. Ekoran situasi yang mendesak ini, kami telah meningkatkan kapasiti makmal kami, lebih banyak peralatan dan tenaga kerja dibawa masuk hanya dalam tempoh tiga hari.
Abdul Razak, Pengurus Makmal, Pantai Premier Pathology... Kami terpaksa meningkatkan kapasiti kerja sebanyak seratus kali ganda dalam tempoh sehari!
"Bagi saya, memori yang paling bermakna ketika ini ialah semangat berpasukan yang dipamerkan oleh pasukan kerja kami. Jumlah individu yang bertanggungjawab untuk menguruskan operasi makmal telah ditingkatkan daripada lima individu kepada 20 individu yang tidak putus-putus mengerah keringat.
"Pembantu makmal, pengurus makmal, hatta pihak pengurusan kanan juga turut turun padang untuk membantu memproses sampel. Melalui kerjasama dan dedikasi untuk berkhidmat demi pesakit dengan sedaya upaya, kami mampu mengeluarkan sebanyak 4,500 hasil ujian dalam tempoh sehari.
"Sudah tentu, ramai individu yang mengalami keletihan, namun masih bingkas meneruskan usaha ini. Tanggungjawab yang perlu digalas selama lapan jam tanpa henti sambil menyarungkan PPE pastinya mencabar, selain perlu berhadapan dengan tekanan untuk mengeluarkan hasil ujian dengan segera. Namun, kami tidak berputus asa."
Sementara itu, Rajeshri Kannan, Pengajar Klinikal, Pantai Hospital Kuala Lumpur berkata: “Tiada hari yang sama seperti sebelumnya, kami perlu belajar dengan segera, menggalas lebih daripada satu tugas dan bersabar dalam mengatasi cabaran.”
"Setiap kali saya pulang ke rumah selepas bekerja, anak saya akan bertanya soalan demi soalan – “Ibu, mengapa ibu melakukan kerja ini?”, “Mengapa ibu tak boleh tinggal di rumah seperti kami?”
"Anak saya tidak dapat memahami mengapa ibunya berada di luar dan menggalas tanggungjawab yang sama sekali berbeza daripada tugas biasanya.
"Saya bekerja sebagai pengajar klinikal, ditugaskan untuk melatih staf jururawat untuk menguruskan pesakit, dan mendidik mereka tentang perkara-perkara asas berkenaan dengan pengurusan hospital. Namun, setelah wabak COVID-19 mula menular, saya ditugaskan di pusat saringan COVID-19 setiap hari selama lima jam.
Rajeshri Kannan, Pengajar Klinikal, Pantai Hospital Kuala Lumpur... “Tiada hari yang sama seperti sebelumnya, kami perlu belajar dengan segera, menggalas lebih daripada satu tugas dan bersabar dalam mengatasi cabaran.”
"Pada awalnya, saya berasa gementar kerana kesukaran tugas ini yang membataskan pergerakan serta keperluan memakai PPE. Setelah beberapa hari berlalu, saya dapat menyesuaikan diri dan berkongsi pengalaman yang ditimba kepada jururawat lain.
"Tiada hari yang sama seperti sebelumnya, kami perlu belajar dan menyesuaikan diri dengan segera, menggalas lebih daripada satu tugas dan bersabar dalam mengatasi cabaran.
"Akhirnya, saya dapat meyakinkan anak saya dan menjelaskan kepadanya mengapa tugas saya penting. Saya akan pulang ke rumah dan berbual dengannya mengenai pengalaman saya, dan menjelaskan tentang SOP yang perlu dipatuhi sehingga anak saya yakin keselamatan saya terpelihara.
"Hari ini, saya dapat berkata dengan penuh rasa bangga bahawa saya adalah salah seorang daripada jururawat yang diberi peluang yang hebat untuk berkhidmat demi ibu pertiwi ketika berhadapan dengan krisis. Saya berharap anak saya juga berbangga dengan saya!" - KitaReporters