Hobi kumpul barang antik! Sanggup belanja ribuan ringgit! Isteri anggap gila! Rumah bagai muzium mini!

Published by
KitaReporters

 

JEFFRY gemar mengumpul barangan lama dan kini memiliki hampir 1000 barang antik.


HOBI manusia pelbagai. Semuanya untuk kepuasan diri. Dan kita sanggup berbuat apa saja demi memenuhi minat masing-masing.

Bagi Jeffry Jamaluddin, 56, dari Kulim, Kedah, hobi mengumpul barangan lama menyebabkan dia tidak kisah menghabiskan duit beribu-ribu ringgit, menjelajah ke segenap pelosok negara malah rela dianggap gila oleh isteri sendiri asalkan dapat apa dihajati.

Jeffry berkata, minatnya terhadap barang-barang antik mula timbul pada awal tahun 1990-an selepas berkunjung ke rumah seorang kawan yang merupakan pengumpul barangan lama.

Ia didorong pula oleh ayahnya, Jamaluddin Hamid yang turut mempunyai minat sama malah bersedia mewariskan barangan antik dimilikinya kepada Jeffry.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan barangan antik

RADIO lama antara koleksi Jeffry.


“Ayah saya memang suka mengumpul barang-barang lama sejak muda tapi tidaklah banyak. Mungkin dari situ datang minat saya. Setiap kali saya bawa balik barang lama,isteri akan membebel. Ada satu ketika dia anggap saya dah gila.

“Tapi, saya benar-benar mula jatuh cinta dengan hobi ini selepas berkunjung ke rumah seorang sahabat yang penuh dengan barangan antik. Saya cukup tertarik, seolah-olah saya sedang berada dalam muzium barangan lama.

“Sejak itu saya mula mengumpul barang-barang lama. Buat permulaan, saya minta barang-barang lama yang dimiliki oleh ayah seperti seterika, kacip, tin rokok dan beberapa barang lagi.

“Ayah berpesan agar saya menjaga barang-barang itu bagai keluarga sendiri kerana ia adalah warisan yang sangat berharga,” kata Jeffry.


PELBAGAI jenis telefon lama turut menjadi koleksi Jeffry.


Menurut Jeffry, pada awal pembabitan, isterinya Faridah Shaik Dawood tidak menyukai hobinya sehingga menganggap dirinya gila kerana terlalu taksub dengan barangan lama.

“Pantang dengar di mana ada orang menyimpan barang lama, saya sanggup pergi untuk mendapatkannya. Satu Malaysia saya dah pusing, utara selatan, timur, barat, untuk cari barang lama. 

“Ada antaranya saya beli, dah beribu-ribu ringgit juga saya belanja dan ada juga yang saya dapat secara percuma. Kadang-kadang saya tukar suka sama suka dengan penggemar barangan lama lain. 

“Tapi, kebanyakannya saya dapat percuma kerana ramai orang kita tidak suka menyimpan barang lama dan mahu membuangnya, jadi mereka serahkan kepada saya.

“Orang rumah (isteri) saya pada awalnya tidak suka dengan hobi saya ini. Dia anggap barang-barang itu sekadar menyemakkan rumah kami, maklumlah rumah kami kecil, rumah kos rendah.

“Setiap kali saya bawa balik barang lama, orang rumah akan membebel. Ada satu ketika dia anggap saya dah gila tapi saya tidak melenting kerana saya tahu dia tidak faham dengan minat saya,” cerita Jeffry.


BOTOL minuman jenama popular antara barangan yang disimpan oleh Jefrry.


Walau bagaimanapun, menurut Jeffry, akhirnya Faridah mula memahami dan dapat menerima hobinya malah isterinya itu sendiri mula menaruh minat terhadap barang-barang lama terutama yang berkaitan dengan wanita seperti pinggan mangkuk dan cawan antik.

Selain Faridah, anak kedua mereka, Umairah kini turut memberi sokongan kepada Jeffry menyebabkan beliau lebih bersemangat untuk meneruskan minatnya.

Setakat ini Jeffry memiliki hampir 1,000 barangan antik yang dijadikan hiasan dalam rumahnya. Antaranya adalah radio, mesin taip, pinggan mangkuk, piring, gelas, cawan, botol, tin minuman, batu giling, telefon, seterika dan banyak lagi.

Bagi Jeffry, mengumpul barangan lama bukan sekadar hobi sebaliknya dianggap sebagai tanggungjawab untuk memelihara warisan generasi terdahulu demi tatapan gemerasi sekarang.

“Saya yakin, ramai generasi sekarang yang tidak pernah tengok peralatan lama seperti batu giling, seterika, radio, telefon zaman dahulu dan tidak tahu bagaimana ia digunakan. Teknologi hari ini sudah jauh ke depan sehingga menyebabkan barangan lama bukan saja sudah tidak diperlukan malah dilupakan. 

“Jika tidak ada inisiatif untuk mengumpul barang-barang ini, akhirnya ia akan hilang ditelan zaman. Jadi, saya menganggap, selain sebagai hobi, ia adalah tanggungjawab saya untuk terus memelihara warisan ini,” kata Jeffry yang merupakan pemandu lori.


 JEFFRY bercadang membina sebuah galeri mini untuk mempamirkan barangan antik yang dimilikinya.


Jeffry tidak menafikan, hobi mengumpul barangan lama itu boleh dijadikan sumber pendapatan kerana pemburu barangan lama sanggup berbelanja semata-mata untuk mendapatkan barang yang mereka idamkan tapi beliau tidak berminat menjualnya.

“Memang ramai yang minta beli dan sanggup bayar dengan harga tinggi tapi saya lebih suka mengamalkan konsep tukar sama suka sesama penggemar barangan antik. Kadang-kadang ada barang yang dia ada tapi saya tak ada, begitu juga sebaliknya, jadi kita tukar suka sama suka,” ujar Jeffry.

Beliau juga mengalu-alukan penggemar barangan antik untuk berkunjung ke rumahnya jika mereka mahu melihat barangan dimilikinya sambil berkongsi hobi dan bertukar-tukar pandangan.

“Rumah saya sekarang ibarat muzium mini yang terbuka untuk dikunjungi penggemar barangan lama. Kalau minat boleh singgah di No 285, Lorong 1/4, Taman Kemuning, Kulim (Kedah).

“Saya bercadang, jika ada rezeki, nak bina galeri mini di depan rumah bagi menyimpan barang-barang lama ini serta memberi keselesaan kepada pengunjung. Isteri saya pun setuju dan sangat menyokong cadangan itu,” katanya. - KitaReporters



 

23
10
0
12
1

Copy Link: