Amaran! Jaga-jaga! Ada scammer menyamar jadi DJ Dave! Minta pinjam wang! Laporan polis telah dibuat!

Published by
KitaReporters

Tindakan individu tertentu menyamar untuk mendapat wang atau menjadi ‘scammer’ semakin menjadi-jadi. Untuk tujuan itu ada yang sanggup menjadi selebriti popular bagi memudahkan kerja penipuan.

Terbaharu, selebriti yang menjadi mangsa ialah penyanyi veteran, Datuk DJ Dave yang bakal berusia 75 pada 14 Februari 2023 ini. 

Dia yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) menasihatkan rakan-rakan atau mana-mana pihak supaya tidak terpedaya dengan 'scammer' yang menyamar sebagai dirinya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi legenda DJ Dave


Menurutnya, ada seorang lelaki menggunakan gambar profil WhatsAppnya bertujuan untuk meminjam wang daripada mangsa-mangsanya.

"Semalam (Sabtu, 3 Disember 2022) saja, saya dah menerima lebih 200 panggilan telefon yang mengatakan hampir terkena dengan taktik 'scammer' ini dan juga mesej-mesej turut diterima.

"Terkejut saya kerana gambar yang digunakan itu sememangnya gambar profil saya," katanya kepada media.

Sebelum ini, dia mendengar daripada sahabat-sahabat mengenai 'scammer' dan tidak menyangka akhirnya dirinya pun turut menjadi mangsa. 



Justeru, DJ Dave membuat laporan polis dan berharap tindakan ‘scammer’ dapat dikurang atau dihapuskan.

Katanya, 'scammer' itu sudah menggodam aplikasi Telegramnya dan menggunakan nombornya dari Telegram.

"Dia seterusnya hantar pada semua nombor yang ada dalam aplikasi itu. Saya minta semua berjaga-jaga dengan taktik ini," katanya.

Tambah DJ Dave, orang ramai yang menerima hantaran WhatsApp ‘tipu’ itu dapat menghubunginya terus atau pengurusnya



DJ Dave walau sudah berusia tiga suku abad  masih kelihatan segar dan tetap boleh bermain sukan kegemarannya, iaitu badminton dengan baik.

Dia merupakan antara penyanyi bukan Melayu yang berjaya bertapak kukuh dalam muzik Melayu bermula dari tahun 1972 dengan lagu-lagu berirama Hindustan melalui album EP yang mengandungi lagu ‘Ingin Bersua’ dan  ‘Maafkanlah’ keluaran Life Record.

Kejayaan besar album itu menyebabkan syarikat rakaman antarabangsa EMI melamarnya pada 1973 dengan album pertama ‘Ingin Bersua’.

Ia membuat DJ Dave melonjak bersama rakan syarikat rakaman yang sama iaitu Hail Amir dan Uji Rashid.

Pada pertengahan 1970-an, DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid adalah antara penyanyi paling laris di pertunjukan pentas. Cuma DJ Dave tidak turut terlibat dalam bidang lakonan seperti Hail dan Uji.



Selepas kegiatan menyanyi sudah kurang hangat, DJ Dave bergiat dalam bidang perniagaan dan kerja kebajikan dan menjadi Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT)  sejak 2012 ketika itu dikenali sebagai Yayasan Artis 1Malaysia di samping terus menyanyi jika mendapat jemputan.

DJ Dave yang nama asalnya Dhammi Jagjit Sukdev memeluk Islam 44 tahun lalu dan memakai nama Irwan Shah. Namun dia tetap menggunakan nama DJ Dave kerana lebih komersial.

Selepas merakam lagu ‘Menjelang Hari Raya’ ciptaan S Atan yang sudah berusia 44 tahun itu menjentik hati DJ Dave untuk memeluk Islam. - KitaReporters


DJ Dave bersama sebahagian AJK Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

13
12
0
14
0

Copy Link: