Mesra Ibadah! Hospital Pakar Al-Islam Specialist bantu realisasikan hasrat Pusat Jagaan Mahmudah!
Published byBangunan Hospital Pakar Al-Islam Specialist di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Hospital Pakar Al-Islam Specialist di Kampong Bharu, Kuala Lumpur akan memberi kerjasama bagi merealisasikan hasrat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor untuk menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah pertama di Malaysia.
Kesediaan dalam usaha itu sebagai satu sokongan dan juga dakwah berikutan hospital berkenaan sudah pun dikenali juga sebagai hospital mesra ibadah sejak 1996.
Pengarahnya, Dr Ishak Mas’ud, berkata, sehubungan itu hospital berkenaan akan membuat kajian dan perancangan terlebih dahulu untuk memastikan usaha yang dilaksana bagi tujuan mesra ibadah mencapai matlamat yang dikehendaki khusus oleh PJMM.
Dr Ishak Mas'ud (dua dari kanan) bersama rakan jalinan kerjasama melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada PJMM.
Menurutnya, banyak perkara perlu didalami termasuklah selaras usaha itu akan diadakan program latihan untuk membimbing petugas PJMM melaksanakan tanggungjawab yang selari mesra ibadah bagi memberi peluang warga emas mendalami ilmu ibadah sebagai seorang Islam beriman.
Tambahnya, kemudahan yang disediakan PJMM untuk warga emas
sebahagiannya sudah mencakupi untuk keperluan kerohaniah dan mental supaya
dapat menjadi umat Islam terbaik walaupun menjadi penghuni pusat jagaan.
“Kerjasama yang bakal dijalinkan ini akan memastikan PJMM
melakar satu sejarah tanah air menjadi pusat jagaan mesra ibadah yang pertama
malah sebagai contoh terbaik kepada pusat jagaan atau rumah kebajikan lain
untuk mempraktikkan perkara itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan di PJMM hasil jalinan kerjasama dengan Malaysia Relief Agency (MRA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 3 Mac 2025.
Turut hadir pada program itu, Vice President 1 MRA, Khairil Annuar Khalid; Setiausaha Agong MRA, Dr Shahrizal Azswan Samsudin; Setiausaha Agong ABIM, Muhamad Aliemran Norasid; dan Pengurus Jenama Zayan Fm Radio Astro, Wan Syahrul Amry Wan Mansor; staf Hospital Pakar Al-Islam Specialist; dan ahli MRA serta ABIM.
Staf Hospital Pakar Al-Islam Specialist menyusun barangan keperluan asas harian untuk diserahkan kepada PJMM.
Selain menghulurkan sumbangan dan barangan keperluan asas
harian, Dr Ishak bersama rakan jalinan kerjasama, staf hospital dan ahli MRA
serta ABIM menyantuni warga emas PJMM dengan menghidangkan juadah berbuka
puasa, beramah mesra dengan mereka yang uzur dan terlantar.
Dr Ishak berkata, program berkenaan juga ibarat satu
simbolik kesediaan hospital menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan PJMM
supaya dapat membantu dalam memastikan mereka berjaya menjadi pusat jagaan
mesra ibadah.
Jelasnya, untuk memberi bimbingan dan latihan bukanlah suatu yang sukar cuma perlu mengenal pasti kaedah yang bersesuaian dengan warga emas di pusat jagaan berbanding staf hospital sudah biasa dengan amalan mesra ibadah apabila menyantuni pesakit yang menerima rawatan.
“Bagaimanapun kami akan melakukan dengan cara terbaik supaya hasrat pihak pengurusan PJMM dapat direalisasikan dan terus maju serta sentiasa hebat dalam menyantuni warga emas yang mengharapkan pembelaan meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Dr Ishak (dua dari kanan) merakamkan kenangan bersama-sama rakan jalinan kerjasama, pengurusan dan warga emas PJMM.
Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, sejak penubuhan lebih sembilan tahun lalu, warga emas yang menjadi penghuni disantuni dengan nilai murni dan kerohaniah sebagaimana ajaran agama Islam.
Menurutnya, bagi memastikan perkara itu menjadi kelangsungan
tanpa sebarang pengabaian PJMM melantik seorang ustaz juga bertindak sebagai
imam surau sepenuh masa, dua ustazah untuk mengendali kelas al-Quran dan
seorang ustaz mengajar fardu ain dan fekah.
Tambahnya, walaupun ustaz dan ustazah terbabit meneruskan
tugas hakiki namun mereka sentiasa memberi input-input terkini mengenai ajaran
agama Islam supaya warga emas tidak mensia-siakan masa tanpa diisi dengan ilmu
agama.
“Dalam hal demikian PJMM berasakan amat wajar diberi peluang atau mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak untuk menjadi pusat jagaan mesra ibadah malah akan menjadi contoh kepada rumah kebajikan lain dan sebagainya,” ujarnya. - KitaReporters
Dr Ishak diberi penerangan oleh Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado mengenai warga emas yang tidak mampu untuk berjalan kerana keuzuran.
Staf Hospital Pakar Al-Islam Specialist menyediakan juadah berbuka untuk warga emas.