Sepanjang Jalan Kenangan| Video| Cinta monyet dulu-dulu! Bedak pewangi surat! Pecah kaca pecah gelas!
Published by.
PERNAHKAH anda mengalami cinta monyet atau dalam bahasa Inggeris disebut puppy love?
Rasanya ramai yang mengalami pengalaman itu. Ia adalah satu proses biasa dalam putaran kehidupan kita, dialami seseorang yang baru menginjak ke usia remaja.
Selalunya cinta monyet tidak kekal, ia hanya hadir sementara dan berlalu begitu saja. Lazimnya bila tamat alam persekolahan, masing-masing membawa haluan dan dengan sendiri cinta monyet itu berakhir.
Tapi, ada juga hubungan yang bermula sebagai cinta monyet bertukar menjadi cinta sejati hingga membawa ke jenjang pelamin.
Seorang kawan sekolah penulis bernama Azman dan pasangannya, Bani menjalin cinta sejak di bangku sekolah, berkahwin dan kekal bahagia sehingga kini.
PENULIS (duduk dua dari kiri) bersama rakan sekolah ketika berada dalam Tingkatan 3.
Bila sesekali mengimbau kembali zaman remaja terutama pegalaman terjebak cinta monyet, penulis tersenyum sendiri. Kelakar pula rasanya terutama bila mengenang cara remaja dahulu bercinta berbanding remaja hari ini.
Penulis terjebak cinta monyet ketika berada dalam Tingkatan 3. Tapi, tidak seperti rakan-rakan lain, bukan penulis sebaliknya si gadis yang mengambil inisiatif memulakan hubungan kami.
Kebetulan, penulis memang menaruh minat terhadap gadis itu yang berada dalam Tingkatan 1, cuma tidak tahu bagaimana mahu memulakan hubungan.
Penulis dapat rasa gadis itu yang cukup dinamakan sebagai ‘M’ juga sukakan penulis kerana setiap kali melintas di depan kelas penulis, dia akan melirik dan tersenyum kepada penulis.
Penulis ketika itu bersekolah sesi pagi sementara M pula petang. Selalunya, M datang awal ke sekolah dan berlegar-legar di kawasan sekolah bersama dua tiga orang kawan baiknya sebelum sesi petang bermula.
Kadang-kadang tiga empat kali dia melintas di depan kelas penulis. Melihat kelibatnya, penulis yang duduk di tepi tingkap berasa sangat bahagia apatah lagi bila M melemparkan senyuman. Aduh! Berbunga-bunga hati penulis.
PENULIS (kiri) bersama seorang rakan sekolah.
Rakan-rakan sekelas juga sering mengusik, mengatakan M sukakan penulis. Tapi, penulis jenis jejaka pemalu, bimbang juga jika hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong dan bertepuk sebelah tangan.
Justeru, penulis hanya memendam rasa, tidak berani meluahkan isi hati walaupun yakin M menyukai penulis. Sepanjang tempoh itu, kami tidak pernah bertegur sapa, sekadar berbalas senyuman sehinggalah M yang memulakan.
Suatu hari ketika penulis berjalan menuju ke basikal untuk pulang, Z kawan baik M tiba-tiba mendekati penulis, membuatkan penulis terkejut dan tergamam. Dada penulis berdegup kencang.
Tidak jauh dari situ M serta beberapa orang rakannya sedang memerhatikan ke arah kami menjadikan penulis semakin resah. Seribu persoalan menerjah ke benak fikiran penulis.
“Rodly,” tegur Z. “Awak suka banyak komik kan?” tanya Z.
Suara penulis seolah tersekat dan tidak terkeluar, sekadar dapat mengangguk.
“Tentu awak banyak komik kan?" kata Z.
Penulis mengangguk dan pada masa sama menoleh ke arah M yang masih memerhati dari jauh.
KISAH cinta monyet anak sekolah sering difilemkan.
Memang penulis gemar membaca komik. Apatah lagi ketika itu penulis sudah aktif menulis dan ramai rakan sekolah tahu akan hal berkenaan.
“M minta saya pinjam komik dari awak, dia nak baca. Boleh?” tanya Z.
“Boleh,” penulis pantas menjawab. Bagi penulis, Bagai pucuk dicita ulam mendatang, inilah peluang untuk berkenalan dengan M.
Tapi, pada hari berkenaan penulis tak bawa komik kerana bimbang dirampas oleh cikgu. Penulis tidak faham mengapa ketika itu sekolah tidak membenarkan murid-murid membawa bahan bacaan selain buku pelajaran ke sekolah.
Penulis berjanji kepada Z akan membawa beberapa buah komik untuk M keesokannya dan akan menunggu M di tempat parkir basikal untuk menyerahkan komik itu.
Malam itu penulis tidak dapat lelapkan mata. Terasa waktu berjalan terlalu perlahan kerana sudah tidak sabar hendak bertemu dan menyerahkan komik kepada M.
PADA zaman dahulu, surat menjadi penghubung utama kepada pasangan bercinta.
Esoknya, kami bertemu di tempat yang dijanjikan. Hati penulis berdebar kerana itulah pertama kali bertentang mata dengan M. Cantiknya M di mata penulis ketika itu. Tubuhnya kecil, sesuai dengan penulis yang tidak setinggi mana. Melihat mata dan senyumannya, hati penulis terus cair.
Lidah penulis menjadi kelu, tidak tahu bagaimana mahu berbicara sebaliknya M nampak tenang dan selamba.
“Nanti dah habis baca M pulangkan ya,” ujar M.
“Ok,” jawab penulis ringkas dalam nada gugup.
Selang beberapa hari, M bertemu penulis untuk memulangkan komik-komik yang dipinjamnya.
Agak memeranjatkan, bila pulang ke rumah, ketika penulis membelek-belek komik itu, terdapat satu surat dalam salah sebuah komik berkenaan. Penulis segera membuka lipatan surat. Di dalamnya terdapat sekuntum bunga yang sudah kering.
Surat itu dari M, agak panjang. Penulis segera membacanya. Antara isi surat itu yang penulis masih ingat:
“Ke hadapan Saudara Rodly. Salam perkenalan daripada M. Harap Rodly sudi berkawan dengan M.”
Buat seketika penulis berasa seolah-olah kaki penulis tidak jejak ke bumi, berada di awan-awangan. Ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang, umpama bulan jatuh ke riba!
Sejak itu kami saling berutus surat, lazimnya diselit dalam komik atau buku cerita. Z menjadi posmen yang setia kepada penulis dan M. Dialah yang menerima dan menghantar surat kami. Sebagai orang tengah Z memang boleh dipercayai kerana dia mempunyai sifat biar pecah di perut, jangan pecah di mulut!
Agak kelakar, apabila dikenang, surat yang hendak dihantar itu biasanya akan diletakkan bedak talkum agar ia wangi. Penulis masih ingat jenama bedak itu, Amami yang selalu digunakan untuk mewangikan badan terutama bahagian ketiak. Si gadis pula lazimnya suka menyelitkan bunga.
Selalunya, bahasa yang digunakan berbunga-bunga dan kadang-kadang diselit dengan pantun. Penulis sangat suka dengan lirik lagu Gurindam Jiwa dan sering memetik rangkap pantun dalam lagu itu untuk diselitkan.
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Dan pantun itu akan dibalas oleh M dengan rangkap
lirik Gurindam Jiwa seterusnya:
Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak kulupa
Bagaikan rambut bersimpul mati
Walaupun sepanjang berutus surat, perasaan cinta tidak pernah diluahkan namun masing-masing TST (tahu sama tahu) bahawa kami saling menyukai. Hanya pantun dan lirik lagu yang menjadi pembayang kepada perasaan masing-masing.
Satu lagi pantun yang sangat popular pada zaman penulis dahulu adalah:
Pecah kaca, pecah gelas
Lepas baca, harap balas
Ia sering dijadikan sebagai kata penutup dengan
harapan surat itu mendapat balasan.
Ada juga pantun bernada gurauan seperti:
Pen merah, pen biru
You marah, I love you
KENANGAN zaman persekolahan, penulis (tengah) bersama dua rakan.
Tidak seperti pasangan yang benar-benar bercinta, penulis dan M tidak pernah keluar dating, hanya bertemu di sekolah atau penulis berkunjung ke rumahnya pada sambutan hari raya.
Apabila penulis menyambung pelajaran Tingkatan 4 di sekolah lain, hubungan dengan M dengan sendirinya putus apatah lagi apabila penulis mendapat teman baharu.
Namun, kisah cinta monyet antara penulis dengan M kekal dalam ingatan kerana ia adalah pengalaman pertama penulis jatuh cinta! - KitaReporters