Penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat memusnahkan rumah Aini.


“SAYA terpaksa menguatkan tangan untuk membuka pintu yang terkunci dalam keadaan kedua-dua pergelangan tangan yang patah dan belum pulih sepenuhnya ketika cuba keluar menyelamatkan diri dalam keadaan api yang sedang marak.

“Berpandukan kesamaran cahaya api kebakaran yang semakin marak saya menggagahi melangkah menuju ke pintu utama dan bernasib baik apabila kunci tepat ditekan pada tombol pintu dan segera dapat membukanya  untuk keluar,” kata Aini Hayati Mazlan, 55, yang terselamat dalam kebakaran rumahnya di Kampung Batu 1, Jalan Tanjong Tualang, Batu Gajah, Ipoh. 

Dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10 malam pada 10 September 2023 itu, rumah Aini hangus dijilat api dalam 15 minit sahaja walaupun pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sampai 10 minit selepas itu berusaha menyelamatkan rumah beliau.


Aini Hayati Mazlan mengalami kecederaan kesan terbakar pada dahi.


Menceritakan kembali kejadian itu, Aini berkata, pada ketika malam kejadian dia tidak berapa sihat dan mendengar suara anak saudara yang tinggal berjiran menjerit api beberapa kali selepas nampak api mulai merebak dari pintu bilik belakang diiringi letupan kecil.

Menurutnya, anak saudaranya itu mengarahkan supaya keluar segera menerusi pintu utama yang terkunci dan dapat mendengar adik-beradik yang tinggal berdekatan bersama-sama jiran cuba menendang pintu tetapi gagal membukanya.

Katanya, dalam keadaan gelap dengan berpandukan cahaya api yang sedang marak saya menuju ke pintu dan dapat membukanya walaupun terpaksa menahan sakit kerana pergelangan kedua-dua belah tangan patah belum sembuh sepenuhnya.

Tambahnya, dalam keadaan kelam kabut itu dia segera meminta menantu bersama cucu berada di dalam bilik berasingan supaya keluar segera sebelum api merebak dengan cepat memusnahkan keseluruhan rumahnya itu.


Aini (kiri) menceritakan detik cemas terpaksa meredak api kebakaran untuk membuka kunci pintu rumahnya yang terbakar kepada rakan bekas pelajar SYS di Kampung Batu 1, Jalan Tanjong Tualang, Batu Gajah, Ipoh, pada malam 10 September 2023.


“Dalam keadaan cuba menyelamatkan diri ini saya tidak sedar sebahagian dahi sudah terkena bahan api yang marak menyebabkan cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.

“Kedua-dua belah pergelangan tangan saya ini patah sejak Mac (2023) lalu selepas tersadung terlanggar karpet dewan pada majlis perkahwinan saudara dan belum pulih seperti sedia kala serta masih belum kuat untuk memegang beban,” ujarnya ketika dikunjungi rakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf (SYS), Batu Gajah, Perak; Sahabat Kelas al-Quran Bandar Tun Hussein Onn (SKAQBTHO), Cheras, Selangor; dan Sahabat Prihatin dari Semenyih dan Beranang (SPSB), Selangor.

Aini berkata, dia amat bersyukur apabila bersama menantu serta cucu terselamat dalam kebakaran itu walaupun tinggal sehelai sepinggang dan kini terpaksa menumpang di rumah kakak sementara menunggu rumah baharu siap dibina oleh adik-beradik dan orang kampung.

Menurutnya, sejak beberapa hari lalu adik beliau dengan pertolongan kawan dan penduduk kampung bergotong-royong membersih tapak rumah yang terbakar itu untuk didirikan binaan rumah menggunakan wang simpanan dan hasil sumbangan saudara mara serta jiran tetangga.  

“Sehingga kini saya tidak mengetahui punca sebenar kebakaran ini tetapi ketika kelam kabut berusaha membuka kunci pintu turut mendengar letupan kecil atas siling rumah seperti kayu pecah sebelum api besar merebak dengan cepat,” ujarnya seorang ibu tunggal usia 25 tahun. 


Alias Ahmad (kanan) mewakili SKAQBTHO dan SYS menghulurkan sumbangan kepada Aini.


Sementara itu, Alias Ahmad yang mewakil bekas rakan pelajar SYS dan SKAQBTHO, berkata sebaik sahaja mendapat berita yang menimpa Aini dia terus berhubung dengan rakan-rakan melalui media sosial untuk mengumpul dana serta sumbangan barangan keperluan asas.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa yang berjaya dikumpul dalam waktu singkat sebagai tanda simpati dan keprihatinan kami semua akan musibah yang menimpa Aini dan berharap dia bersabar dengan dugaan itu,” ujarnya.


Mohiadin Bahado mewakili SPSB menghulurkan sumbangan kepada Aini.


Manakala Mohiadin Bahado, yang mewakil SPSB, berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dia bersama-sama sahabat sentiasa menghulurkan bantuan membantu mereka yang ditimpa masalah atau musibah.

“Kami ingin berkongsi rezeki yang ada untuk diagihkan terutama bagi memastikan mereka ditimpa bencana alam seperti kebakaran dan banjir tidak berasa terlalu tertekan sebaliknya bersemangat untuk memulakan hidup baharu,” katanya. 


Aini menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada rakan-rakan bekas pelajar SYS, SKAQBTHO dan SPSB.


Adik Aini dengan bantu rakan-rakan bergotong-royong membersihkan tapak rumah yang terbakar untuk membina rumah baharu.

21
16
0
13
1

Copy Link: