Diari Mama Masscom| Suami dari neraka, isteri tetap tunggu syurga! Kenapa begini? Mampukah berubah?
Published byAlam perkahwinan tidak seindah alam percintaan yang sangat manis, bahagia dan menyeronokkan. Namun bila melangkah ke alam perkahwinan barulah realiti hidup itu benar-benar dirasai pasangan yang sudah berkahwin.
Tanggungjawab, amanah dan masalah masalah dalam rumah tangga akan mencelikkan mata mereka yang masih dibuai mimpi dalam sebuah perkahwinan.
Apabila hidup semakin tertekan kerana banyaknya tangggungjawab yang mesti digalas dalam rumah tangga, adakalanya pasangan yang berkahwin mula bergaduh dan kehidupan alam rumah tangga mula goyah.
Kes penderaan dalam rumah tangga bukan baru. Ia berlaku sejak lama dulu. Malah isu keganasan rumah tangga telah dikesan sejak awal tahun 60-an lagi.
Suami yang mendominasi rumah tangga adakalanya turut menjadi "bos" dalam rumah tangga dan menjadikan isterinya hamba untuk melakukan banyak tugasan rumah tangga selain didera mental dan fizikal.
Ada suami yang bila tertekan akan menjadikan isteri dan anak-anaknya mangsa keadaan dengan melepas sakit hati dan marahnya.
Dalam satu seminar hari wanita yang pernah saya hadiri, kira-kira 10 tahun lalu, seorang wakil NGO bercerita bagaimana seorang isteri sanggup menjadi mangsa penderaan suaminya kerana baginya suami adalah syurga buat dia.
Walau keadaan hidupnya sangat terseksa dan anak-anaknya juga turut menjadi mangsa keganasan ayah mereka, tapi mereka masih hormat dan sayang pada lelaki atau "suami dari neraka" ini.
Wanita ini tidak berani melawan suami sebab mindset atau mentalitinya telah menetapkan bahawa syurga itu pada tapak kaki suaminya. Begitu juga perasaan takut berdosa kerana ingkar perintah suami.
Hidupnya memang bergantung sepenuhnya pada suami dan adakalanya bila tak ada duit mereka sanggup berlapar dan sanggup meminta minta kepada orang lain.
Keluarga wanita ini pernah dipukul suaminya sehingga isterinya mengalami kecederaan teruk, anak anak turut mendapat habuan keganasan ayah mereka.
Wakil NGO Wanita ini pernah menasihatkan wanita ini membuat laporan polis setiap kali dipukul dan berjumpa pihak Jabatan Agama Islam untuk mengadu.
Namun jawapan wanita ini sangat menyedihkan pihak NGO berkenaan kerana wanita ini memberitahu sudah tidak ada apa yang boleh mereka buat lagi selain "menadah kesakitan" dan bertahan serta bersabar bila suaminya naik angin. Jalan keluar pada kemelut penderitaan mereka juga telah tertutup. Mereka rela mati daripada bertindak keluar daripada masalah ini.
Menurut NGO ini, wanita berkenaan pernah mengadu ke balai polis apabila dia dipukul dengan teruk oleh suaminya. Tapi aduan hanya tinggal report kerana bila polis menasihatkan suaminya agar jangan mendera iseri dan anak-anaknya dia terus menjadi sasaran marah suaminya.
Begitu juga apabila pergi ke Jabatan Agama Islam untuk meminta nasihat. Kaunselor berkenaan meminta wanita itu memikirkan di mana salah dia sehingga suaminya jadi begitu. Menurut wanita berkenaan dia perlu cari salah dirinya dan perbaiki dirinya dulu serta menerima suami seadanya.
NGO berkenaan memberitahu, akibat kurang keprihatinan daripada pihak berkuasa, kes penderaan dan penganiayaan terhadap isteri dan anak-anak tidak akan dapat diselesaikan dan isteri akan tetap menjadi mangsa penderaan suami selagi dia masih bertahan.
Wanita sering dilabel sebagai "second class citizen" di mana mereka sering dipersalah dalam banyak kes di samping mereka juga sukar keluar daripada kemelut rumah tangga yang sedang mereka hadapi.
Ramai wanita tidak berani keluar daripada kancah keganasan rumah tangga ini untuk melarikan diri daripada suami yang zalim kerana mereka tidak tahu ada tempat yang boleh membantu mereka.
Selain itu mereka tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dari pihat yang bertanggungjawab. Mereka sangat naif dan tidak tahu bahawa ada jalan keluar pada penderitaan ini.
Sebenarnya pihak kementerian ada menyalurkan bantuan kepada wanita yang didera dengan memberikan nombor telefon dan mengadu pada saluran yang betul.
Mangsa keganasan rumah tangga sebenarnya dilindungi bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), di mana mereka boleh mendapat bantuan daripada pegawai kerja sosial di hospital, pegawai Kementerian Wanita dan beberapa kementerian lagi.
Namun masalah yang dihadapi mereka atau mangsa keganasan ini ialah mereka tidak berani bertindak dan takut tindakan mereka akan membawa lebih keburukan kepada diri mereka.
Akibatnya anak-anak mangsa penderaan ini akan melarikan diri dari rumah atau terjebak dengan masalah sosial yang lain.
Apapun pada pandangan saya, pihak-pihak yang bertanggungjawab membantu mangsa keganasan rumah tangga perlu lebih proaktif membantu mereka yang mengalami masalah ini.
Masyarakat setempat khususnya jiran perlu juga menjadi saksi dan membantu keluarga malang ini mendapatkan bantuan. Jika jiran, ahli keluarga dapat prihatin terhadap masalah keganasan rumah tangga ini, kita dapat membantu wanita-wanita malang ini di samping mengembalikan semangat kepada anak-anak mereka agar dapat hidup lebih baik dan keluar daripada kancah keganasan rumah tangga yang boleh juga memusnahkan masa depan anak-anak mereka. - KitaReporters