ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bukan sahaja maju dalam perniagaan tetapi turut mengambil usaha untuk menyantuni mereka yang kurang bernasib dalam meneruskan kehidupan harian.

Justeru itu, ANGKASA bersikap ambil peduli membantu mereka itu terutama dalam situasi sekarang apabila terpaksa berdepan dan menghadapi pelbagai masalah ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata masalah sedemikian belum pernah berlaku dan beliau khusus ANGKASA turut menerima tempias apabila bermacam-macam orang meminta bantuan.


Dr Abdul Fattah Abdullah 


Menurutnya, perkara itu berlaku apabila harga beras di samping barangan makanan asas melambung tinggi harga dan keadaan itu sudah pasti menjadi bebanan serta terkesan kepada keluarga yang memiliki ramai tanggungan menetap di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Tambahnya, perkara sedemikian amat jauh berbeza bagi mereka yang menetap di kampung kerana boleh melakukan pelbagai ikhtiar bagi menyara keluarga seperti bercucuk tanam atau berternak tetapi di bandar apabila tiada duit akan menimbulkan masalah.

“Dalam hal sedemikian biasanya anak-anak tidak faham masalah dihadapi keluarga mereka kerana itu ANGKASA terpanggil untuk membantu seperti memberi baucar untuk membeli barangan makanan asas seperti beras, susu, gula, tepung gandum dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA 2024/1445H di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz ANGKASA, Petaling Jaya, Selangor pada 30 Mac 2024.


Dr Abdul Fattah menyampaikan baucar RM1,000 kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman.


Pada program itu, Dr Abdul Fattah menyampaikan tiga baucar bernilai RM1,000 kepada tiga rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah).

Manakala baucar RM100 diberikan kepada 70 kariah masjid sekitar Kelana Jaya, 50 kakitangan ANGKASA dan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata. Semua baucar itu untuk pembelian barangan makanan asas di ANGKASAMART.

Beliau berkata, walaupun jumlah baucar itu tidak seberapa namun diharapkan dapat meringankan bebanan keluarga yang terbabit terutama untuk mengembirakan hati mereka dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Jelasnya, seperti tahun sebelum ini ANGKASA menyediakan peruntukan yang besar untuk program CSR walaupun menyedari mereka disantuni dan dibantu itu sudah menerima pelbagai bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau korporat lain.


Dr Abdul Fattah (depan lima dari kanan) merakam kenangan bersama-sama penerima baucar Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA 2024/1445H, di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Mac 2024.


“Ini sekali gus menunjukkan kami berada di luar sentiasa bersikap ambil peduli nasib mereka yang timpa musibah dan akan berusaha untuk membantu setakat termampu supaya masalah berkenan tidak terus menjadi beban,” ujarnya.

Dr Abdul Fattah menjelaskan, program berkenaan dilancarkan dengan bertujuan membantu mereka dalam kalangan asnaf dan kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar Petaling Jaya bersempena dengan penganjuran Karnival ANGKASAMART Kelana Jaya yang bermula pada 26 Mac 2024.

Menurutnya, projek barangan asas 100 (BA 100) merupakan inisiatif ANGKASA bagi menawarkan pembelian barangan asas dengan harga berpatutan dalam usaha membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Ia juga usaha ANGKASA untuk mendapatkan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Program CSR ANGKASA ini juga adalah inisiatif kami memenuhi tanggungjawab sosial dari segi menyumbang dalam usaha, tenaga serta keperluan sosioekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan dan sebagainya,” ujarnya. - KitaReporters


Penerima baucar membeli barangan makanan asas di ANGKASAMART menggunakan baucar yang diterima.


Dr Abdul Fattah menyantuni penerima baucar dengan melihat barangan makanan asas yang dibeli oleh mereka di ANGKASAMART.

21
13
0
12
0

Copy Link: