Haji Bidin nak kembalikan martabat ghazal! Tak rela lihat ghazal berkubur! Sudah sebati dalam diri!
Published bySEORANG warga emas di Pekan Ayer Panas, Labis, Johor yang juga merupakan pengasas beberapa kumpulan ghazal melahirkan kebimbangan terhadap masa depan warisan seni budaya negeri Johor itu yang semakin 'malap' dan disifatkannya sebagai hanya 'menanti mati' berikutan tiada sebarang usaha dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan warisan tersebut.
Jantan Ahmad, 84, yang lebih mesra disapa Haji Bidin dalam kalangan rakan-rakannya telah terlibat dengan aktiviti seni sejak tahun 1965 lagi berpendapat banyak faktor yang menyebabkan ghazal semakin tenggelam dan tidak mampu bersaing dengan kebanjiran pelbagai genre muzik moden dan dari luar ketika ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan muzik tradisional
Jantan Ahmad atau Haji Bidin
"Bagi saya kita tidak boleh menyekat kemasukan pelbagai
genre muzik baharu ke negara kita, sebaliknya kita perlu meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia mampu memperkayakan lagi dunia seni tanah
air, tapi dalam masa yang sama janganlah kita terlalu mendewakan seni orang
luar sehinggakan 'terlupa' untuk mengukuhkan seni budaya warisan peninggalan
nenek moyang sendiri.
"Sebuah bangsa itu dikenali daripada budayanya, namun jika kita melupakan warisan dan seni budaya sendiri ketika ini, bayangkan kita ini mahu dikenali sebagai bangsa apa nanti," katanya yang berharap satu usaha digerakkan oleh kerajaan negeri melalui agensi berkaitan untuk memartabatkan kembali seni ghazal sebagai satu warisan budaya Johor.
Katanya, selepas bersara sebagai penjawat awam pada tahun 1993, dia ketika itu dia yang menetap di Terengganu kembali ke kampung halamannya di Labis dan turut menubuhkan kumpulan ghazal dengan membawa semula nama Suktra Ghazal di mana keanggotaan kumpulan ini terdiri daripada pengiat ghazal dari luar seperti Muar, Mersing dan Selangor.
Namun kumpulan tersebut hanya mampu bertahan beberapa tahun disebabkan usia ahlinya yang semakin meningkat dan terdapat dalam kalangan mereka yang meninggal dunia dan dalam masa sama dia tidak mampu mencari orang muda yang berminat untuk menjadi ahli baharu kumpulannya.
Menurut anak jati Labis itu, dia bangga menjadi sebahagian daripada Bangsa Johor walaupun hampir separuh daripada usianya dihabiskan di negeri Terengganu kerana tuntutan tugasnya di Kementerian Kesihatan, namun dalam masa sama dia terkilan tidak lagi mampu 'menjulang' tinggi ghazal yang menjadi kebanggaan Johor satu ketika dahulu dek kerana batasan usia.
Mengimbau kembali penglibatannya dalam aktiviti seni,
langkahnya bermula dalam tahun 1965
selepas diterima mengangotai kumpulan Bangsawan Bintang Timur yang diasaskan
oleh Alahyarham Rahman B dan Minah B sebelum menubuhkan kumpulan ghazal sendiri yang diberi nama Suktra Ghazal ketika
masih menetap di Terengganu pada awal tahun 1970-an.
Menurutnya selama 18 tahun bersama kumpulan ghazal tersebut dia berpeluang mengadakan persembahan ghazal di luar negara bersama badan kesenian negeri Terengganu. Antara negara yang pernah dilawati untuk memperkenalkan warisan seni ghazal adalah Singapura, Indonesia, Hong Kong, Jerman dan Itali di mana ketika di Hong Kong dia dan kumpulannya membuat persembahan setiap hari selama sebulan.
"Tidak dinafikan ketika Datuk Seri Abdul Ghani Othman menjadi menjadi Menteri Besar Johor dahulu. terdapat usaha yang dijalankan beliau untuk 'menghidupkan' semula ghazal di negeri ini dengan menubuhkan kumpulan ghazal di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika itu.
"Namun entah di mana silapnya, usaha tersebut tidak berjaya selepas beberapa tahun dijalankan dan kumpulan yang ditubuhkan itu tidak diketahui nasibnya ketika ini. Saya percaya usaha itu yang memerlukan peruntukan besar dan sesuatu yang merugikan apabila ianya gagal mencapai matlamat," katanya.
Dia yang sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menaikkan kembali martabat ghazal sebagai satu warisan budaya negeri Johor turut mencadangkan usaha mewujudkan kumpulan ghazal yang pernah dilakukan di setiap PBT disambung semula.
Katanya, bagi memastikan ghazal tidak terus lenyap, kumpulan
ghazal yang diwujudkan nanti perlu diberi peluang untuk membuat persembahan di
majlis-majlis rasmi kerajaan selain promosi berterusan bagi menarik minat
penglibatan golongan muda sebagai
pelapis pada masa hadapan.
Selain itu katanya, soal dana juga tidak harus
dikesampingkan dan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan perlu membantu
dengan menyediakan dana bagi tujuan menghidupkan semula roh ghazal dalam
kalangan masyarakat hari ini yang disifatkannya semakin lupa terhadap kewujudan
seni ghazal satu ketika dahulu.
"Bagi menarik minat golongan muda, ghazal juga perlu
melakukan perubahan dengan cara memasukkan unsur-unsur seni lagu masa kini
tanpa mengetepikan seni ghazal itu sendiri. Kena melakukan sedikit perubahan,
namun jangan sampai terkeluar dari landasan.
"Tidak salah rasanya jika menyelitkan satu dua lagu yang mempunyai unsur muzik masa kini dalam sepuluh lagu yang dipersembahkan. Kita tidak perlu 'merosakkan' lagu-lagu ghazal seperti Kuala Mersing, Kuala Endau, Kuala Sedeli, Gunung Panti dan Bukit Treh yang begitu tinggi nilai seninya. Tapi tidak salah sekiranya mencipta lagu-lagu ghazal baharu yang ditambah nilai dengan unsur muzik masa kini," katanya yang pernah membelanjakan lebih RM20,000 wang simpanannya untuk membeli kelangkapan peralatan muzik ghazal yang masih disimpan rapi sehingga hari ini. - KitaReporters
Gambus, biola, marakas dan tamborin merupakan antara alat muzik penting kumpulan ghazal.