KEBIASAANNYA kita tak perasan waima tak pandang pun kehadiran si pemungut sampah dan tukang sapu ini dalam masyarakat. Namun selepas negara dilanda wabak pandemik COVID-19 bersekali dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan, baru kita perasan bahawa mereka juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan (frontliners) dalam sektor pembersihan. : KitaReporters

Wakil sukarelawan menyampaikan sumbangan set makanan kepada pekerja pembersihan di Kuantan, Pahang.


Besarnya jasa mereka ini. 

Walaupun tidak kurang yang menghina dan memandang rendah pekerjaan mereka namun tetap jalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab. 

Mereka adalah wira yang tidak didendang. Tanpa mereka di jalanan, mampukah persekitaran kita bersih dan indah?

Pekerja pembersihan menerima sumbangan makanan daripada wakil  sukarelawan Genginfaqkita


Mereka kurang diambil peduli, namun, rezeki mereka hadir tanpa disangka. 

Dalam kesibukan pelbagai agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan keselamatan di seluruh negara berkaitan COVID-19, tampil empat sukarelawan mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk mereka.

Wakil sukarelawan tersebut, Abdul Jamil Mohamed berkata, dia bersama tiga rakannya, Azizi Alauddin, Mohd Faizal Ibrahim dan Suhaimi Lua menyediakan sekurang-kurangnya 50 pek sarapan pagi dan makan tengah hari seperti bihun, nasi beryani ayam dan buah-buahan untuk dinfakkan atau disumbangkan kepada pemungut sampah dan tukang sapu di beberapa lokasi terpilih sekitar Kuantan setiap hari.

Pemandu lori Alam Flora turut menerima sumbangan makanan


Anggota Rela juga antara penerima sumbangan makanan daripada Genginfaqkita


Antara penerima sumbangan Makanan daripada Genginfaqkita


Menurut Abdul Jamil, projek itu sudah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 lagi kerana melihat kesukaran pekerja pembersihan itu untuk membeli makanan kerana kebanyakan premis perniagaan makanan seperti kedai dan gerai makan ditutup

Menggelarkan diri mereka Genginfaqkita, Abdul Jamil berkata, mereka menggunakan hasil untung daripada penghantaran makanan yang ditempah selain turut menerima sumbangan daripada rakan-rakan yang turut menyertai aktiviti kebajikan itu.

"Biasa kita berikan pekerja Alam Flora sampah-sampah makanan untuk dikutip, tapi kali ini kita beri mereka makanan pula. 

"Pasti mereka gembira kerana mereka juga frontliners untuk sektor pembersihan.

"Sumbangan ini tidaklah sebesar mana berbanding kerja yang dilakukan terutama ketika wabak COVID-19 ini kerana mereka sanggup merisikokan diri, malah terdedah dengan virus ini di mana-mana sahaja," katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat, 18 April 2020.


Ditanya bagaimana beliau berempat memperoleh idea untuk melakukan aktiviti amal berkonsep infak itu, Abdul Jamil berkata, dia berasa terpanggil melakukannya selepas melihat pekerja jalanan itu seperti tidak dipedulikan akan kehadiran mereka. 

"Saat terlalu banyak pihak menyalurkan bantuan kepada petugas kesihatan dan keselamatan, kami mengambil peluang menghulurkan sumbangan makanan kepada mereka pula.

"Sekurang-kurangnya mereka rasa dihargai," jelasnya.

Tambahnya lagi, ada sebahagian masyarakat asyik merungut walaupun dalam keadaan masih selesa di rumah selama PKP sebagai usaha mengawal pandemik Covid-19.


Abdul Jamil juga turut bercerita bahawa ada tukang sapu yang melakukan perjalanan yang jauh dari rumah demi mencari rezeki.

"Sayu rasa sayu mendengar cerita seorang tukang sapu yang mengetepikan rasa takutnya dengan wabak ini dan meredah perjalanan 80 kilometer berulang alik dari FELDA Neram ke Kuantan setiap hari demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Jadi, tidak sepatutnya kita masih nak merungut atau memandang rendah golongan ini, kerana merekalah yang menyumbang kepada keselesaan hidup kita," katanya.


Jelas bahawa PKP mengajar kita untuk melihat dalam persepektif berbeza, membuat kita lebih menghargai benda-benda yang dianggap kecil di sekeliling kita, tapi amat bermakna dalam kehidupan ini.  - KitaReporters

5
1
0
0
0

Copy Link: