Video| Tulang besi urat dawai jiwa kental! Usia 60-an tak halang wanita ini buat rumah! Untukmu anak!
Published bySelalu orang kata wanita adalah insan yang lemah. Mungkin kenyataan itu benar tetapi tidak semua. Dari segi fizikal, sememangnya wanita kelihatan lebih lemah berbanding lelaki.
Wanita akan
menjadi kuat apabila melibatkan maruah dan kasih sayang anak-anak. Biar fizikal
lemah tetapi mentalnya kuat. Pasti anda pernah mendengar pepatah berbunyi
tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia!
Kisah seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an ini boleh dijadikan contoh. Kisahnya dikongsi oleh anak-anak dalam TikTok. Yelah, dapat ibu hebat dan kuat seperti itu, pastilah sesuatu yang membanggakan.
“POV: Wanita hebat 60-an buat sebiji rumah seorang diri. Semoga mak sentiasa diberi kesihatan yang baik,” tulisnya.
Kalau sebut sahaja tukang rumah, pasti pekerjaan itu sinonim dengan lelaki. Namun, wanita ini membuktikan sebaliknya.
Usia dan jantina bukanlah penghalang untuk menjadi tukang rumah. Tidak dapat dipastikan bagaimana dia mendapat ilmu pertukangan tersebut.
“Hasil air
tangan mak,” tulisnya ringkas.
Ada beberapa video yang dikongsi menunjukkan wanita tersebut sedang mengikat bata, menampal (plaster) dan membancuh simen. Bayangkan dalam usia emas itu, dia masih bertenaga melakukan kerja-kerja berat.
Jadi, tidak hairanlah perkongsian ini mengundang pelbagai pandangan daripada netizen. Ada yang kagum, ada yang bimbang dan ada juga yang menyalahkan anak-anak kerana membiarkan seorang ibu melakukan kerja berat seperti itu.
Bagi penulis, kalau kita fikir yang negatif, maka negatiflah jadinya. Kalau fikir positif, maka positiflah jadinya.
Penulis juga yakin, tiada siapa yang memaksa wanita ini melakukan kerja berat seperti itu. Sekurang-kurangnya dia membuktikan wanita juga mampu dan setanding lelaki. Kebolehannya ini juga menunjukkan dia seorang yang menjaga kesihatan.
Yelah, tidak semua warga emas mampu melakukan kerja-kerja berat seperti wanita ini melainkan dikurniakan kesihatan yang baik.
Menurut anaknya
yang berkongsi video-video hebat ini, ibunya sendiri yang mahu membina rumah
dan bilik untuk anak-anak. Bilik yang dibina itu khusus untuk dirinya yang
bakal berpantang.
Kesungguhan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibunya itu, membuat netizen kagum dan terharu.
“Begitu besar pengorbanan seorang ibu, sanggup melakukan apa saja demi seorang yang bergelar anak. Tak terbalas walau apa cara sekalipun, jagalah ibumu sebaik-baiknya. Akak dah tak ada ibu sejak umur tiga tahun lagi,” tulis salah seorang netizen.
Manakala ada juga netizen yang tidak puas hati dan mempersoalkan tanggungjawab anak-anak wanita tersebut.
“Kenapa anak-anak tak buat? Kasihan maknya,” soal netizen tersebut. Namun persoalan itu dijawab penuh tenang oleh anak wanita itu.
Anak-anak tolong sekadar termampu kerana ada yang sedang mengandung dan mempunyai anak kecil.
Dalam sesi soal jawab dengan netizen, ada juga yang bertanya adakah bumbung rumah tersebut juga dipasang oleh ibunya. Jawapan yang diberikan membuatkan penulis juga rasa terkejut dan kagum. Malah, mozek juga turut dipasang oleh ibunya sendiri.
“Pandainya mak.
Kuat lagi tenaga dan badannya. Bumbung tu mak buat sendiri juga ya?” tanya
netizen.
Jadi, siapa yang bertanya kenapa anak-anak dan suami wanita tersebut tidak menolong, pasti sudah dapat jawapannya bukan? - KitaReporters
Menurut anak wanita ini, emaknya juga pandai pasang mozek dan bumbung. Manakala bapanya pula sudah uzur.