Seronoknya! Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu anjur sunaton! Pupuk perpaduan, kehidupan harmoni!
Published byPeserta Program Sunaton dimandikan oleh anggota bomba sambil bermandi manda di Soopa Doopa.
PELBAGAI kaedah digunakan oleh komuniti penduduk untuk memupuk hubungan erat, semangat bekerjasama dan perpaduan antara mereka tanpa mengira fahaman politik supaya dapat menzahirkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat, seperti disyorkan oleh kerajaan Malaysia Madani.
Program Sunaton menjadi antara usaha terbaik Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor bagi merapatkan hubungan persahabatan penduduk dengan menjadikan masjid sebagai lokasi yang bukan setakat untuk beribadat sahaja.
Timbalan Nazir MKKRH, Hambali Parjan, berkata bagi tujuan itu 43 anak kariah dan penduduk sekitar menyertai program berkhatan berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Klinik Suri Eco Majestic pada 18 Januari 2025.
Antara peserta Program Sunathon menunggu giliran untuk berkhatan.
Menurutnya, program itu juga sebagai pendedahan kepada generasi muda sekarang mengenai amalan berkhatan secara beramai-ramai adalah antara budaya Melayu yang wajar dikekalkan supaya tidak pupus ditelan zaman.
Tambahnya, pembabitan setiap lapisan masyarakat dalam komuniti di kampung berkenaan serta taman perumahan berdekatan membuktikan bahawa program itu bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal kanak-kanak, tetapi juga memperkukuhkan hubungan sosial penduduk.
Jelasnya, program sunaton juga dapat meringankan bebanan
ibu bapa atau penjaga berpendapatan rendah yang terpaksa menanggung pelbagai
kos apabila setiap kali masuk musim persekolahan baharu terutama mereka
mempunyai ramai anak.
“Untuk program ini dengan kerjasama klinik berkenaan peserta dalam kalangan pelajar berusia antara enam dan 12 tahun hanya membayar wang pendaftaran RM100, manakala kos lain ditaja oleh MKKRH serta sumbangan orang ramai di samping syarikat korporat,” ujarnya yang juga ahli jawatankuasa program berkenaan.
Hambali Parjan (kiri) mengiringi Nuhsi Mahfodz yang hadir untuk menyantuni dan beramah mesra dengan ibu bapa, penjaga serta peserta Program Sunathon.
Serentak dengan program berkenaan turut diadakan aktiviti ceramah kesihatan berkaitan khatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi interaktif yang memberikan manfaat tambahan kepada peserta, keluarga dan penduduk yang hadir.
MKKRH turut mendapatkan khidmat Jabatan Bomba &
Penyelamat Malaysia (JBPM), Semenyih untuk memandikan peserta dengan pancutan air yang
sebelum itu berseronok bersama-sama rakan mandi dalam Soopa Doopa sebelum
bergerak ke klinik berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Nushi Mahfodz
turut hadir menyantuni dan beramah mesra dengan ibu bapa serta penjaga peserta
yang menyertai program berkenaan.
Hambali berkata, daripada saranan ibu bapa, penjaga serta penduduk di komuniti berkenaan berharap program berbentuk kemasyarakatan itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana banyak membantu keluarga yang berpendapatan rendah.
Hambali (kanan) bersama-sama ahli jawatankuasa Program Sunathon dan anggota Bomba merakamkan kenangan.
Selain itu, menurutnya, penduduk berasakan melalui program
berkenaan mereka dapat mengenali antara satu sama lain walaupun berada dalam
kawasan komuniti yang sama tetapi kerana sibuk serta kekangan bekerja sukar
untuk bersua muka.
Jelasnya, saranan penduduk itu akan diberi perhatian
di samping membuat penambahbaikan apabila mengadakan program akan datang yang
lebih baik khusus meriah dengan membanyakkan aktiviti membabitkan komuniti semua
kaum kerana boleh memacu ke arah memupuk semangat perpaduan dalam Malaysia Madani.
“Bagaimanapun usaha ini akan dibincangkan terlebih dahulu
bersama ahli jawatankuasa MKKRH dan pihak terbabit supaya ia tidak menimbulkan
permasalahan serta kekeliruan apabila diadakan nanti.
“Untuk program ini MKKRH berharap akan dapat terus berganding bahu dengan semua pihak khusus penyumbang, syarikat korporat, sukarelawan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk komuniti terbabit kerana tanpa sokongan mereka Program Sunathon mungkin tidak berjaya diadakan,” ujarnya lagi. - KitaReporters
Nushi (duduk di tengah, depan) bersama-sama, ibu bapa, penjaga, anggota Bomba dan peserta Program Sunathon merakamkan kenangan di MKKRH.