Komentar| Apa la nak jadi? MBSA lambat bertindak aduan penduduk? Disifatkan tak jujur jalankan tugas?
Published byPENDUDUK bandar raya Shah Alam tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) yang kerap lewat mengambil tindakan terhadap aduan penduduk dan kurang kejujuran dalam mengendalikan kes aduan penduduk.
Masalah seperti sampah yang berlonggok tidak dikutip, berminggu-minggu, jalan berlopak dan berlubang yang tidak segera ditampal, longkang yang runtuh dan masalah kebersihan kawasan premis perniagaan telah dilaporkan pada MBSA.
Namun penduduk mendakwa pihak berkenaan lambat bertindak dan menjalankan tugas sambil lewa. Aduan sudah dibuat berminggu-minggu dan berbulan-bulan namun tiada tindakan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan agensi PBT MBSA
Seorang pemilik restoran di Seksyen 9, Shah Alam, yang bergelar Datin memberitahu, pihaknya telah beberapa kali membuat aduan bertulis kepada MBSA mengenai longkang yang pecah, jalan belakang kedai yang berlopak dan berlubang serta masalah sampah yang mengundang tikus.
Namun tindakan dari MBSA sangat lambat dan lembab serta tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan beliau.
Malah katanya ada satu aduan yang dibuat oleh pihaknya ditandakan sudah selesai sedangkan longkang masih pecah dan tidak langsung dibaiki.
Ketidakjujuran ini membuatkan beliau rasa hilang kepercayaan pada kewibawaan MBSA dalam mentakbir urus masalah infrastruktur di kawasannya.
Gambar longkang yang pernah dibuat aduan sejak enam bulan lalu masih tidak dibaiki walau dalam aduan kerja dikatakan sudah selesai.
Datin itu amat kecewa dengan tindakan MBSA dan telah berkali-kali bertanya sampai bila masalah begini akan berlarutan.
Baginya kalau masalah-masalah seumpama ini tidak ditangani segera ia boleh menyebabkan masalah lain pula kepada mereka yang berurusan di kawasan ini serta yang berniaga di tempat tersebut.
Umpamanya longkang yang pecah akan menyebabkan air bertakung dan pembiakan nyamuk aedes.
Sampah yang tidak dibuang berminggu-minggu mengundang kehadiran tikus-tikus yang boleh mendatang penyakit dan masuk ke restoran-restoran berdekatan.
Begitu juga jalan berlopak dan berair boleh menyebabkan kemalangan dan kerosakan kereta yang kerapa lalu di situ. Menurutnya lagi, tayar keretanya sudah koyak kerana kerap melalui jalan yang rosak itu.
Katanya lagi "bayangkan jika motosikal yang lalu dan termasuk dalam lubang atau terlanggar lubang yang dalam. Ini pasti akan mengakibatkan kemalangan dan kecederaan pada penunggang dan pembonceng motosikal, mungkin juga boleh bawa maut dan kecacatan," katanya lagi.
Menurut Datin itu, beliau telah berkali-kali pos foto mengenai sampah dan jalan rosak dan berlopak ke talian aduan MBSA, tapi tak dapat balasan segera. Namun bila tidak ada tindakan, beliau mula menulis di FB Shah Alam Resident untuk mendapat perhatian pihak berwajib.
Beliau juga rasa kecewa dengan tindakan sambil lewa MBSA yang membiarkan infrastruktur di Jalan K9/K Seksyen 9 Shah Alam, dan sekitarnya tidak diurus dengan baik.
Tinjauan dalam FB Shah Alam Residents mendapati ramai juga yang melahirkan rasa kecewa kerana MBSA tidak effisien dalam menjalankan tugas mengurus takbir kawasan di bawah pentadbiran mereka.
Datin itu yang telah tinggal di Shah Alam selama lebih 30 tahun berpendapat, MBSA perlu lebih prihain dan jujur dalam menjalankan urus takbir bandar raya Shah Alam ini.
Baginya, Seksyen 9 Shah Alam adalah pertempatan golongan elit dan ramai penduduknya ada kedudukan dalam masyarakat.
Jika aduan pihak-pihak yang begini juga tidak diendahkan oleh MBSA bayangkan tempat-tempat lain yang ramai penduduknya dari golongan B40 dan ke bawah. Mungkin aduan daripada golongan ini pasti lebih sukar.
Apapun Datin berkenaan berharap pihak MBSA dapat jalankan tugas mereka sebaik mungkin untuk kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar Shah Alam sebagai sebuah tempat tinggal yang lebih harmoni bersih, tenang dan selamat.
"Ahi Majlis sudahpun saya maklumkan dulu dan sudahpun dibentangkan dalam mesyuarat mereka. Ini keluhan yang sekian lama menunggu," kata beliau lagi berhubung kemelut masalah urus tadbir MBSA di kawasannya di Seksyen 9. - KitaReporters
Nota: Komentar laporan Khas mengenai rungutan penduduk terhadap MBSA akan mendapatkan penjelasan daripada pihak MBSA khususnya jabatan yang bertanggungjawab terhadap urus takbir jalan raya, sampah dan longkang yang pecah. Ikuti laporan kedua nanti.