"AKU sayang kau Din, mudah-mudahan Allah SWT akan jaga kita dan kita sahabat dunia akhirat." Itu adalah kata-kata terakhir Allahyarham Azri Ujang, bekas jurugambar Berita Harian kepada kawan akrabnya, Samsudin Oli Mohamad pada akhir pertemuan mereka di Kedah beberapa bulan lalu. : Kitareporters

Azri Ujang, antara jurugambar yang dikagumi kerana bakatnya luar biasa.


Lagi cerita-cerita berkaitan jurugambar:

https://kitareporters.com/search?search=jurugambar


Azri Ujang yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin, jam 3.30 petang Isnin, 12 Oktober 2020 akibat serangan jantung ketika menziarahi keluarga saudaranya, di Melaka.

Jenazah dibawa pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur untuk disempurnakan dan disemadikan. Sebelum ini arwah juga dikatakan mendapat rawatan selepas bertahun-tahun akibat mengalami sakit saraf. 

Dia terus mengundurkan diri dan enggan berjumpa kawan-kawan untuk menggelakkan daripada `menyusahkan` mereka.

Alfatihah..Azri Ujang.


Ada perpatah menyebut, jika kita ingin tahu kebaikan seseorang, tanyakanlah kepada kawan baiknya dan sebaliknya jika mahu bongkarkan keburukan lawan, kita tanyakan dengan musuhnya. 

Perbualan kami pertama kali dapat berhubung dengan Azri selepas berpuluh-puluh tahun terputus hubungan. Gambar kecil atas, Samsudin Oli Mohamad.


Ketua Unit Media Universiti Utara Malaysia, Samsudin Oli Mohamad berkata selepas pertemuan itu, setiap malam arwah Azri akan mengirimkan doa dan nota catatan yang memberikan semangat kerana mereka saling berhubung.

Katanya, Azri bertemunya ketika melawat rumahnya di Kedah dan Samsudin juga berjanji akan datang ke Kuala Lumpur untuk pertemuan dengan rakan-rakan lamanya yang sepatutnya diadakan selepas Aidilfitri lalu. Tetapi pertemuan itu ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Kini saat bertambah pilu lagi, bila hasrat Samsudin tidak kersampaian untuk ke Kuala Lumpur  menghadiri pengkebumian sahabatnya kerana Kedah masih lagi dalam perintah `berkurung`. Beliau menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga sahabatnya.

Asraf Dahari...saya senak perut tahan gelak kalu arwah buka cerita.


Seorang lagi bekas kawan sekerjanya, Asraf Dahari, 60, menyifatkan Azri seorang jurugambar yang sangat kelakar dan luar biasa. Salah satu perangainya yang tiada dalam kalangan orang lain ialah dia akan senyap-senyap masuk ke bilik makan menteri atau perdana menteri untuk merakam gambar yang `ada cerita`.

Azri antara jurugambar yang mendapat gambar skop kerana berjaya merakamkan Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri yang disuap makan oleh cucunya.

Asraf yang juga Konsultan Media di Rise Resources, berkata perangai `licik` Azri itu kadangkala membinggungkan pengawal peribadi menteri kerana dia antara yang susah dikawal. 

Malah dalam satu tugasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kementerian Pertahanan, arwah boleh `langgar` segala protokal kerajaan.

Masa tengah berposing beramai-ramai, kata Asraf lagi, kawannya itu siap boleh panggil Datuk Seri Najib sebagai `Najib`saja, kau.. kau boleh pusing sikit tak?.. Dan Datuk Seri Najib pun selamba tersenyum sambil `ikut arahannya`. Berani betul dia, tak peduli langsung dengan protokol." 

"Inilah satu-satunya sahabat yang membuat saya sedih bila dapat tahu dia sudah pergi. Dia akan dirindui selama-lamanya," katanya sambil memberitahu mereka sering bermesej dari semasa ke semasa untuk bertanya khabar.

Asraf berkata dalam setiap mesej WhatsApp itu, arwah ada bercerita bangganya apabila anak-anaknya mendapat didikan yang baik dan salah seorangnya bertugas sebagai jurutera.

Saodah Ismail. Dia Pak Lawak Unit Hiburan Berita Harian. Ceriakan hari kami.


Sementara itu, bekas wartawan hiburan tersohor, Saodah Ismail terkejut menerima khabar duka itu menyifatkan Azri sebagai rakan kerja yang ceria, paling baik hari dan tidak pernah sekalipun marah atau merunggut apabila diberikan apa juga tugasan.

"Selamat jalan ke negeri abadi Azri Ujang. Pak lawak kami. Muka serius tetapi kelakar. Selalu menceriakan Unit Hiburan Berita Harian.  Terima kasih untuk segala memori dan yang jelas kamu memang orang yang baik, sempoi dan suka menggembirakan hari orang.

"Al-Fatihah. Moga syurgalah tempatmu Azri Ujang." katanya dalam nukilannya dalam Facebooknya.

Cik Puan Ana....arwah siap ambil gambar drebar teksi tu.


Wartawan hiburan Berita Harian yang kini seorang pensyarah, Cik Puan Ana dalam hantaran dalam Facebooknya menggambarkan Azri sebagai `abang` kerana seorang yang kelakar, kacak dan amat berdedikasi serta penyayang.

Katanya setiap kali ada tugasan, arwah Azri tidak pernah kedekut untuk menumpangkan wartawan. 

"Pernah sekali arwah tak dapat hantar saya balik ke Balai Berita Bangsar kerana tempat `assignment` berhampiran rumahnya. Lagipun sudah tengah malam dan arwah tahan sebuah teksi. Ketika itu juga dia minta pemandu teksi keluar dari kenderaannya, lalu merakamkan gambarnya.

"Dia terus cakap awak mesti hantar dia ni balik dengan selamat dan jika apa-apa berlaku, saya ada gambar awak. Terus pemandu teksi itu tanya itu abang awak ke?" katanya. 

Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Semoga Allah ampunkan segala dosanya, lapangkan kuburnya dan janjikan syurga kepadanya, Al-Fatihah... - KitaReporters

 Azri (kiri) bersama rakan sekerjanya sewaktu menerima sijil penghargaan. 

1
0
5
0
0

Copy Link: