Video| Terkejut tapi kagum, dong! Pelancong Muslim Indonesia dilarang beli makanan awal! Kena saman!

Published by
KitaReporters


Kadang-kadang penulis pun hairan tentang kelakuan masyarakat dan undang-undang Islam di Indonesia. Kalau di Malaysia, perbuatan yang dilakukan itu salah di sisi agama tetapi sebaliknya di Indonesia. 

Bukan mahu mencampuri atau menyibuk urusan negara orang lain, tetapi terdetik di hati tidakkah mereka atau pemerintah tahu hal itu salah di sisi agama?

Contoh paling mudah perkahwinan berbeza agama. Di Malaysia perbuatan tersebut dilarang sama sekali kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam. 

Mereka terlalu agungkan adat dan toleransi sehingga membelakangkan ajaran Islam. Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakannya begitu. 

Begitu juga dengan pertukaran agama. Mereka sewenang-wenangnya menukar agama seperti menukar pakaian.



Namun, ada satu lagi perbuatan dilarang di Malaysia dilakukan oleh segelintir masyarakat Muslim di Indonesia yang penulis baru tahu iaitu berkenaan puasa pada bulan Ramadan. Agak terkejut juga saat penulis mengetahuinya.

Kalau di Malaysia, sesiapa yang didapati tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai tanpa alasan kukuh, akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan dengan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.



Namun agak berbeza di Indonesia. Orang yang tidak berpuasa masih boleh atau membeli makanan di khalayak ramai. Malah, ada tempat khas di kedai untuk orang Muslim yang tidak berpuasa untuk makan pada siang hari. 

Kalau di Malaysia, kedai makan atau restoran yang didapati membenarkan pelanggan Muslim makan pada siang hari, turut didenda.

Jadi, jangan terkejut kalau tiba-tiba anda yang beragama Islam memesan makananan pada siang hari ditanya oleh pelayan restoran sama ada Islam atau bukan. Pihak restoran berhak bertanya untuk memastikan mereka tidak bersubahat dengan orang Islam yang tidak berpuasa.



Namun, pendedahan seorang pelancong Muslim Indonesia yang telah berkunjung ke Malaysia pada bulan Ramadan 2025 ini benar-benar mengejutkan. Menurut pelancong ini, dia terkejut dan kagum kerana di Malaysia, orang Islam tidak dibenarkan membeli makanan pada awal hari (siang) kerana boleh didenda.

“Ternyata orang Muslim di Malaysia tidak boleh membeli makanan pada bulan puasa. Kelmarin kami baru sampai di Malaysia dari Indonesia. Setelah sampai, kami tidak berpuasa kerana bermusafir. 

"Bukan itu masalah sebenarnya tetapi iman kami tidak kuat. Jadi kami beli makanan. Selepas kami memesan makanan, kami ditanya oleh pelayan adakah kami Muslim atau bukan.

“Kami pun kata kami Muslim. Justeru kata pelayan, kalau Muslim kami tidak boleh beli di sini nanti kena saman. Kalau di Indonesia maksudnya denda. Masya-Allah undang-undang di sini luar biasa dan sangat menghargai Muslim. Ia sangat bagus,” katanya terkejut.



Perkongsiannya itu mendapat reaksi ramai netizen terutamanya dari Malaysia. Ada netizen Malaysia terkejut dengan budaya pada bulan Ramadan di Indonesia ketika berkunjung ke sana. Ia sama sekali bertentangan dengan apa yang berlaku di Malaysia.

“Jangan makan tempat terbuka. Saya pernah ke Indonesia malah terkejut pada bulan puasa warung buka dan orang-orang bebas makan. Astaghfirullah saya jadi hairan,” kongsinya.

Dalam komen yang sama, ada seorang lagi menjelaskan bahawa di Indonesia ada terma yang disebut sebagai mokel iaitu berbuka sebelum waktu. 

"Ya, saya pun terkejut juga. Lepas tu baru tahu satu terma Indonesia namanya mokel, berbuka sebelum waktu. Rupa-rupanya itu perkara biasa di sana,” dakwa netizen tersebut.


 




Sebelum ini penulis juga ada terlihat dalam TikTok video yang dikongsi memperlihat ada kedai makan di Indonesia menyediakan tempat khas untuk orang Muslim yang tidak boleh berpuasa seperti wanita uzur untuk makan. Tempat itu diasingkan dan hanya ditutup sedikit dengan bidai. Namun ia masih kelihatan jelas sekiranya anda memasuki kedai tersebut.

Ia berbeza sama sekali dengan budaya yang ada di Malaysia. Walaupun seorang perempuan itu tidak dapat berpuasa kerana uzur, mereka tidak akan sewenang-wenangnya makan di tempat terbuka. Malah, rasa malu masih tebal dalam jiwa mereka.

“Kami perempuan yang tak boleh puasa pun tak boleh suka-suka makan merata-rata. Bukan kerana saman tapi kerana malu dan maruah. Nak makan dalam rumah pun sembunyi-sembunyi. Orang dalam rumah pun tak tahu,” tulis netizen wanita tersebut. - KitaReporters


15
11
0
9
0

Copy Link: