Tolong kami! Bantu Nina Mues! Misi Jelajah Solo Pejuang Kanser! Kumpul RM50k bantu pesakit kanser!
Published bySarlinawati Abd Mues memilih skuter merah jambu untuk menjayakan misi Jelajah Solo Pejuang Kanser ke seluruh negeri.
Diduga menghidap kanser tahap empat dan diberi anggaran jangka hayat lebih kurang setahun, berita itu bagaikan tamparan kuat yang sepatutnya meluluhkan hati, namun Sarlinawati Abd Mues, 47, atau mesra dengan sapaan Nina menerimanya dengan tenang dua tahun lalu.
“Jauh di sudut hati saya takut, teramat takut tetapi mungkin pengalaman hidup diduga dalam rumah tangga lebih perit , saya biarkan rasa takut kerana kanser itu tidak membunuh lebih awal. Saya biarkan perasaan itu larut dengan tanggapan nyawa itu milik yang Maha Kuasa dan reda dengan ketentuan-Nya,” ujarnya.
Berbekalkan semangat itu, baru-baru ini Nina telah sampai ke garisan penamat menjayakan misi Jelajah Solo Pejuang Kanser dengan menunggang motorsikal ke seluruh negara yang bermula pada 2 Oktober dan berakhir pada 23 Oktober 2023 yang lalu.
“Rasa lega sangat sebab misi sudah tercapai,” ujarnya sambil tersenyum puas kerana misi jelajah solo tersebut hanya dirancang lebih kurang tiga bulan sebelum berlepas.
Menunggang motorsikal skuter WM ES250i berwarna merah jambu, sosok wanita ini kelihatan gagah dan penuh semangat apabila berjaya menyelesaikan jelajah sejauh 5,000 kilometer dalam tempoh masa 20 hari. Skuternya telah mendapat tajaan wraping merah jambu daripada Mforce Bike Holding Sdn Bhd.
“Apa yang dirancang berjaya direalisasikan dan hampir tidak ada cabaran sepanjang misi jelajah ke seluruh ceruk yang saya sampai. Segalanya dipermudah Allah SWT, berkat doa keluarga dan rakat-rakan yang menyokong.
“Lebih daripada itu, saya sangat menghargai sambutan rakan-rakan pejuang kanser dan keluarga mereka yang menyambut kedatangan saya seperti keluarga sendiri. Begitu juga agensi-agensi dan pihak hospital yang terlibat dalam program yang diatur lebih awal,” ujarnya.
Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak, Shahira Goh, 27, dan seorang cucu Umar Rafael Hawari, 5, berkata, idea tercetusnya jelajah solonya bermula selepas rawatan radio terapi bulan Mac 2023 lalu.
Tiba-tiba beliau berazam untuk bangkit dan mahu sembuh sepenuhnya. Perasaan untuk hidup membuak-buak selepas seorang kawan baiknya tewas dengan kanser payudara tahap dua.
Sharlinwati singgah di rumah salah seorang pesakit kanser untuk menitipkan kata-kata semangat
Nina didiagnos kanser pada Jun 2021, ironinya beliau tidak berasa sakit kerana tidak ada simptom. Apabila dinasihatkan membuang sebelah kiri payudara kerana kanser telah merebak ke paru-paru pun beliau masih tenang dan akur.
“Bahkan saat mengesyaki kanser selepas doktor menyatakan keputusan mamogram, saya menerimanya dengan reda. Dikhabarkan pula jangka hayat lapan hingga setahun sahaja paling lama, saya masih kuat dan tidak menangis, saya positif.
“Selepas kimoterapi pusingan kedua saya sudah hampir berputus asa dan tidak mahu lagi meneruskan rawatan kerana kesannya sangat teruk dan saya trauma. Jika sudah begitulah pengakhirannya dan ajal juga sudah tiba, saya pasrah.
“Bagaimanapun anak saya Shahira memujuk kerana saya sudah dibedah membuang sebelah payudara akibat jangkita merebak ke paru-paru dan kimoterapi pusingan pertama juga telah selesai.
“Bulan Jun lepas, saya bertekad mengotakan janji pada bulan ini kerana Oktober adalah Bulan Pink atau bulan kesedaran kanser sedunia,” ujarnya
“Sepanjang jelajah sangat berbekas di hati saya kerana menyelami hati pesakit yang sedang berjuang secara fizikal dan mental. Saya juga telah berkongsi hati ke hati, mendengar rintihan, menitip pesanan dan memberikan motivasi dan kata-kata semangat agar mereka bangkit melawan.
“ Tersentuh hati saya apabila ada suami yang secara personel mohon saya menziarah isterinya untuk berkongsi semangat. Bahkan ada juga pesakit sendiri yang mahu bersua mata untuk meminjam bahu meluahkan segala keperitan yang hanya antara kami yang pernah diduga lebih memahaminya,” katanya.
Sepanjang jelajah solonya, Sharlinawati turut singgah di beberapa hospital untuk memenuhi jemputan berkongsi pengalaman sebagai pejuang pesakit kanser.
Menerusi misi tersebut, Nina yang menyasarkan RM50,000 untuk diberikan kepada 100 pesakit membiayai projek Bra Prosthesis dan Mastektomi , coli khas bagi kanser payudara berkata, sasarannya belum mencukupi.
Mengakui lebih memahami derita yang dialami pesakit kanser lain kerana berada “dalam kasut mereka” Nina juga terkesan teruk dengan kewangan ketika didiagnos kanser payudara tahap empat semasa pandemik.
“Tidak ada kerja dan pendapatan sedangkan kanser tidak murah dan mudah kerana kos rawatanya sangat mahal. Saya jual aset termasuk rumah dan kereta untuk selesaikan rawatan. Detik tu sangat menguji tetapi kawan-kawan dan jiran tetangga membantu dan membuat tabung, itulah juga antara sebab saya bangkit,” ujarnya.
“Cuma terlintas wajah anak dan cucu, bagaimana mereka tanpa saya. Selesai pembedahan di sebuah pusat rawatan di Bangi saya menjalani kimoterapi dan radio terapi di Institut Kanser Negara (IKN).
“Namun selepas kimoterapi kali kedua, barulah terasa perit dan kesakitannya yang cukup menjadikan saya insaf, memahami dan sangat menghargai erti hidup.
“Dalam rawatan kimoterapi, Allah jemput saya menunaikan umrah yang ditaja Harmony Travel dan saya dapat kekuatan luar biasa. Selepas itu, saya menyertai kumpulan memasak untuk mangsa banjir, saya menyertai badan-badan amal sukarela kerana saya mahu hidup yang lebih memberi nilai," katanya lagi.
Bertemu rakan-rakan baharu yang menyokong misi jelajah solonya.
Nina yang sebelum ini bekerja sebagai cef dan Konsultan Makanan dan Minuman menjelaskan walaupun berisiko dia tetap bergerak sendiri namun ada kawan-kawan rapat menyumbang, antaranya, Azu Event Hall, Kelab Sokongan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan hamba Allah yang baik budi. Tentang penginapan pula ada kenalan yang mengajak beliau bermalam di rumah mereka dan juga memilih hotel bajet.
Kini, Nina bercadang untuk mengadakan misi jelajah solo menunggang motorsikal kali kedua pula.
“Matlamat saya kali ini mencukupkan dana untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan dan singgah berkongsi rasa dan meminjamkan bahu sebentar buat mereka yang diduga, terutama di daerah-daerah yang tidak sempat saya kunjungi sebelum ini,” katanya.
Kepada yang mahu menyumbang, boleh menghubungi Nina Mues dengan menghantar email kepada [email protected] atau menerusi pesanan WhatsApp menerusi talian 0189174755. - KitaReporters