Hadiah raya untuk anggota polis! Insentif Rebat Rahmah! Rebat one-off! Bayar satu bulan bil telefon!
Published bySempena Hari Polis Ke-218 yang jatuh pada Selasa, 25 Mac 2025, Kerajaan Madani melalui Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat Rahmah secara one-off (sekali bayar).
Insentif ini dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi anggota beruniform dan awam yang berkhidmat dengan PDRM.
"Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.
"Manakala, anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara one-off dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi," menurut kenyataan kementerian, yang dikeluarkan pada 25 Mac 2025.
Pemberian Insentif Rebat Rahmah secara one-off kepada anggota PDRM disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.
Menurut kenyataan itu, pemberian insentif ini akan memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang anggota PDRM.
"Insentif ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen dalam menjalankan tugas untuk menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara," tambah kenyataan tersebut.
Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq. - KitaReporters/Kenyataan Media