Terima kasih Kay's Steak & Lobster! Rai pesakit talasemia beriftar! Mereka disifatkan pejuang gigih!
Published byMUHAMMAD Aizuddin Mohd. Khalid (baju Melayu hijau) dan Irham Hakimi Mohd. Hamdan (berkopiah dan berjubah hitam) serta ahli-ahli MTA menunjukkan replika sumbangan amal Kay's Steak & Lobster di outlet Putra Heights pada 6 Mac 2025. - Kredit foto: HAR
SEBANYAK 30 pesakit talasemia diraikan dan disantuni pada Majlis Berbuka Puasa Dengan Kay’s Steak & Lobster, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor sebagai penyuntik semangat mereka untuk terus tabah mengharungi cabaran hidup.
Majlis pada 6 Mac 2025 lalu ini turut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit ini yang berkaitan gangguan darah yang diwarisi yang menyebabkan badan pesakitnya kekurangan hemoglobin daripada biasa.
“Majlis ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kay’s Steak & Lobster pada setiap tahun (kali yang keempat sejak 2022) apabila tibanya bulan puasa Ramadan.
“Sebelum ini, kami kerap menyantuni dan meraikan golongan anak yatim tetapi tahun 2025 ini, kami mengambil keputusan untuk membawa kelainan dan sesuatu yang berkait rapat dengan saya.
“Saya juga ialah pesakit talasemia dan memahami cabaran yang dilalui pesakitnya malah ada beberapa kakitangan restoran ini, mengalaminya,” kata Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd. Khalid di Putra Heights.

SAJIAN signatur istimewa Ramadan Kay's Steak & Lobster, Nasi Lemak Udang Kara Berempah dan Nasi Lemak Rendang Rusuk dijamukan kepada ahli-ahli TAM.
Majlis berbuka puasa ini juga menyaksikan sumbangan amal beliau sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Thalassaemia (Talasemia) Malaysia (TAM) yang diterima Presidennya, Irham Hakimi Mohd. Hamdan.
Kay’s Steak & Lobster yang berkonsepkan santapan separa mewah (semi fine-dining) cukup popular dengan menu signaturnya, stik dan udang kara premium serta beef Wellington dan sudah beroperasi sejak 2013 di Lembah Klang.
Putra Heights ini merupakan outlet pertama antara empat yang beroperasi diikuti Putrajaya, Ampang dan yang terbaharu dirasmikan di Elmina Temu, Shah Alam pada 4 Februari 2025 lalu.
"Inisiatif menghimpunkan pejuang talasemia dalam majlis ini juga sebagai tanda penghargaan kami kepada mereka yang diharap terus bersemangat dalam melawan penyakit ini.
"Menghidap talasemia tidak menghalang kita untuk menjalani kehidupan seperti insan lain termasuk mencari rezeki dan berbakti kepada masyarakat," katanya.
ANTARA hadirin ahli TAM yang diraikan dalam program iftar CSR tahunan Kay's Steak & Lobster di Putra Heights. - Kredit foto: HAR
Beliau amat mengalu-alukan kehadiran para ahli TAM yang turut dijamu beriftar dengan sajian istimewa Kay’s Steak & Lobster sempena Ramadan, Nasi Lemak Udang Kara Berempah dan Nasi Lemak Rendang Rusuk selain minuman laicikang, kurma serta kuih-muih tradisional.
Hidangan lain yang tidak ketinggalan mampu ‘menggoda’ para pengunjung ke Kay’s Steak & Lobster ialah Black Angus Tomahawk, Ribeye Steak, Wagyu Cheeseburger, Salted Egg Softshell, NZ Grill Mussle dan Lobster Grill & Butter.
“Walaupun saya bukan ahli TAM, saya tahu kewujudan persatuan ini apabila kerap menjalani pemindahan darah di Hospital Ampang setiap tiga minggu.
“Memang saya pun pernah cepat penat dan satu ketika kena tahan wad kecemasan namun kepada pesakitnya, jangan patah semangat, tidak bererti anda tidak boleh mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sentiasalah jaga pemakanan anda.
“Saya sendiri kerap pergi gimnasium dan buat senaman. Ada banyak aktiviti yang bersesuaian dengan kemampuan anda, jadi carilahnya. Macam Presiden TAM ini seorang mutawif dan ejen pelancongan yang sentiasa ke luar negara (khasnya) Makkah dan Madinah,” kata Aizuddin. - KitaReporters

MUHAMMAD Aizuddin Mohd. Khalid (dua dari kanan) melayan mesra ahli-ahli TAM beriftar dengan Nasi Lemak Udang Kara Berempah dan Nasi Lemak Rendang Rusuk. - Kredit foto: HAR
AHLI-AHLI TAM mengambil peluang bergambar kenangan di Kay's Steak & Lobster, Putra Heights dan membuat rakaman video ucapan Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah.