Man Pacak raja libas Sukan SEA 1979 meninggal dunia! Bekas MP ATM, bekas imam masjid Kpg Pandan!
Published byABDUL Rahman Abdul Ghani (dua dari kiri) membuat pukulan gulung ketika mewakili ATM ke kawasan Selangor dalam satu kejohanan kebangsaan. - Kredit foto: infotakraw.com
"GEMAR membuat rejaman gulung dan bola umpanannya memang perlu sentiasa tinggi. Kawalan bolanya kemas malah sesekali dia boleh bertukar jadi pengumpan kepada rakan apit kanan."
Ciri-ciri hebat Allahyarham Abdul Rahman Abdul Ghani di gelanggang sepak takraw ini digambarkan oleh bekas rakan sepasukan negara, Jusri Rick.
Rahman, 68, telah kembali ke rahmatullah akibat serangan penyakit jantung kira-kira pukul 1.40 petang ini, 14 Jun 2021 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw
ABDUL Rahman Abdul Ghani selepas bersara daripada ATM, dilantik Jawi sebagai imam masjid.
Rahman, anak jati Alor Janggus, Alor Setar ialah anggota skuad 12 pemain pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979.
Dia menyerang dan mematikan bola di kawasan lawan sebagai perejam dari posisi apit kiri, seperti mana Raja Sepak Takraw Asia 1986 - Adnan Saidin yang terkenal dengan libas pari.
Bola rejamannya sentiasa menjunam dan sukar dikutip atau ditangkis lawan, kata seorang lagi bekas rakan sepasukan negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sahar Omar.
"Dia juga sering digelar 'Man Pacak'," kata pengumpan yang juga bekas penolong jurulatih kebangsaan.
SKUAD pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 termasuk Rahman (berdiri, tiga dari kiri) dan Jusri (duduk, kanan). - Kredit foto: infotakraw.com
"Seingat saya, arwah juga pernah jadi pemain simpanan Malaysia dalam Kejohanan MAS-Utusan Malaysia 80-an.
"Kalau Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari, dia akan main untuk ATM dan saya mewakili Selangor. Kerap juga pasukan kami berentap sengit dalam perlawanan akhirnya," kata Jusri, bekas tekong skuad emas 1979 itu.
Pada peringkat kebangsaan khususnya Piala Emas Khir Johari, Rahman juga dikatakan pernah mewakili Perlis dan Kedah selain ATM.
Sukan SEA Ke-10 itu hanya mempertandingkan satu acara acara berpasukan (tiga regu) di Kompleks Sukan Senayan, Jakarta dari 23 hingga 25 September 1979.
Sepasukan dengan Rahman dan Jusri ialah Adnan Saidin, Subari Said, Hassan Yeop, Md. Nor Ali, Rahim Kassim, Shukri Ismail, Osman Ahmad, Faozi Ayob dan Baharuddin Abu Bakar dan Sahar Omar.
Skuad bimbingan Ahmad Daud ini menewaskan Thailand, Singapura dan tuan rumah, Indonesia 3-0 dalam saingan liga sepusingan Sukan SEA tersebut.
Rahman ketika itu bergandingan dengan Hassan (tekong) dan Osman (apit kanan dan pengumpan) diikuti regu kedua - Subari, Rahim dan Sahar manakala Jusri, Adnan dan Shukri membentuk regu ketiga.
PINGAT emas Sukan SEA Jakarta 1979 yang dimenangi Rahman dan 11 rakan sepasukannya selepas mencatat rekod tanpa kalah dengan menumpaskan Thailand, Singapura dan Indonesia 3-0. - Kredit foto: infotakraw.com
RAHMAN (berdiri, dua dari kiri) bersama-sama rakan sepasukan ATM dalam satu kejohanan veteran. - Kredit foto infotakraw.com
Sementara itu, menurut anak perempuan Rahman, Noor Intan Syafina Abdul Rahman, Allahyarham meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat serangan penyakit jantung yang berpunca daripada sakit saraf belakang .
“Ayah meninggalkan lima anak (tiga lelaki dan dua perempuan) yang berusia daripada 26 hingga 42 tahun serta 13 cucu,” tambah Intan.
Jenazah Allahyarham menurutnya, akan dituntut dari HUKM pada sebelah pagi esok (Selasa, 15 Jun 2021) dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, Selangor selepas zuhur.
Allahyarham juga merupakan bekas anggota polis tentera (MP) ATM dengan pangkat terakhirnya, Lans Koperal.
“Ayah yang lahir pada 30 Jun 1952, bersara daripada perkhidmatan ATM pada 22 Mac 1997,” katanya.
Beliau kemudian bertugas sebagai imam Masjid Nurul Islam dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berdekatan kediamannya di Desa Pahlawan, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Pada 7 Jun 2021 lalu, pemenang tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA 1973, 1975 dan 1977 yang juga pencipta teknik blocking, Allahyarham Sahak Md. Yasin meninggal dunia di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak, Kuala Lumpur selepas lebih sebulan bertarung nyawa dengan Covid-19. - KitaReporters
RAHMAN (dua dari kanan) dalam satu majlis tahlil dengan jiran perumahan. - Kredit foto infotakraw.com