Sentiasa dinanti-nantikan! Jualan Ehsan Rahmah beri manfaat kepada rakyat Selangor! Jimat sampai 40%!
Published byJUALAN Ehsan Rahmah (JER) yang diperkenal sejak 2022 memberi manfaat kepada lebih tujuh juta rakyat Selangor dan program itu menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
JER 2025 kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuka tirainya pada 13 Januari 2025 lalu dengan lima lokasi iaitu Kinrara, Bandar Baru Klang, Rawang, Bukit Melawati dan Sungai Kandis.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER tahun ini (2025), sekali gus membuktikan tekad pentadbiran negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Portal Kitareporters.com (KR) berpeluang menemu bual Penyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar (MJ) untuk mendapatkan maklum balas bagaimana inisiatif kerajaan Selangor melalui JER membantu meringankan beban rakyat terutama dalam kalangan B40, miskin bandar dan asnaf di DUN berkenaan.
Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pasar Raya Ehsan Mart Sungai Tua di Dataran Selayang, Gombak.'
KR: Boleh ceritakan mengenai JER yang diperkenalkan kerajaan Selangor termasuk di DUN Sungai Ramal?
MJ: Program JER yang diperkenal sejak 2022 memberi banyak manfaat kepada rakyat di Selangor termasuk di DUN Sungai Ramal.
Sejak diadakan tiga tahun lalu, JER adalah acara membeli belah yang sentiasa dinanti-nanti penduduk di setiap DUN di Selangor termasuk di Sungai Ramal. Bermula jam 10 pagi, pengunjung berpeluang membeli ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Inisiatif jualan murah yang berakhir 12 tengah hari turut menawarkan produk baharu antaranya tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).
Seperti kenyataan yang dikeluarkan PKPS, JER dijadual berlangsung di lebih 1,700 lokasi pada tahun 2025 termasuk jualan mega semasa musim perayaan dinaikkan dari dua kepada enam kali tahun ini.
Bagi memperluas konsep JER kepada lebih ramai rakyat, PKPS melancarkan Pasar Raya Ehsan Mart di setiap DUN, bermula dengan Sungai Tua dan Pandan Indah. Ia menawarkan harga barangan asas lebih rendah dan kewujudannya sebagai penambahbaikan program JER. Bagi DUN Sungai Ramal, saya menjangka ia akan menjadi kenyataan pada 2026.
Pasar Raya Ehsan Mart beroperasi setiap hari dan barangan yang dijual sama seperti JER, ia kolaborasi antara PKPS dan usahawan-usahawan di Selangor. Melalui pasar raya ini, rakyat masih mendapat penjimatan tapi berbanding JER, ada sedikit perbezaan dari segi harga.
Saya juga difahamkan Pasar Raya Ehsan Mart berfungsi sebagai pusat agihan makanan sekiranya berlaku bencana atau keadaan darurat.
Apabila Pasar Raya Ehsan Mart diwujudkan di DUN-DUN nanti, orang ramai boleh mendapatkan barangan di premis berkenaan pada bila-bila masa, sekali gus tiada lagi JER di kawasan mereka.
Mazwan Johar
KR: Adakah JER mencapai matlamat untuk memberi manfaat kepada rakyat?
MJ: Ya, matlamat JER memang sampai dan melalui maklum balas rakyat, program itu sangat baik malah mereka mahu ia diadakan lebih kerap. Sambutan sentiasa baik dan barangan yang dijual selalunya "sold out".
Malah, orang ramai sudah menunggu di tapak operasi JER dan berbaris panjang sejak 7 pagi walaupun kami hanya membuka kaunter mengambil nombor giliran jam 8.30 pagi dan jualan bermula 10.30 pagi.
Penduduk sentiasa menanti-nantikan program ini dan mengikuti hebahan yang kami lakukan supaya mereka dapat hadir. Ya, harga yang dijual di JER memang murah dan rakyat mendapat penjimatan sehingga 40 peratus.
KR: Bagaimana pemilihan lokasi untuk mengadakan program JER di DUN Sungai ramal?
MJ: Program JER di DUN di Selangor termasuk Sungai Ramai diadakan dua kali sebulan. Apabila PKPS memberi tarikh, kami akan mencari lokasi sesuai dan saya akan membuat penggiliran bagi memastikan semua kawasan di DUN Sungai Ramal mendapat peluang yang sama. Tiada pilih kasih dan tiada kaitan dengan politik maah sesiapa boleh membeli barangan sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.
Tapi, DUN Sungai Ramai dikategorikan zon A kerana mempunyai penduduk antara yang padat di Selangor, jadi peruntukan yang diterima sedikit berbeza berbanding DUN-DUN lain.
KR: Setakat ini bagaimana maklum balas penduduk sejak JER diadakan tiga tahun lalu?
MJ: Maklum balas orang ramai amat baik dan mereka mahu JER diadakan lebih kerap. Itulah hasrat saya di DUN Sungai Ramal tapi kami pun ada beberapa kekangan seperti bajet dan kakitangan. Kami hanya dapat mengadakan program ini jika menerima bajet dan kakitangan mencukupi untuk mengendalikan jualan itu dua kali sebulan.
PKPS juga mempunyai beberapa masalah kerana mereka harus bergerak setiap minggu di 56 DUN di Selangor, pastinya ada beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan. Justeru, pilihan terbaik ialah mengadakan JER dua kali sebulan.
JER sentiasa mendapat sambutan orang ramai terutama penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai barangan dengan harga rahmah.
KR: Bagaimana mahu memastikan pengguna tidak mengambil kesempatan membeli barangan melebihi had yang ditetapkan?
MJ: pada peringkat awal memang ada sedikit kelopongan sehingga ada pihak tertentu mengambil kesempatan membeli melebihi had ditetapkan. Selepas menerima beberapa aduan, kami mengambil tindakan tegas dengan kawalan lebih ketat dengan menjual hanya kepada individu, bukan kedai makan atau syarikat.
Kami juga akan memastikan pengguna yang mengambil bahagian adalah warganegara Malaysia, jika ada rasa curiga dan was-was, petugas kami akan meminta pengguna terbabit mengemukakan kad pengenalan.
Tapi, petugas kami pun tak boleh minta semua pengguna mengemukakan kad pengenalan kerana ia isu sensitif dan boleh menimbulkan salah faham. Cuma, apa yang kami lakukan bagi memastikan JER hanya disertai warganegara Malaysia.
Sekarang pengguna sudah faham dan tiada isu lagi warga asing yang menjadi pembeli di JER. Alhamdulillah, kawalan yang dilakukan berhasil tapi ia perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tidak dikatakan petugas kami tidak peka dengan isu warga asing.
Selain itu, setiap pembeli JER perlu scan barcode, mengisi butiran seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat bagi memudahkan kami membuat laporan setiap kali selesai program itu. Ini penting bagi mengenal pasti jumlah pengunjung yang hadir dan menentukan barangan mencukupi untuk program akan datang.
Langkah itu sekali gus memastikan warga asing tiada peluang membeli barangan di JER, tiada yang membeli secara berulang dan semua yang hadir dapat membeli tanpa pulang dengan tangan kosong.
Beras antara barangan yang mendapat sambutan baik pengguna di JER.
KR: Apakah cabaran mengendalikan JER?
Selepas tiga tahun penganjurannya, cabaran dapat dikurangkan, cuma setiap kali JER, orang ramai hadir terlalu awal, tentulah kami kesian dan bersimpati dengan mereka.
Dalam hebahan, kami sudah memaklumkan, waktu untuk mengambil nombor giliran dan bila operasi jualan bermula. Tapi, setiap kali lori PKPS tiba, orang dah ramai, kami pula terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyusun barangan.
Cabaran lain ialah memastikan pengguna yang datang awal dapat membeli dulu dan tidak berlaku kes potong barisan, contohnya si A datang jam 7 pagi tapi si B yang hadir jam 10 pagi menjadi pembeli awal, tentulah orang ramai akan marah.
Untuk mengelak masalah ini, kami letak kerusi. Jadi, sesiapa datang awal, duduk di kerusi mengikut giliran. Kami juga mengehadkan pengguna membeli secara pukal kerana ia menyebabkan orang di belakang menjadi marah. Ini pun satu isu juga dan kami mahu memastikan semua yang hadir dapat membeli barangan.
Dengan kawalan itu, pengguna boleh mengambil barangan mengikut keperluan mereka, contohnya mereka tidak boleh membeli ayam sehingga tiga ekor, kami hadkan untuk seekor sahaja tapi jika bekalan ayam banyak, boleh beli dua ekor. Matlamat JER ialah berkongsi rezeki dengan seramai mungkin penduduk.
Cabaran warga asing memang tiada di DUN Sungai Ramal. Jika ada kes yang dikenal pasti, mereka boleh membuat laporan kepada saya untuk tindakan selanjutnya.
Minyak masak dijual dengan harga RM10 bagi 2kg.
KR: Adakah berpuas hati dengan program JER?
MJ: Saya amat berpuas hati dengan perjalanan sehingga sekarang. Saya lebih berpuas hati apabila melihat mereka yang hadir tersenyum dan memberi ucapan terima kasih kepada saya dan kakitangan lain. Yang penting kami mahu memastikan, setiap yang datang membeli barangan yang dijual walaupun hadir lewat.
JER juga memberi peluang saya bertemu rakyat terutama pengundi DUN Sungai Ramal. Saya akan guna masa itu untuk memberi penerangan dan menyampaikan berita-berita terkini apa yang berlaku di Selangor.
Kerajaan negeri mempunyai banyak tawaran kepada rakyat dan saya mahu mereka mengambil bahagian seperti baucar hari raya, buka sekolah, usia emas, haji dan skim air percuma.
JER memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini, tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik. Sesiapa pun boleh datang untuk membeli barangan di JER, tidak kira sama ada anda B40, asnaf, fakir miskin atau bukan daripada golongan itu asalkan mereka rakyat Malaysia.
Saya juga amat terharu kerana pengunjung sentiasa bertanya bila JER seterusnya kerana mereka tidak mahu terlepas.
Saya juga meminta pengunjung yang hadir, selain scan untuk barcode, dapat juga scan untuk dimasukkan dalam grup Whatsapp DUN Sungai Ramal. Ini bagi memudahkan saya menyampaikan info terkini apa yang berlaku dan aktiviti yang bermanfaat untuk penduduk. - KitaReporters
JER memberi peluang Mazwan bertemu penduduk tempatan di DUN Sungai Ramal bagi menyantuni dan memberi maklumat terkini kepada mereka.