HUKUM asal solat Jumaat adalah wajib didirikan walaupun dalam keadaan wabak penyakit. Namun bagi mengekang penularan virus COVID-19, yang boleh menjerumuskan negara serta masyarakat ke dalam masalah kesihatan yang lebih serius dan membahayakan nyawa, maka solat Jumaat diputuskan boleh ditangguhkan dalam tempoh tertentu. : KitaReporters


Sehubungan itu, Terengganu mengikut jejak langkah beberapa negeri lain di negara ini yang menangguhkan solat Jumaat di masjid dan surau sebagai langkah pencegahan kes penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19 bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ketiga Belas  yang bersidang pada Selasa, 17 Mac 2020. 

Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda menjelaskan, hukum asal solat Jumaat adalah wajib didirikan walaupun dalam keadaan wabak penyakit. 

Namun atas saranan dan arahan daripada pihak pemerintah supaya ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengekang penularan virus COVID-19, maka solat Jumaat di negeri ini dipersetujui ditangguhkan dalam tempoh berkenaan. 

Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda 


Katanya lagi, hukum yang sama juga terpakai kepada solat fardu lima waktu secara berjemaah di semua masjid dan surau.

Beliau berkata, selain itu, semua perhimpunan bagi aktiviti  keagamaan dan kemasyarakatan seperti kuliah, ceramah, majlis keraian dan kursus di masjid dan surau juga hendaklah ditangguhkan.

“Tetapi sepanjang tempoh berkenaan, laungan azan lima waktu solah fardu hendaklah diteruskan oleh bilal yang bertugas sebagai panduan masuknya waktu solat kepada kepada seluruh umat Islam negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zulkifly berkata, dalam tempoh itu juga, semua Jawatankuasa masjid dan surau perlu mengambil tindakan operasi membersih premis terbabit sebagai langkah kawalan bagi mengelak jangkitan virus berkenaan menular.

Ketika ini, terdapat 506 masjid di negeri ini iaitu 450 masjid mukim dan 56 masjid kerajaan.



Berikutan penangguhan solat Jumaat, ahli kariah hendaklah meneruskan solat zohor pada hari Jumaat dan solat lima waktu di rumah masing-masing bagi memastikan keberkesanan tindakan itu.

Selain itu, katanya, jika berlaku kes kematian akibat jangkitan wabak terbabit pengurusan jenazah bagi umat Islam hendaklah dilakukan seperti biasa.

Katanya, sekiranya tidak dapat dilakukan, ia hendaklah ditayammumkan seperti biasa.

“Jika tidak dapat dilakukan cara berkenaan ia boleh dilakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut yang membalut jenazah,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula mengingatkan orang ramai yang ingin mengadakan majlis akad nikah perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan supaya mengehadkan jumlah kehadiran pada majlis berkenaan.

Katanya, majlis hendaklah dijalankan di premis persendirian dan mengelak daripada mengadakan di masjid atau surau.

Menurut kenyataan jabatan itu lagi, majlis itu hanya perlu dihadiri seorang juru nikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali dan empat saksi.

Manakala perjalanan akad nikah perlu dipendekkan tidak melebihi 20 minit. - KitaReporters

2
1
1
0
0

Copy Link: