Usaha baik Musolla Pangsapuri Anggun! Bengkel Bilal Muda latih anak-anak jadi muazin, bilal pelapis!
Published bySesi ice breaking (taakruf) bagi membolehkan peserta kenal mengenal antara satu sama lain selain menyesuaikan diri dengan pembelajaran bengkel Bilal Muda.
KUAT atau lemahnya golongan muda hari ini menjadi petanda aras kepada kejayaan negara dan ummah pada masa depan.
Atas sebab itulah apabila membaca laporan media yang memaparkan insiden negatif mengenai pembabitan mereka dalam pelbagai kancah gejala sosial, masyarakat pastinya bimbang dan cemas. Justeru, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan mereka tidak terus hanyut dalam gejala tidak sihat.
Golongan kanak-kanak dan remaja khususnya yang masih berada di bangku sekolah seharusnya diberikan cukup pendedahan dan keyakinan selain ilmu, bukan setakat pembelajaran akademik dan fardu ain saja tapi perlu membimbing untuk menerapkan amalan hidup yang murni sesuai dengan fitrah mereka.Ulama kontemporari terkemuka, Prof Dr Yusuf Qaradhawi pernah berkata, apabila kita hendak melihat bentuk negara dan ummah pada masa hadapan, lihatlah generasi muda hari ini.Sekiranya golongan muda masa kini terdiri daripada golongan yang berakhlak baik dan berhemah tinggi, tentunya negara dan ummah pada masa mendatang adalah sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.
Ahmad Umar Asyraf Mohamed Yusoff memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi bilal yang baik terutama menyebut sebutan yang jelas dan betul.
Pengerusi Musolla Pangsapuri Anggun, Othman Hashim, berkata Khalifah Islam keempat, Sayidina Ali bin Abi Talib sentiasa memandang generasi muda sebagai aset negara dan pencorak ummah pada masa hadapan.
Malah, kata-kata hikmahnya iaitu "Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda pemudinya pada hari ini", terus menjadi rujukan pelbagai pihak.
Beliau berkata, kata-kata Sayidina Ali itu seperti memberikan isyarat supaya kita tidak memandang remeh urusan memberikan pendidikan ilmu dan asuhan akal budi kepada anak-anak.Kekuatan jasmani, rohani dan keutuhan emosi dengan daya intelektual yang tinggi mampu menjadikan generasi muda pewaris yang mengangkat imej masyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan.
"Sebab itu ahli jawatankuasa Musolla Pangsapuri Anggun, sentiasa memberi fokus dan berusaha mengadakan pelbagai program berfaedah kepada golongan kanak-kanak dan remaja dengan harapan suatu hari nanti mereka akan mempunyai ilmu yang cukup sebagai pelapis kepada jemaah sedia ada.
"Saya mempunyai harapan tinggi kepada kanak-kanak dan remaja kerana mereka mempunyai kekuatan untuk mengubah serta mengimarahkan tempat ibadat kita, lantas kami memberi peluang untuk mereka membuktikan kebolehan sebagai bilal atau imam apabila tiba masanya nanti," kata Othman selepas melancarkan Bengkel Bilal Muda di Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Othman Hashim
Menurutnya, idea mengadakan bengkel itu hasil perbincangan dengan jawatankuasa musolla (surau) selepas melihat ada keperluan menyediakan pelapis bilal atau muazzin selain memberi tanggungjawab kepada golongan kanak-kanak dan remaja ini supaya merasa kehadiran di rumah ibadat itu sebahagian daripada jemaah, bukan orang luar.
"Apabila kita beri tanggungjawab dengan tugas sebagai bilal bagi mengalunkan azan secara bergilir-gilir, mereka seronok malah tidak sabar untuk menunggu giliran bagi menunaikan tugasan itu."Ibu bapa turut berbangga melihat kebolehan dan tugasan diberikan kepada anak-anak mereka, sekaligus menarik minat mereka ke musolla.
"Setakat ini, tugas mengalunkan azan hanya diberikan untuk waktu solat maghrib dan isyak saja, disebabkan mereka bersekolah. Alhamdulillah, mereka mengikut jadual penggiliran dengan baik, malah turut hadir dalam aktiviti lain seperti pengajian agama bulanan dan bacaan Yasin serta solat hajat mingguan.
"Saya nampak apa yang kita lakukan ini amat baik kerana selain menarik minat anak-anak, ibu bapa akan hadir secara spontan kerana mereka tahu musolla aktif menjalankan pelbagai aktiviti berfaedah termasuk menjadi platform mewujudkan hubungan ukhwah dalam kalangan penghuni yang pelbagai latar belakang," katanya lagi.Othman menyampaikan sijil penyertaan Bilal Muda kepada salah seorang peserta yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Pengarah Bengkel Bilal Muda merangkap Imam II Musolla Pangsapuri Anggun, Ahmad Umar Asyraf Mohamed Yusoff, berkata Bengkel Bilal Muda menyasarkan kanak-kanak dan remaja di antara usia tujuh hingga 17 tahun dengan matlamat bagi melatih, membimbing mereka lebih berkeyakinan untuk ke hadapan bagi mengalunkan azan dan iqamat.
Beliau berkata, aktiviti bengkel dimula dengan sesi "ice breaking" (taaruf) bagi memastikan mereka kenal mengenal antara satu sama lain, dapat menyesuaikan diri, membuang ego, merasa selesa sepanjang dalam bengkel dan sanggup bekerjasama bagi menimba ilmu selain membantu di antara satu sama lain.
"Selepas itu, kami mulakan dengan lafaz azan, kita kenal pasti di mana tempat yang biasanya mereka selalu buat kesilapan terutama dalam sebutan. Contohnya Allahuakhbar, ada juga yang melafazkan, Ollahuakhbar."Begitu juga apabila mengalunkan azan dengan laju dan tergesa-gesa, mereka akan mudah membuat kesilapan, jadi kita minta mereka bertenang dan tarik nafas panjang sebelum memulakan azan kerana selain lagu dan sebutan, suara yang dilontarkan membabitkan pernafasan. Cara yang mudah, usah terkejar-kejar sebab sebutan perlu betul dan jelas," katanya.Ahmad Umar Asyraf Mohamed Yusoff
Sebelum sesi petang, pihaknya meminta mereka melaungkan azan untuk membuat penilaian sama ada lontaran suara itu sudah bagus atau masih memerlukan bimbingan. Pada sesi petang, mereka akan mengalunkan azan dengan berlagu, dibimbing oleh Ustaz Imran Ismadi.
"Cuma, bab tarannum, kami pilih lagu yang mudah untuk mereka belajar dan boleh dilaungkan setiap kali masuk waktu solat. Alhamdulillah, mereka cepat belajar, buktinya ramai yang dapat mengikut lagu yang diajarkan dan dapat mengalunkan azan dengan baik, insya-Allah selepas ini mereka boleh menjadi bilal yang baik," katanya.Ditanya bagaimana tercetus idea untuk mengadakan Bengkel Bilal Muda itu, katanya sebelum ini pihaknya pernah meminta mereka untuk mengalunkan azan dan iqamah tapi ramai yang enggan mungkin tidak yakin, merasa malu atau tidak berpeluang untuk berbuat demikian, Sebenarnya mereka boleh tapi rata-rata tiada keyakinan diri."Apabila kami mengadakan bengkel ini, diselitkan dengan beberapa aktiviti selain dibimbing bersama rakan-rakan sebaya, mereka hilang rasa malu untuk mencuba, buktinya apabila diminta mengalunkan azan, golongan kanak-kanak dan remaja ini berebut-rebut untuk ke hadapan sebab mereka tahu peserta yang hadir dari kalangan rakan sebaya.
"Selepas memberi sedikit ilmu, memperbetul beberapa kesalahan kecil membabitkan makraj serta sebutan ketika mengalunkan azan, peserta nampak lebih yakin dan tidak segan lagi malah mereka lebih berani," katanya.
Ustaz Imran Ismadi menyampaikan teknik berlagu ketika mengalunkan azan kepada peserta Bilal Muda.
Asyraf berkata, apabila selesai bengkel ini, pihaknya menyediakan jadual bertugas kepada peserta untuk bertugas sebagai bilal muda di musolla, alhamdulillah mereka seronok melaksanakan tanggungjawab diberikan walaupun tugasan itu hanya untuk solat maghrib dan isyak saja.
"Kami membuat pemantauan untuk memastikan mereka mengikut jadual dan tanggungjawab diberikan, alhamdulillah semua pelapis bilal muda ini hadir mengalunkan azan setiap kali giliran bertugas mereka, walaupun ada yang lewat sedikit kerana sampai ke rumah agak lambat.
"Kami tidak terlalu bertegas kerana memahami keadaan mereka sebagai pelajar apatah lagi sesi permulaan ini hanya untuk melihat proses perjalanan mereka sebagai pelapis bilal muda, memperbetul kesilapan kecil yang mungkin dilakukan," katanya.
Hasil bimbingan melalui Bengkel Bilal Muda, peserta ini mampu mengalunkan azan dengan baik.
Peserta mencuba mengalunkan azan selepas mendapat bimbingan melalui Bengkel Bilal Muda.
Beliau mengakui, untuk menjadi bilal yang baik, peserta perlu selalu membuat latihan, gunakan masa lapang untuk mengalunkan azan, mendengar azan di TV atau masjid, insya-Allah sedikit demi sedikit ia akan sebati dalam diri, dan apabila diminta ke hadapan, mereka sudah boleh melaungkan azan dengan penuh keyakinan.
Beliau mengakui, untuk menjadi bilal yang baik, peserta perlu selalu membuat latihan, gunakan masa lapang untuk mengalunkan azan, mendengar azan di TV atau masjid, insya-Allah sedikit demi sedikit ia akan sebati dalam diri, dan apabila diminta ke hadapan, mereka sudah boleh melaungkan azan dengan penuh keyakinan.
"Bengkel seumpama ini penting sebab di sekolah tidak ada pembelajaran seperti ini dan kebanyakan pelajar belajar sendiri atau mendengar azan di TV dan masjid atau mendapat galakan ibu bapa."Melalui bengkel ini, kita menggilap kebolehan mereka dan secara tidak langsung menarik mereka hadir ke musolla, surau atau masjid. Apabila merasa diri mereka diraikan, mereka akan selalu hadir untuk solat di rumah Allah malah membawa ibu bapa bersama," katanya.
Asyraf memberi jaminan, program seumpama ini akan diadakan lagi di masa depan tapi fokus akan diberikan kepada perkara berkaitan solat antaranya mengambil wuduk dengan sempurna, memperbaiki cara solat, mengenal pasti kesalahan yang selalu dilakukan dan membimbing rukun-rukun dalam solat dari berdiri hingga ke tahiyat akhir. Ia terbuka kepada peserta lelaki dan wanita.
Asyraf mengadakan perbincangan dengan Ustaz Imran berkaitan Bengkel Imam Muda.
"Alhamdulillah, saya berpuas hati sambutan diberikan kanak-kanak dan remaja di Pangsapuri Anggun walaupun pertama kali diadakan. Ia mencapai sasaran yang kami tetapkan malah jemaah di musolla semakin ramai kerana selain anak-anak, mereka membawa bersama ibu bapa yang memberi sokongan setiap kali anak mereka bertugas sebagai bilal.
"Saya berharap situasi ini akan berterusan dan lebih ramai penghuni akan mengimarahkan musolla selain hadir untuk program-program lain yang diadakan termasuk bacaan Yasin dan solat hajat setiap Khamis serta kelas agama dua kali sebulan. Insya-Allah bengkel ini akan membentuk mereka menjadi anak yang baik dan sentiasa ingatkan rumah Allah walaupun di mana berada."Saya juga mahu memberi penghargaan kepada pengerusi yang banyak memberi idea bagi mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan anak-anak di pangsapuri ini malah latar belakangnya sebagai bekas pengetua sekolah agama berasrama penuh di Putrajaya banyak menyuntik semangat baru untuk mengadakan program-program berfaedah untuk mengimarahkan rumah Allah," katanya. - KitaReportersSebahagian peserta bergambar kenangan bersama fasilitator selepas menerima sijil penyertaan sempena Bengkel Bilal Muda.
_______________________________________________________