SEDANG banyak kedai dan perusahaan gulung tikar atau mengecilkan bilangan pekerja, ada pula syarikat menambah pekerja. Hal ini didedahkan oleh wakil majikan dalam Program Pengambilan Pekerja dalam kalangan orang gelandangan di ibu kota baru-baru ini. : KitaReporters

Gelandangan di Pusat Komunit Sentul Perdana. - Kredit Foto Media Online


Kita tahu wabak Covid-19 dan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan banyak masalah. Ramai kehilangan kerja apabila syarikat gagal meneruskan operasi.

Mereka yang selama ini hidup senang dengan gaji tetap setiap bulan, tiba-tiba melalui zaman sukar, manakala sekumpulan gelandangan yang selama ini hidup terbiar pula seakan-akan ada sinar di hujung terowong.

Ini berikutan ada usaha di pihak berkuasa mencarikan pekerjaan dan tempat tinggal untuk mereka. 

Sewaktu pelaksanaan PKP yang bertujuan memutuskan rangkaian jangkitan virus Covid-19, golongan gelandangan di ibu kota telah dikumpulkan dan diberikan tempat tinggal sementara.

Kata-kata pujian daripada netizen. 


Sebanyak 12 Penempatan Sementara Gelandangan disediakan yang memberi manfaat kepada ribuan gelandangan termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. 

Disebabkan tempat tinggal yang disediakan sementara, usaha seterusnya dibuat untuk menyelesaikan masalah orang gelandangan.

Usaha peringkat kedua ialah menyediakan peluang pekerjaan dan penyediaan tempat tinggal oleh majikan bagi memastikan nasib mereka terjamin dan tidak kembali menjadi gelandangan.

Sehubungan itu, pihak berwajib iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan melaksanakan Program Persediaan Kerjaya dan Temu Duga Kerja sebagai usaha untuk mengubah kehidupan gelandangan berkenaan.

Pusat Gelandangan Sementara semasa PKP di ibu kota. Kredit foto - Sinar 


Program pertama, membabitkan kerjasama dengan tiga syarikat iaitu Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd, antara contoh syarikat yang mencari pekerja pada musim wabak Covid-19.

Daripada 72 gelandangan yang menghadiri sesi temu duga Program Penempatan Pekerjaan baru-baru ini, 21 dipilih dan diterima bekerja oleh tiga syarikat berkenaan. 

Mereka dijadualkan mula bekerja pada 13 Mei 2020. Surat tawarkan pekerjaan disampaikan pada hari itu juga.

Wakil syarikat terbabit, mengakui permintaan tenaga kerja di bahagian tertentu bertambah pada musim wabak, justeru syarikat bersetuju menjalin kerjasama melalui Program Penempatan Pekerjaan untuk gelandangan.

Calon dipilih akan diberi tempat tinggal dan faedah lain akan mengikut undang-undang buruh. 

Wakil Harumi Brands dari Sitiawan Perak, berkata sasaran pengambilan adalah 120 orang, sementara Adabi 20 orang, ujar wakil syarikat terbabit ketika ditemu bual oleh wartawan.

Pemilihan dibuat berdasarkan mereka yang benar-benar berminat untuk bekerja dan layak, kebanyakan akan ditempatkan di bahagian operator pengeluaran kerana kerana permintaan tinggi dari bahagian itu pada musim Covid-19, ujar eksekutif pengambilan Adabi.

Tan Sri Annuar Musa. Kredit Foto - Bernama


Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, temu duga oleh syarikat Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd baru-baru ini berjalan dengan baik. 

Selesai sesi temu duga baki 51 orang gelandangan akan menjalani temu duga bersama majikan lain pada masa  terdekat.

"Sebanyak sembilan syarikat bersetuju memenuhi kriteria Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Syarikat-syarikat itu juga bersetuju menyediakan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum (RM1,200) di bawah Perintah Gaji Minimum 2020 dan mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Kerja 1955," katanya dalam satu kenyataan. 

Antaranya memberi kemudahan cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji dan bayaran lebih masa serta Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Difahamkan sebuah syarikat pembuatan sedang mengusahakan satu program khas yang membolehkan kerja pembungkusan barangan dibuat di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di Anjung Singgah membabitkan 70 penyertaan gelandangan.

Tidak ketinggalan turut diadakan program peluang latihan kemahiran di Pusat Pusat Giat  Mara dan Institusi Peindustrian Kuala Lumpur. 

Dijangka terdapat 1,800 kekosongan jawatan akan diisi melalui program itu.

Rata-rata orang ramai memuji usaha pihak terbabit dalam menangani masalah gelandangan dengan membantu menyediakan pekerjaan dan tempat tinggal untuk mereka yang tidak bernasib baik. - KitaReporters

Sumber : Sinar dan Malaysia Gazette 

0
0
0
0
1

Copy Link: